[PARIS LONDON 2017] DAY03 PARIS - LONDON - DURDLE DOOR

Jurassic Coast, Lulworth, Wareham. Pintu gerbang natural itu dikenali sebagai Durdle Door.

Catatan hari kedua boleh dibaca di sini.

Amaran: Entri kali ini agak boring sebab ada banyak cerita tak ada gambar. Aku catatkan juga untuk memori sendiri.


Sebelum aku meneruskan catatan hari ketiga, sedikit sambungan cerita ketika pulang dari Palace of Versailles. Ketika kami baru berjalan untuk keluar dari Versailles, cuaca yang tadi cerah tiba-tiba bertukar mendung dan seperti hujan akan turun pada bila-bila masa sahaja. Jauh juga kami nak berjalan keluar ni. Jadi kami mempercepatkan langkah. Aku dah terpaksa dukung Aryan dan wife pula kena pimpin Adam takut kena hujan. Berlari jugalah time ni. Dah laa jalan dari garden ke kawasan istana tu kena mendaki.

Memang tak sempat nak elak, bermandi hujan jugalah kami petang tu. Sejuknya bila kena hujan dalam cuaca macam ni. Sempat masuk kawasan dalam entrance untuk mengambil stroller dan kemudiannya kami ambil kesempatan berteduh sekejap sementara hujan masih lebat kat luar.

Nasib baik hujan lebat taklah lama sangat. Kami berjalan balik dalam keadaan hujan masih rintik-rintik. Kami perlu pastikan kami mempunyai masa yang cukup untuk ke stesen bas. Bas ke London adalah pada pukul 10.30 malam di stesen bas Gallieni. Walaupun seakan masih mempunyai masa, tetapi kami juga perlu keluar dari apartment sebelum pukul 6 petang seperti yang telah dipersetujui oleh tuan rumah.

Kami sampai di apartment lebih kurang pukul 4.30 petang. Sambil mengemas barang, Luqman dan wife mengadu tak sedap badan. Aku suruh diorang rehat dulu sementara barang dikemas. Kira-kira sejam kemudian, Luqman dan bangun dan kemaskan barang dia pula. Nampaknya dia dah ok sikit, tapi wife masih tak larat. Sah demam dah ni. Panas betul. Mujur ada bawa panadol. Disebabkan kemas dalam keadaan macam tu, terbabas jugalah mengemas sampai pukul 6.30 petang. Nak mengasingkan baju dan makanan supaya tak perlu membawa bagasi yang terlalu banyak ke UK. Selain tu nak pastikan bilik air dan bilik tidur dah dikemaskan dengan sampah telah dibuang dahulu. Kami juga perlu menjaga imej orang Malaysia dengan memastikan apartment ditinggalkan sebagaimana keadaan ketika kami masuk semalam.

Kami berjalan dengan membawa luggage yang agak banyak juga, nasib baik dah minta kebenaran dari host bnb untuk tinggalkan sebahagian makanan dan satu bag kat rumah dia. Selepas enam hari nanti kami akan datang ke sini semula.

Wife sangat tak larat time ni, teruk betul demam dia. Dah lama dia tak demam macam ni. Terkena pula pada masa bercuti ni. So kami jalan slow-slow je. Jumpa dengan family Mira kat bawah seperti yang dah dijanjikan. Nasib baik ada Luqman, bolehlah tolong tumpangkan beras dalam bag dia sekali. Ariff pula terpaksa menggalas beg yang lebih berat. Syukur dia tak banyak karenah.

Lebih kurang pukul 7.45 kami tiba di Galleini Bus Station. Sempat beli strawberi untuk alas perut. €2 je sepeket. Masa sebelum keluar rumah tadi sempat makan nasi sekejap saja sebab rushing nak kemas barang.

Tiket Bas Paris - London

Sekadar nak berkongsi dengan korang kalau nak buat itinerary, rancang betul-betul jadual perjalanan. Kalau boleh elakkan travel bertukar bandar pada hari Jumaat. Apatah lagi kalau melibatkan cuti umum. Sebab tiket bas atau train di sana dijual macam bilik hotel di booking.com. Asal weekend je harga automatik jadi lebih mahal dari biasa. Apatah lagi, hari Isnin tu (1 May 2017) adalah cuti umum di sana (labour day di France dan bank holiday di UK). Bayangkan aku boleh dapat tiket bas London-Paris pada hari Khamis dengan harga £12 sahaja seorang dengan Ouibus, tetapi tiket Ouibus untuk Paris-London pada Jumaat 28 April adalah €54!

Maka aku terpaksa membuat pelbagai carian alternatif untuk mendapatkan harga tiket bas yang paling murah, yet kena baca juga review syarikatnya. Satu masalah utama ialah sesetengah syarikat macam Eurolines tidak memaparkan harga promosi seawal tiket dibuka. Contohnya kalau korang tempah tiket bas tu dua bulan awal, korang akan nampak semua harga yang tertera adalah harga standard. Tapi bila sebulan atau pun tiga minggu sebelum barulah harga promosi dipaparkan, bergantung jika masih available. Setiap syarikat ada strategi jualan tiket masing-masing yang berbeza-beza, jadi korang kena tunggu dan decide bilakah masa yang terbaik untuk korang beli tiket bas.

Mula-mula macam nak decide untuk ambil dengan Eurolines sahaja sebab masa tu jumpa tiket €42/pax. Tiket kanak-kanak dan dewasa sama sahaja, tak kira berapa umur. Semua penumpang diwajibkan mempunyai seat sendiri.

Tapi, setelah membuat carian secara extensive aku jumpa satu syarikat dari Spain – Alsa Bus. €32 sahaja per pax. Setelah membuat sedikit bacaan review kami decide untuk ambil tiket bas ni sahaja. Gamble pun ya jugak, sebab dalam beberapa tahun buat kajian tiket bas Paris-London, aku tak pernah dengar orang naik bas syarikat ni.

Semasa sampai di Galleini bus station, aku nampak semua kaunter tiket adalah kaunter Eurolines. Aku pun beratur jugalah sebab tak tahu nak tanya kat mana nak validate tiket dan platform berapa kena naik bas. Rupanya barulah aku tahu yang Alsa bus tidak mempunyai sebarang bas untuk ke London dari Paris, mereka cuma menjual tiket bas Eurolines untuk laluan ini dalam laman web syarikat mereka sebagai kerjasama untuk meluaskan rangkaian. Contohnya kalau orang Spain nak beli tiket all the way dari Spain ke London, mereka tak perlu beli tiket di laman web berasingan. Semua tiket yang aku beli under Alsa bus itu adalah seat dalam bus Eurolines yang dah diperuntukkan untuk customer Alsa.

Alhamdulillah, kalau bas Eurolines ni taklah risau sebab mereka memang reputable company dan antara yang paling lama menyediakan perkhidmatan untuk laluan ini. Sementara menunggu, sempatlah kami solat di tempat menunggu bas tu.

Salah satu bas ke London, tapi kami tak naik bas ni. Bas kami tiba betul-betul 10 minit sebelum 10.30 malam.

Tepat jam 10.30 malam kami menaiki bas. Masa nak naik bas ni pun boleh tahan juga sesaknya. Kami dahlaa sembilan orang, nak pegang anak-anak dan nak bawa luggage lagi. Dahlaa Adam dan Aryan tengah tido yang tak mahu bangun. Azabnya beratur dalam keadaan macam tu. Dan aku pula kena jaga sembilan passport untuk ditunjukkan kepada driver bas. Terkejut driver bas tu ramai sangat rombongan kami ni, sampai dia check passport dengan tiket untuk tiga empat tiket pertama je. Yang lepas tu dia suruh kami naik je.

Kami masuk dalam bas dan tak lama kemudian terus tertidur. Penat sangat. Kira-kira jam 1 pagi kami dikejutkan untuk pemeriksaan imigresen di Coquelles, France. Rupanya bas ni akan merentasi selat inggeris melalui Euro Tunnel. Berbeza ketika tahun lepas kami merentasinya dengan feri. Ikut Euro Tunnel ni lebih sesuai untuk berehat, sebab bas akan parking dalam gerabak keretapi dan penumpang tak perlu turun dari bas. Turun untuk pemeriksaan imigresen je, lepas tu masuk bas balik. Kalau bas naik feri, penumpang kena keluar dan tunggu atas feri. Alhamdulillah sangat naik melalui Euro Tunnel kali ni, sebab kami terlalu ramai dengan anak-anak dan wife pun tengah demam.

Kami tiba di Victoria Coach Station London pada pukul 7 pagi. Solat Subuh dalam bas sahajalah. Nasib baik bas ni ada toilet dan ada air kat sinki. Irsyad juga ada standby botol berisi air, bergilir-gilir kami guna. Bila travel tempat negara yang susah nak jumpa surau ni, eloklah kita standby botol air untuk berwuduk. Botol spray pun boleh, kalau tak botol air mineral pun dah ok.

Dari Victoria Coach Station kami berjalan kaki menuju ke Victoria Train Station. Kota London agak sunyi pagi ni, sebab hari Sabtu. Kalau hari bekerja, selalunya pada waktu begini Victoria sudah pun dipenuhi manusia yang berjalan laju untuk berkejar ke tempat kerja.

Kami singgah di Sainsbury's Local berhampiran entrance Victoria Station. Bolehlaa beli makanan untuk sarapan dahulu. Beli sedikit sandwich, susu, air mineral, coklat dan jus. Sainsbury's Local ni mart yang ala-ala speedmartlah kalau kat Malaysia ni. Macam-macam ada. Lepas tu kami bersihkan diri lebih kurang dekat toilet dan tukar diapers Aryan dan Dahlia.

Lepas lepak-lepak kejap sambil sarapan di kawasan food court di tingkat 2 bangunan, kami bergerak ke tingkat bawah dan beratur untuk membeli Oyster Card. Tahun lepas masa datang London tak beli pun Oyster Card sebab jalan-jalan sehari je kat London. Lebih untung guna one day travel card. Aku beli Oyster Card £25, termasuk £5 adalah deposit yang akan dipulangkan apabila Oyster Card ini diserahkan semula. Untuk kanak-kanak tak perlu beli, free.
Oyster Card. Kaunter tiket tren Victoria Station di background. 

Destinasi kami yang seterusnya adalah menuju ke King Cross station. Kami akan menyewa kereta dari sana dan akan memandu ke Durdle Door dan seterusnya ke penginapan di Bromham, Chippenham, Wiltshire. Aku saja tulis sekali dengan daerah sebab ada beberapa tempat di UK yang namanya Bromham juga.

Memandangkan kami tempah kereta untuk diambil pada pukul 12 tengah hari, jadi kami lepak je dulu kat area King Cross. Sambil tu sempat juga ambil gambar di Platform 9 3/4, yang famous dalam movie Harry Porter tu. Tempat bergambar tu dibuka jam 9 pagi, dan kami tiba tepat jam 9 pagi. Jadi elok sangatlah baru ada seorang dua yang beratur. Dalam 10 minit lepas tu barisan dah pun menjadi panjang. Kita boleh ambil gambar guna kamera sendiri dan tak perlu bayar. Kalau nak guna photographer dia aku tak pasti pula berapa bayarannya.

Nak jumpa platform 9 3/4 ni senang je, masuk je dalam King Cross station ground level. Masuk ke dalam sedikit terus jumpa.

Mafla tu dipinjam dari kedai Platfor 9 3/4 ni. Cuma gambar ni dari kamera aku sendiri. 

Adam pun nak jugak.

Di hadapan kedai Harry Porter Platform 9 3/4.

Di bahagian dalam kedai.

Lebih kurang pukul 11.30 pagi kami berjalan kaki untuk ke Easirent King Cross station. Walaupun namanya Easirent King Cross, tapi lokasi kaunter sewaannya bukanlah dalam station ni. Aku sebenarnya ada cerita yang tak best tentang Easirent ni. Memang dah sedia maklum, tapi gamble sebab syarikat penyewa lain semuanya terlalu mahal - disebabkan hari sewaan kami termasuk cuti public holiday hari Isnin. Kiranya memang ambil risiko, tapi aku dah buat beberapa perkara yang sepatutnya untuk mengelakkan terkena caj-caj yang tidak sepatutnya. Jangan ingat semua syarikat di UK dan Europe ni jenis yang jujur dalam berniaga, ada juga yang memang jenis mengambil kesempatan dan memanipulasi undang-undang yang membolehkan mereka caj yang bukan-bukan. Aku rasa aku akan ceritakan detail pengalaman tentang Easirent ni dalam entri yang lain. Sebab terlalu banyak cerita yang nak ditulis. Kalau tak sabar nak tahu tentang syarikat ni bolehlah baca pengalaman orang lain di sini. Aku dah baca review ni sebelum buat tempahan, tapi tetap tempah juga sebab murah lebih separuh dari orang lain. Aku baca semua terms and conditions dan ambil semua langkah pencegahan agar tidak kena caj yang bukan-bukan. End up? Kena juga, tapi nasib baik £15 je, nantilah aku ceritakan kenapa. Still untunglah sebab total kos sewa aku dalam £95 berbanding ambil dari syarikat lain yang sewanya £150 untuk dua hari.

So korang, beringatlah kalau nak sewa kereta cuba elakkan hari-hari yang mempunyai permintaan yang tinggi seperti hari yang ada public holiday pada Jumaat atau Isnin. Automatik harga sewaan kereta pada weekend yang begini akan melambung tinggi kerana sesuai dengan permintaan. Tahun lepas kami sewa kereta dua hari cuma £40 sahaja, Jumaat hingga Ahad. Kalau tak melibatkan weekend lagi murah, £25 pun boleh dapat.

Beberapa perkara yang sangat tidak profesional dilakukan oleh Easirent King Cross station:

- Tidak update office mereka berpindah tempat. Dahlaa lokasi asalnya 15 minit jalan kaki dari King Cross, padahal aku dah call mereka semasa di dalam King Cross station. Boleh jadi ini memang strategi mereka untuk membuatkan kita kesuntukan masa lalu sign agreement tanpa menelitinya. Sangat menyakitkan hati, kerana lokasi baru ini memerlukan kami berjalan kaki 10 minit lagi ke arah berlainan. Kalau dari King Cross terus ke tempat yang sebenar taklah kami membazir masa. Bayangkan jalan kaki dengan luggage, dengan anak-anak kecil lagi. Tepaksalah dukung Aryan dan Adam disorong dalam stroller.

- Tidak membenarkan kami datang lebih awal untuk mengambil kereta. Oleh kerana tempahan pada pukul 12, mereka memberitahu kami hanya boleh datang 15 minit sebelum pukul 12 sahaja. Bermacam alasan diberikan. Padahal aku dah tahu yang terms and conditions mereka, sekiranya tempahan dibatalkan 30 minit sebelum waktu tempahan, maka mereka berhak mengenakan caj berdasarkan nilai tempahan ke atas kad kredit kita. Kalau kita tiba awal contohnya dua jam sebelum, dan mendapati terms and conditionsnya sangat berat sebelah lalu decide untuk membatalkan tempahan, mereka tak boleh buat apa-apa sebab pembatalan dibuat lebih dari 30 minit dari waktu tempahan. Mereka memang sangat licik ok.

- Ada beberapa lagi terms and conditions pelik yang akan aku ceritakan khas untuk entri tips sewa kereta sahaja.

Dipendekkan cerita kami cuma dapat mengambil kereta pada pukul 1.30 petang. Memandu keluar dari tempat parking kereta Easirent di Holiday Inn Bloomsbury London dengan dua buah kereta (kira-kira lima minit lagi berjalan kaki dari pejabat Easirent). Kami dapat kereta Ford Focus dan famili Mira & Irsyad dapat kereta Peugeot C4 Cactus, tapi model lama sikit.

Perjalanan dari London tengah hari itu agak jammed dan kami mengambil masa yang agak lama untuk keluar dari pusat bandar. Badan wife pula masih panas lagi dan dia mengadu sakit seluruh badan. Macam demam urat. Rasanya kesan akibat berlumba lari dengan anak di Versailles semalam dalam hujan. Di King Cross tadi aku dah standby belikan analgesic cream kat drug store, tahun ni terlupa pula nak packing ubat ni dalam senarai, tak seperti tahun lepas, hanya ubatan kanak-kanak je yang lengkap. Destinasi pemanduan adalah menuju ke Durdle Door di Dorset, England, kira-kira 225km dari London. Memandangkan aku memandu di sepanjang perjalanan dan wife pula tidur kerana tak larat sangat, maka tiada satu gambar pun yang diambil. Nasib baiklah anak-anak ok saja duduk dalam car seat, terutamanya si Aryan. Kat Malaysia ni sesekali je dia duduk dalam car seat, itu pun sangat susah nak dapat dia duduk tanpa meragam. Kat sana elok pula dia diam dalam car seat.

Pemandangan perjalanan kali ni adalah pemandangan typical bagi sebuah laluan di countryside UK. Sesekali terserempak dengan ladang rapeseed yang menguning, tapi tak ada yang secantik ketika kami lalui dalam perjalanan dari Liverpool ke Cotswold tahun lepas. Laluan ke Durdle Door ni adalah di bahagian selatan UK. Memang tak boleh lawan dengan view di sebelah utara UK. Orang kata ke Scotland sana lagi cantik.

Hampir jam 6 petang kami pun tiba di Durdle Door. Kawasan parking Durdle Door ni consider private property, kaya laa dia kutip hasil parking je. Juga kelihatan beberapa homestay atau chalet yang dibina di kawasan tersebut.

Ketika aku memasuki kawasan parking, kereta di sebelah aku kebetulan baru hendak keluar. Orang UK, suami isteri dengan seorang anak. Sebaik sahaja aku keluar dari kereta, dia sempat tegur aku dan menawarkan aku untuk mengambil kupon parking beliau. Dia kata buat rugi je nak bayar sebab selepas pukul 6 dah dikira free. Baki masa tertera di kupon parking beliau ada lagi dalam 30 minit. Tiada bayaran masuk untuk melawat Durdle Door, yang ada cuma bayaran parking. Rate parking adalah £3 untuk dua jam pertama, £5 untuk 2-4 jam, £7.50 untuk 4-6 jam dan £9 untuk 6 jam dan ke atas.

Dari tempat parking, kami perlu berjalan lebih kurang 5 minit untuk ke tebing tinggi yang menampakkan Durdle Door, atau pun kadang-kadang disebut Jurrasic Coast. Memang rupa batu tu ada macam rupa dinosaur. Agak cerun juga kawasan jalan kaki ni. Tapi Adam & Ariff rileks je berlari-lari. Dari pagi lagi tak sabar nak mandi pantai katanya. Kami cuma cakap kalau tak sejuk sangat boleh laa mandi. Memang pernah survey, ada je orang mandi kat pantai ni masa bulan April. Tapi, memandangkan keluar saja dari kereta pun kami dah terketar-ketar, takde harapan laa nak bagi diorang mandi. Karang kalau demam esok lusa susah pulak.

Pemandangan Durdle Door dari atas tebing tinggi sebelum turun ke pantai.

Ini pula Man O'War Beach, pantai di belakang Durdle Door. Air lautnya tenang sahaja tanpa ombak besar.

Sejuk sangat time ni. Tapi Adam & Ariff rileks je pakai baju yang tak berapa tebal.


Adam yang paling cergas berlari ke sana sini. 

The Mira's family. Dahlia dah sihat, tapi macam takde mood sangat.

DJI gimbal yang banyak digunakan untuk rakaman video trip kali ni. Aku je tak sempat nak compile video tu semua lagi. Kesian wife, demam belum kebah sepenuhnya. Tapi cuba juga senyum bila minta nak ambil gambar.

Di belakang kami tu cliff yang di sebelah kanan.



Kami mengambil masa untuk bergambar dari atas tebing dengan menikmati pemandangan Jurrasic Coast ni dari atas. Subhanallah, cantik betul ciptaan Allah. Dari atas ni kita boleh nampak cliff yang beralun-alun di sepanjang pinggir pantai di bahagian selatan UK ini menghadap Lautan Celtic.

Dari atas tebing yang agak tinggi tu, kami menuruni tangga untuk ke bahagian tepi pantai. Ombaknya tidaklah besar menjadikan tempat ni memang sesuai untuk berkelah. Kalau musim summer ni mesti lagi ramai orang. Ariff & Adam dah berkejaran nak main air, dapat masuk paras lutut pun jadilah. Diorang ni memang kulit kura-kura betul. Tak reti sejuk.

Aryan yang sentiasa ceria dalam trip ni. Dia buat perangai bila mintak aiskrim je.

Durdle Door.

Kami bersembilan.

Pasir pantai dia agak kasar. Bukan pasir lagi dah ni, ni dah dikira batu. 

Our family.



Dahlia yang masih dalam kejutan. Agaknya dia fikir kat mana laa aku ni sejuk semacam.

Kami mengambil masa lebih kurang setengah jam sahaja di sini. Menikmati pemandangan dan bergambar. Selepas itu tugas berat menanti, panjat ke atas semula. Masa dah penat berseronok main air, Adam mulalah mengadu tak larat nak panjat tangga dan tebing tinggi tu. Sudahnya aku kena dukung budak tujuh tahun ni sampai atas. Mengah dibuatnya. Aryan pula Luqman yang tolong dukung sampai atas.

Luqman yang mendukung Aryan di atas bahunya ketika naik ke atas semula. 

Di kawasan parking Durdle Door. Kat sini ada banyak bench dan meja untuk orang picnic.

Gambar ni aku ambil dari dalam kereta sebelum bertolak pulang. Tempat parking ni betul-betul mengadap ladang rapeseed yang sedang menguning. 

Kami memandu dari Durdle Door ke penginapan kami malam ini di Bromham, Chippenham pada pukul 7.30 petang. Hari semakin gelap dan pemandangan semakin kelam. Hampir di sepanjang perjalanan melalui kawasan kampung dengan jalan yang sempit. Alhamdulillah, hampir pukul 10 malam kami pun sampai di BnB yang dituju. Telefon host BnB, Karen dan dia pun muncul beberapa minit kemudian. Rumah dia kat sebelah tu saja rupanya. Patutlah dia cakap tak kisah kami sampai pukul berapa pun.

Setelah diperkenalkan semua bilik dan kemudahan dalam rumah, Karen meminta diri untuk pulang. Kami tak mengambil masa yang lama untuk membersihkan diri, solat dan terus tidur.

Dalam entri yang akan datang aku akan ceritakan lebih lanjut tentang BnB Karen yang sangat best ini. Moga ketemu lagi.

CONVERSATION

0 comments:

Post a Comment

Back
to top