[PARIS LONDON 2017] DAY09 DISNEYLAND PARIS!!

Disneyland Paris


Catatan hari ke-lapan boleh dicapai di sini.
Maaf lama tak update blog, alhamdulillah aku dan isteri telah berangkat ke tanah suci untuk mengerjakan umrah pada 14 - 25 Feb yang lepas. Dan selepas itu pulak ada terlalu banyak komitmen kerja dan urusan yang perlu diselesaikan.

Hari ke-sembilan, Jumaat 5 Mei 2017. Sama seperti bas ketika ke London minggu lepas, bas ke Paris kami kali ini juga melintasi Selat Inggeris melalui tunnel dan bukannya feri. Untuk rehat secukupnya, laluan tunnel adalah lebih baik sebab kita tak perlu turun dari bas ketika sejam setengah melintasi selat ini. Kalau menaiki feri, ketika bas berada di atas feri, kita diarahkan turun untuk lepak atas feri. Kalau macam kami ni dengan anak-anak kecil, memang elok sangatlah lalu ikut tunnel.

Kami tiba di stesen bas Bercy pada pukul 8 pagi. Dari sini kami berjalan menuju ke station metro terdekat, stesen Bercy. Memang senang sebab dari sini kami cuma perlu menaiki metro tanpa bertukar stesen untuk ke Dupleix. Di Dupleix, kami berjumpa Alex sekali lagi untuk mengambil kunci rumahnya.

Dari segi susunan itinerary, sebenarnya hari ini kurang sesuai untuk ke Disneyland Paris kerana kami baru sangat tiba dari London. Satu faktor yang kurang sesuai adalah dari segi rushing. Dari turun bas kena ambil metro ke apartment, simpan barang, mandi, breakfast dan lepas tu baru keluar. Pukul berapa nak sampai Disneyland.

Faktor kedua yang perlu difikirkan adalah kepenatan. Tidur dalam bas bukanlah sama seperti tidur atas katil apartment, dengan kena gilir-gilir memangku anak kecil, diganggu pula kena turun dua kali untuk pemeriksaan imigresen. Tetapi, kami tidak mempunyai banyak pilihan lain kerana flight balik ke Malaysia adalah pada hari Ahad. Untuk pergi pada hari hujung minggu bukanlah satu pilihan yang bijak kerana pengunjung pada hari Sabtu & Ahad akan meningkat sekurang-kurangnya dua kali ganda. Maka, kami pun melupakan kepenatan dan membeli tiket Disneyland untuk hari Jumaat itu juga.

Buat pengetahuan korang yang mungkin tak tahu. Disney ada bangunkan Apps "Disneyland Paris" untuk mengetahui estimated wait times untuk each attractions, ada interactive maps, boleh tahu ride apa yang closed for refurbishment (maintenance), boleh check rides yang mana anak kau boleh naik (ada height restriction) boleh view entertainment schedule sebab ada banyak persembahan yang best untuk kau tengok dan pilih. Pendek kata sangat memudahkan. Macam kami yang pergi sehari tapi cover dua tempat terus ni begitu penting untuk kami pilih, persembahan apa yang paling dekat dihati anak-anak. Macam frozen tu sebabkan anak kami lelaki, walaupun katanya best, kami terpaksa skip, dan kami pilih untuk menonton Star Wars performance instead. Kebetulan pulak minggu aku pergi tu memang minggu star wars. Kami pergi tu sehari selepas May the forth. Kebetulan tahun 2017 adalah ulangtahun Disneyland Paris ke 25. Jadi aura magical tu macam terlebih pulak. Aku dan wife dah download apps ni awal-awal. Wife pun dah siap test beberapa bulan lebih awal untuk menjustifykan hari apa yang paling kurang orang bertandang ke Disneyland. Selalunya over the weekend, masa beratur boleh mencecah 60 sehingga 90 minit terutama ketika musim panas, jadi agak rugi la buang masa untuk beratur dan dapat cover berapa rides je. Buatlah perancangan rapi nanti ya.

Sedikit tips untuk memburu tiket diskaun atau promosi untuk ke Disneyland, terutamanya bagi kita yang hanya nak membeli tiket masuk ke theme park sahaja, tidak termasuk hotel Disneyland. Ada beberapa website yang menjual tiket Disneyland pada harga lebih murah berbanding harga promosi di website Disneyland sendiri. Aku membandingkan harga di beberapa website dan akhirnya memilih untuk membeli dari AttractionTix.co.uk. Banyak dapat jimat, £18 untuk tiket dewasa dan £17 untuk tiket kanak-kanak. Semua sekali penjimatan untuk lima tiket dewasa dan dua tiket kanak-kanak adalah £124, banyak tu. Antara website lain yang korang boleh survey sebelum membuat tempahan adalah 365ticket.com dan isango.com.  Ada banyak lagi, boleh google sendiri tapi pastikan website tu genuine ya, jangan beli dari scammer pulak. Diskaun dari ejen ticket ini berbeza-beza mengikut masa, ko kena rajin sikitlah check dari masa ke semasa. Ada masanya harga dia jadi lebih kurang je dengan harga di website rasmi Disneyland Paris.

Tiket Disneyland Paris ni dibahagikan kepada tiga jenis mengikut hari. Ada hari yang dimark sebagai mini, magic atau pun super magic.Pembahagian ini dibuat berdasarkan low, high and peak season. Pemegang tiket Super Magic boleh pergi any date, pemegang tiket Magic boleh pergi hari yang mark sebagai magic atau mini, manakala pemegang tiket mini boleh pergi pada hari yang ditanda sebagai mini sahaja. Sebab tulah tiket mini yang paling murah. Alhamdulillah, hari kami pergi tu jatuh pada hari mini, jadi kami boleh beli tiket mini sahaja. Kalau korang nak tahu tarikh yang korang nak pergi tu kena beli tiket apa, boleh check di website Disneyland Paris.

Contoh kalendar tiket mengikut hari di website rasmi Disneyland Paris. Harga tertera adalah untuk admission satu park sahaja.

Kami memilih untuk mengambil tiket 1 Day 2 Parks. 2 parks sebab Disneyland Paris ni ada Disneyland Park & Walt Disney Studio Park. Ikutkan memang tak cukup nak redah dua park ni dalam masa sehari, tapi kalau nak ambil dua hari untuk kedua-dua park rasanya rugi pulak. Lebih baik pelbagaikan itinerary dengan aktiviti lain. Nak ambil 1 park je rugi pulak tak merasa untuk masuk kedua-duanya, sebab tak tahu lagi bila boleh sampai. Kedua-dua park ni ada keistimewaannya yang tersendiri.

Oleh kerana kami nak melawa-lawa dulu sebelum ke Disneyland, bercampur kepenatan setelah menempuh perjalanan semalaman dari London ke Paris. Sudahnya kami keluar untuk ke Disneyland pada jam 10 pagi, dan sampai di sana pukul 11 pagi. Rugi sejam, sebab Disneyland dibuka satu jam lebih awal.

Untuk ke Disneyland dari pusat bandar Paris tidaklah susah. Macam aku ceritakan semasa entri ke Versailles tempoh hari, rangkaian train ke luar pusat bandar Paris banyak dihubungkan dengan rangkaian train RER. Untuk ke Disneyland, kau perlu naik train RER A menuju ke Marne La Vallée.

Map train RER-A. Turun di stesen terakhir Marne La Valee Chessy. Kalau nak ke tempat shopping Val-d'Europe, turun satu stesen sebelumnya.


Harga tiket train RER A ke Disneyland adalah €7.60 untuk dewasa dan €3.80 untuk kanak-kanak di bawah 9 tahun (Zone 1 -> Zone 5). Boleh juga menggunakan pass seperti Paris Visite Card (5 Zone), Pass Navigo Decouverte 5 Zone dan Ticket Mobilis 5 Zone.

Tak jauh dari pintu keluar train station korang boleh nampak entrance ke Walt Disney Studio Park. Muka Adam yang dipaksa senyum.

Sampai je di stesen Marne La Valee Cheesy, perkara pertama yang harus dilakukan adalah mengambil nasi ayam dari Kak Nur Nasi Ayam Paris. Kak Nur ni memang famous, tinggi dan cantik orangnya, instagram dia ada 155k followers. Waktu aku follow dia dulu rasanya kurang 30k je followers dia. Tinggal di Paris dan berkahwin dengan orang Perancis. Lawa-lawa anaknya. Anak ketiga dia si Jade tu memang bijak, boleh cakap French, English dan Melayu, siap dengan dialek nismilan. Ko hado? Korang kalau ke Paris dan teringin nak makan nasi ayam, boleh order dengan dia. Whatsapp je ke nombor +33 6 0848 4710 atau masuk IG dia light.km. atau nasi ayam paris.

Harga nasi ayam Kak Nur ni €10 satu set. Agak mahal sebenarnya, tapi berbaloilah sebab kat Disneyland ni susah nak cari makanan halal yang mengenyangkan. Lagi pun portion nasi ayam ni memang banyak dan ayamnya pun besar. Kak Nur siap bagi extra ayam lagi. Alhamdulillah, makanan kami tak ditahan ketika pemeriksaan dikaunter masuk. Kami susun elok-elok bekas-bekas nasi ayam tu kat bawah stroller. Kak Nur dah beritahu, biasanya diorang tak strict sangat periksa bila bawak anak kecil.

Kami decide untuk masuk ke dalam Walt Disney Studio Park dahulu. Sebab nanti petang nak tengok parade kat Disneyland  Park pukul 5 petang. Masuk je dalam kami terus ke Studio Tram Ride: Behind the Magic. Ride ni antara yang paling best di sini, kebetulan masih awal dan que pun tak berapa panjang, kami teruskan ke sini. Sambil orang lain pergi beratur aku pergi ke mesin fastpass yang terdekat dan dapatlah ambil fastpass untuk Tower of Terror. Tower of Terror ni adalah satu lagi permainan yang top list kat sini.

Fastpass ni satu kemudahaan yang boleh dinikmati oleh pengunjung Disneyland bagi mengelakkan beratur terlalu lama bagi sesuatu permainan. Cara nak utilize fastpass ni senang je, cari je mana-mana mesin fastpass dalam Disneyland tu. Ada banyak fastpass machine, korang pilihlah machine mengikut permainan yang korang nak naik. Pilihlah permainan yang memang kebiasaannya memang kena menunggu lama, tapi ingat, untuk permainan yang macam ni mungkin korang ambil fastpass pukul 11 pagi, pukul 5 baru boleh naik. Nak utilize next fastpass dah tak available, sebab bilangan fastpass yang dikeluarkan sehari memang terhad. So rancanglah baik-baik, kalau nasib baik dapatlah guna dua kali fastpass. Macam kami, fastpass yang first ni pun dah gilirannya pukul 4 petang, jadi memang tak ada harapan nak ambil fastpass yang seterusnya, sebab setiap orang hanya boleh memegang satu fastpass sahaja dalam satu-satu masa.

Lepas layan Studio Tram yang memang awesome dan real sekali, kami ingat nak try lagi beberapa permainan yang lain. Tapi si Adam dah tak sabar-sabar nak makan. Untuk mengelakkan mood semua orang terganggu, kami cari satu port berkelah yang redup, buka bekalan dan makan kat situ jugak beramai-ramai. Masa habis makan tu dah dalam 12.30 tengah hari, elok pulak waktu Zuhur pun dah masuk. Alang-alang dah rest kami terus gilir-gilir solat jamak zuhur & asar kat tempat kami makan tu. Tak perlu risau pun, orang putih tak kisah pun kita melaksanakan kewajipan kita. Asalkan kita jaga kebersihan dan keselesaan semua orang. Bila spray wuduk tu janganlah pulak kau basahkan kawasan tempat duduk orang ramai kat situ. Cukuplah sekadarnya dan sediakanlah towel kecil dalam bag supaya boleh lap terus selepas berwuduk.

Selesai makan dan solat, kami meneruskan misi untuk bergembira di sini. Terdapat beberapa rides yang kata orang not to be missed seperti Space Mountain, Armageddon, Dumbo & Le Carrousel de Lancelot (sesuaila untuk Aryan dan Dahlia), Tower of Terror dan Ratattouille. Kami listkan siap-siap ride yang kami target sebab nak cover dua park dalam masa sehari. Terlalu banyak permainan untuk dipilih, itu pun kami tak sempat naik semua yang kami target. Keutamaan terpaksa diberikan mengikut kesukaan kanak-kanak.

Aku pun taknaklah memanjangkan cerita rides yang kami naik satu persatu. Lebih kurang je dengan Disneyland Park atau taman tema permainan yang lain-lain. Kalau dibandingkan dengan Disneyland Hong Kong, aku rasa Disneyland Paris ni lebih besar dan permainannya pun lebih hebat. Tetapi, kalau dikira dari segi kesesuaian untuk kanak-kanak, aku rasa Disneyland Hong Kong lebih baik. Kat sana lebih banyak permainan yang mesra under age berbanding kat Paris ni keseronokan dia lebih untuk orang dewasa sikit. Dari segi crowded dan masa menunggu, Disneyland Hong Kong adalah lebih baik. Seingat aku paling lama menunggu di HK dalam 25 minit je, tapi di Disneyland Paris ni ada yang kena tunggu sampai sejam setengah.

Mainan ni macam coffee cup ride yang pusing-pusing tu. 

Ni time beratur untuk Studio Tram Ride. 

Ni pulak time naik tikar terbang Aladin.

Aryan ni kenal ke idok dengan Mike Wazowski ni? Rasa macam dia tak pernah tengok.

Persembahan Star Wars: Season of the Force. Bagi aku dan Ariff yang memang peminat Star Wars, memang bestlah. Tapi wife kata biasa-biasa je. 


Lebih kurang pukul 5 petang kami keluar dari Walt Disney Studio Park dan masuk ke Disneyland Park. Tepat-tepat waktu Disney Parade bermula. Memang silaplah masuk time ni, dah tak dapat kedudukan yang strategik macam kat Disneyland Hong Kong dulu. Kalau dulu tu, setengah jam sebelum parade kami dah cop tempat. Bertabah jelah tengok dari belakang-belakang je. Aku siap kena dukung Aryan sebab dia tak nampak, jadi takdelah boleh nak rakam penuh dengan camcorder macam dekat Hong Kong dulu.

Di hadapan entrance Disneyland Park.

Selepas Parade, kami cuba beberapa permainan lagi sebelum tengok tarian The Starlit Princess Waltz - satu persembahan tarian dan musikal yang mengumpulkan princess-princess Disney. Mira cakap best sampai rasa nak nangis. Bukan sebab sedih tapi sebab best sangat. Aku yang lelaki ni rasa biasa-biasa je.

Dalam pukul 7.30 petang, kami dah pun kepenatan nak round lagi, jadi kami ambil keputusan untuk cop tempat di hadapan castle untuk pertunjukan Disneyland Illumination. Pertunjukan ni bermula pada pukul 9 malam, tetapi disebabkan orang dah mula mengambil tempat dan kami tak nak jadi macam parade tadi, so kami ambil tempat awal-awal. Sambil tu beli popcorn dan air yang tersangat mahal (aku dah lupa harganya). Dekat dua jam kami cuma duduk je dekat tempat yang dah dicop tu, sementara Luqman & Ariff masih lagi merayau mencuba beberapa permainan. Akhirnya pada pukul 9.30 malam, persembahan Disneyland Illumination pun bermula. Sangat menarik dan berbeza berbanding dengan pertunjukan bunga api yang kami pernah saksikan, sama ada di USS Singapore atau pun di Disneyland Hong Kong dulu.


Disneyland Illumination adalah gabungan persembahan laser, bunga api dan water fountain. Kalau ada masa aku uploadkan videonya, tapi video taklah menarik sangat sebab rekod guna handphone sahaja.

Persembahan Disneyland Illumination selesai lebih kurang pukul 10.30 malam. Waktu tu orang terlalu ramai nak keluar. Kami duduk sekejap sebelum bangun kerana keadaan yang terlalu sesak. Baru halfway berjalan keluar, Adam & Ariff minta nak pergi toilet pula. Terpaksalah patah balik mencari toilet, nanti kalau dah naik train susah pula. Beratur kat toilet, patah balik ke train, tup tup masa dah pun 11.30 malam. Orang masih lagi ramai. Kami yang dalam kepenatan masa tu bertekad untuk masuk sahajalah apa-apa train yang sampai selepas ini, sesak pun sesaklah. Daripada berdiri kat situ baiklah berdiri dalam train, dapat juga bergerak menuju ke apartment.

Kami dapat masuk train pun ngam-ngam depan pintu, setelah berhimpit-himpit. Sebaik sahaja pintu train ditutup, seorang lelaki dari luar berlari ke arah pintu kami dan menjerit dalam bahsa perancis sambil mengetuk-ngetuk pintu train tadi. Pintu train dibuka semula. Lelaki tersebut kelihatan memberikan arahan kepada pegawai train yang bertugas di landasan. Apa yang aku faham dia mengarahkan supaya train ni jangan bergerak dahulu. Kemudian lelaki tersebut keluar masuk seakan-akan mencari seseorang. Sekejap dia cari melalui tingkap dari luar, sekejap dia masuk semula. Kali ni dia masuk dan terus menuju ke arah seorang perempuan yang sedang duduk di celah-celah orang ramai.

Rupanya lelaki tu adalah polis dan perempuan tu adalah penyeluk saku. Hebat betul, aku tak tahu macamana dia boleh cari perempuan tu dalam keadaan yang sesak macam ni. Agaknya dia memang dah kejar dari jauh dan yakin perempuan tu masuk ke dalam gerabak yang ini. Polis tu buat pengumuman meminta semua penumpang berhati-hati dan sila check dompet serta passport masing-masing. Kali ni dia cakap english, walaupun tak berapa fasih tapi cukuplah untuk difahami. Selama ni dengar cerita orang je yang Paris ni banyak penyeluk saku, kali ni jumpa depan mata. Siap kena tangkap dengan polis lagi.

Selepas tu perjalanan diteruskan sehinggalah kami sampai semula ke apartment kami pada jam 1 pagi. Syukurlah apartment depan metro aje. Penatnya hanya Tuhan yang tahu. Cadangan aku, kalau kau nak tonton Disney Illumination tu ada baiknya tempat penginapan kau berhampiran Disneyland atau pulang dengan Uber sahaja. Perjalanan dalam train dalam keadaan ketiga-tiga anak meminta ruang untuk tidur, terpaksalah kami gilir-gilir memangku Aryan. Adam & Ariff pula asal ada ruang kosong je dah terjelepuk atas lantai. Nak tegah pun tak sampai hati, orang-orang dalam train tu pun faham sangat siap ke tepi bagi anak aku tidur sambil duduk.

Begitulah catatan seharian kami di Disneyland pada hari ini. Mudah-mudahan apa yang aku kongsikan ni bolehlaa jadi panduan untuk korang ke sana nanti. Jumpa lagi dalam entri yang akan datang.

CONVERSATION

13 comments:

  1. Salam, Hai. Nak tanya berkenaan pembelian disneyland tiket di website, bila nk purchase ada notes "THIS TICKET CANNOT BE USED ON THE DAY OF PURCHASE". Means kalau sy pilih tarikh 20/8. Sy kena masuk 21/8 ke?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam. Sorry baru nak balas. Busy sikit. Maksud "THIS TICKET CANNOT BE USED ON THE DAY OF PURCHASE" tu, kalau awak nak masuk park hari ni, tak boleh laa pada hari ni baru masuk website nak beli. Tidak boleh digunakan pada hari pembelian, begitulah maksudnya.

      Delete
    2. Terima kasih ya, banyak tips dapat dari blog encik untuk plan trip kami december ni. Nervous first time akan ke sana berdua sahaja :)

      Delete
  2. Salam Zahid, sory nak tanya lagi....utk web tiket AttractionTix.co.uk, zahid letak address mcm mana ye? sbb masa nak beli dia ada mintak UL address kan...tq

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya, betul.. baru teringat dia ada mintak alamat UK. Saya pernah call, mmg dia jual utk market UK sahaja sebenarnya. Saya hari tu guna alamat kawan kat Cambridge..

      Psst.. letak je alamat mana². Dia tak check. Hehehe..

      Delete
  3. Hi. Boleh tahu ticket ni nanti dia akan pos or dia email je?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hi. Yang saya beli melalui AttractionTix.co.uk tu diorang email je tiketnya. Print sendiri.

      Delete
    2. Assalamualaikum Boleh akak contact awak untuk Tanya lebih detail. Boleh was up tak. Tq.

      Delete
    3. Waalaikumussalam.. boleh PM saya kat FB atau IG. Kat profile saya ada link.

      Delete
  4. Your vacation with children to Disneyland Paris is very fun. In addition to its destination that is suitable for children, the atmosphere is also very crowded. Thank you for sharing your experiences and knowledge about holidays. Theapartmentsumalas.com

    ReplyDelete
  5. Assalam encik zahid, boleh kongsi tak tips prevention utk pickpocket kat sana based on your experience ke sana beberapa kali? kena sauk naya mat huhu

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam tuan. Macam saya, saya pakai pouch yang diletakkan dalam t-shirt. Duit dan kad debit bigpay saya letak dalam ni. Wallet dan passport pula memang sentiasa dalam backpack saya bahagian paling bawah, atas tu ada bag kamera dan towel kecik/botol air. Kiranya bahagian paling dasarlaa kalau orang nak capai. Elakkan guna sling bag, sebab sling bag ni tak dalam. Pencuri tu boleh buka zip sesaat je tanpa kita sedar dan terus keluarkan wallet kita. Lagi naya kalau dia terambil passport kita sekali.

      Delete

Back
to top