Trip Umrah 2018 Bersama Almukminin Travel - Part 1


Ya, awak baca dengan betul. Bukan typo error. Memang 2018. Busynya aku sehingga dah lama sangat tak update blog ni (baca: malas).

Memandangkan aku pernah berangan-angan untuk tulis semua trip aku ke luar negara, macam tak best pulak nak skip trip umrah ni kan. Tak banyak mana pun trip aku selepas tu, cuma April lepas kami ke Krabi & Phuket dan baru awal bulan hari tu kami ke Melbourne (kan dah kantoi update blog sebab nak update trip Melbourne je sebenarnya).


Trip umrah 2018 ni sebenarnya dah lama dalam perancangan. Mencari masa dan bajet yang sesuai selain perlu juga merancang bagaimana nak tinggalkan anak-anak. Asalnya dulu-dulu berangan nak pergi umrah sempena anniversary ke 10, tetapi dah 2017 kami 'terbeli' tiket ke Paris dengan budak-budak, maka kami tunda ke tahun hadapan untuk anniversary ke-11.

Kami juga pilih bulan Februari sebab cuaca masih belum terlalu panas. Di Madinah memang masih sangat sejuk, ada satu hari tu suhu turun sehingga 8 degree C, dah macam kat Europe. Tapi average suhu kat sana masa tu lebih kurang 16-20 deg C. Sangat sedap dan nyaman. Kat Mekah lebih panas, average temperature sekitar 25 deg C ke 30 dg C. Masih selesa untuk beribadat.

Kalau nak lagi sejuk boleh pilih untuk pergi bulan Disember atau Januari. Bulan Disember terlalu ramai orang sebab cuti sekolah, manakala bulan Januari pula keadaan di office selalunya agak sibuk kerana tahun baru bermula, biasanya banyak perkara yang pending pada bulan Disember perlu diselesaikan. Maka, Februari adalah waktu yang paling sesuai bagi kami. Tambahan pula waktu kami pergi tu ada cuti Tahnu Baru Cina, maka dapatlah jimat cuti sedikit.


Video yang sempat aku compilekan. 

Penerbangan

Kami terbang dengan Saudi Airlines, sudah tentu penerbangan terus ke Madinah Airport. Hanya tiga syarikat yang ada penerbangan terus ke Saudi dari KLIA iaitu Saudi Airlines, Malaysia Airlines & Air Asia X. Jadi lepas ni kalau korang nampak pakej-pakej umrah tu, korang terus boleh tahu mana yang direct dan mana yang ada transit berdasarkan airlines yang tertera.

Penginapan di Madinah

Di Madinah kami menginap di Hotel Saraya Taba. Tak sampai 50 meter dari Masjid Nabawi. Kedudukan hotel kami di bahagian hadapan Masjid Nabawi, paling hampir dengan pintu 37 & 38. Yang bagusnya kedudukan hotel di sebelah sini adalah tidak ada banyak tempat shopping, jadi perjalanan pergi dan balik dari masjid kami tidaklah hilang fokus dari tempat yang dituju. Yang aku rasa best, pintu 37 ni dekat sangat dengan Raudhah. Dari bilik hotel dah nampak kubah hijau masjid Nabawi, betul-betul di atas makam Nabi jujungan yang mulia, Muhammad SAW. Baru nak rehat di bilik, bila tengok kat tingkap nampak kubah hijau tu rasa rindu nak cepat-cepat ke masjid semula.

Cuma bila nak shopping tu kena jalan kaki ke bahagian belakang masjid Nabawi yang ada banyak tempat jualan. Kat sini asal jalan kaki je, berderu peniaga akan tarik suruh masuk kedai masing-masing. Ramai juga yang boleh cakap melayu, perkataan-perkataan yang asas. Diorang dah kenal dah jemaah Malaysia ni, jemaah yang memang datang bawak banyak duit. Nasib baiklah kami tak perlu lalu sini setiap kali pergi dan pulang dari masjid. Sebabnya agak rimas juga kadang-kadang style diorang meraih pelanggan ni.

Penginapan di Mekah

Di Mekah, kami menginap di Tharawat Diyafat Al Rahman Hotel. Pakej kami ni pakej yang jauh dari Masjidil Haram, syarikat declare lebih kurang 350 meter. Tapi rasa macam lebih 400 meter. Jauh juga jalan kaki. Setiap syarikat yang menawarkan pakej umrah akan declare hotel yang mereka tawarkan berdasarkan jarak dari hotel hingga ke dataran masjid yang terdekat. Sebenarnya dari dataran tu nak ke Kaabah akan mengambil masa lebih lima minit berjalan kaki. Jadi kalau 350 meter ke dataran maknanya tempoh jalan kaki ke kawasan tawaf adalah lebih daripada 15 minit. Jauh juga tu.

Memandangkan ini pengalaman pertama kami ke sana kami tak kisah sangat. Tapi untuk lain kali, aku rasa jarak hotel sangat penting. Ambillah hotel yang dekat, kalau boleh di bangunan Safwah Tower atau sekitarnya. Kalau rasa nak jimat, boleh minta syarikat excludekan makanan dan korang boleh makan sendiri, kongsi-kongsilah dengan pasangan. Sebab portion roti, kebab dan nasi dekat sana memang agak besar. Lagi pun tujuan utama ke sana bukan untuk makan, kita nak lebihkan masa di masjid untuk tumpukan ibadat semaksimum mungkin.

Bila hotel jauh macam kami, kami selalu dalam dilema bila lepas waktu subuh, zuhur dan isya'. Rasa macam nak stay di masjid lagi untuk buat tawaf, baca quran atau apa-apa jelah. Tapi waktu sarapan, makan tengah hari dan makan malam tak lama. Kalau balik lambat makanan habis ataupun kalau tak bernasib baik kafe dah pun dikemaskan. Bila dah balik hotel untuk makan tu, mestilah naik bilik dulu lepas tu dah malas nak terus ke masjid semula sebab jarak yang jauh. Kalau jarak hotel yang dekat dan korang boleh arrange makanan sendiri, korang boleh susun jadual korang sendiri tanpa terikat dengan waktu makan di kafe hotel.

Tempat-tempat Lawatan

Boleh dikatakan semua pakej umrah yang standard akan ada tempat-tempat lawatan yang lebih kurang sama. Ketika di Madinah, kami dibawa melawat Masjid Quba', Bukit Uhud, ladang dan pasar kurma, dan kawasan-kawasan sekitar Masjid Nabawi seperti Masjid Ali bin Abi Tholib, Saqifah Bani Saidah, Masjid al Ghamamah, Masjid Abu Bakar As Siddiq dan perkuburan Baqi'. Ada sesetengah pakej menawarkan lawatan ke Taif yang penuh bersejarah.

Ketika di Mekah pula, kami di bawa melawat kawasan tapak mengerjakan haji seperti Jabal Rahmah, Mina dan Muzdalifah. Selain itu kami juga dibawa melawat ladang unta, Telaga Hudaibiyah, Jabal Thur, Tana'im (Masjid Aisyah)  dan Masjid Ja'aranah. Bagi jemaah yang mahu melawat Jabal Nur (lokasi di mana terdapat Gua Hira', tempat wahyu pertama diturunkan), mutawif menyediakan van dengan sedikit bayaran tambahan.

Mutawif akan menerangkan serba sedikit latar belakang sirah bagi setiap tempat yang dilawati. Bagi aku yang memang minat dengan kisah-kisah sejarah Nabawiyah, ini adalah satu pengalaman yang menyeronokkan kerana kita dapat menyaksikan sendiri lokasi kejadian tersebut berlaku pada masa dahulu. Terbayang susah payah dan jerit-perit Nabi SAW dan para sahabat r.a dalam memastikan survival agama Islam di peringkat awal dan seterusnya dapat mengembangkan agama ini hinggalah sampai kepada kita pada hari ini.

Ibadat Umrah

Jemaah dibawa untuk menunaikan ibadat umrah sebanyak empat kali, termasuk umrah wajib pada kali pertama ketika ke Tanah Suci Mekah. Tempat bermiqat ketika dari Madinah adalah di Bir Ali. Manakala umrah pada hari yang lain adalah di Masjid Aisyah di Tana'im, Masjid Hudaibiyah dan
Masjid Jaaranah. Bagi kami yang pertama kali mengerjakan umrah, kami membuat persediaan dengan menghadiri kursus umrah sebanyak dua kali dan membaca buku-buku panduan umrah.

Setelah melalui sendiri pengalaman mengerjakan umrah, sebenarnya umrah ini tidaklah sesukar mana. Apa yang penting adalah penghayatan dalam mengerjakan ibadah tersebut. Aku tidak berniat untuk bercerita panjang tentang urutan dan tatacara mengerjakan umrah, tetapi bagi mereka yang pertama kali ingin mengerjakan umrah, video ustaz Shamsuri di bawah ini sangat membantu. Dalam video ini dinyatakan apakah bacaan-bacaan yang benar mengikut sunnah yang thabit daripada Nabi Muhammad SAW.



Kita tak perlu hafal semua bacaan yang ada dalam buku panduan umrah, tetapi sekurang-kurangnya untuk bacaan-bacaan yang dinyatakan dalam video ini eloklah untuk tidak ditinggalkan. Kalau tak sempat hafal boleh tulis atau print pada kertas kecil dan baca pada ketika yang dinyatakan.

Semasa Februari 2018, kawasan tawaf berhampiran kaabah adalah sangat terhad kerana terdapat pembinaan meluaskan telaga zam-zam. Memandangkan kawasan yang terhad, pihak pengurusan Masjid Al-Haram telah menetapkan peraturan hanya mereka yang berpakaian ihram sahaja (bagi lelaki) yang boleh masuk ke kawasan ini. Keadaan ini menyebabkan aku kadang-kadang miss tawaf sunat ketika memasuki Masjid Al-Haram kerana masa yang diperlukan untuk tawaf di bahagian atas adalah lebih daripada sejam, berbanding hanya 15 hingga 20 minit di bahagian bawah, bergantung kepada kesesakan jemaah pada waktu itu.

Kami dihantar oleh anak-anak, ibu mertuaku & adik ipar Mira yang akan menjaga anak-anak semasa kepergian kami ke tanah suci.


View dari tingkap bilik kami yang menghadap ke makam Nabi SAW.


Aktiviti ziarah sekitar Masjidil Nabawi.


Saqifah Bani Sa'idah, tempat di mana mesyuarat pertama dilakukan setelah kewafatan Nabi Muhammmad SAW. Di sinilah juga para sahabat mebai'at Abu Bakar As-Siddiq sebagai khalifah yang menggantikan Rasulullah SAW.


Di hadapan Masjid Abu Bakar As-Siddiq r.a.


Di hadapan Masjid Ali bin Abi Tholib k.w.


Masjid Quba, masjid pertama dibina oleh Rasulullah SAW ketika berhijrah dari Mekah ke Madinah. Dalam riwayat Ibn Majah, Nabi saw diriwayatkan bersabda, "Sesiapa yang bersuci di rumahnya, dan datang ke masjid Quba’ kemudian solat, maka pahalanya seumpama pahala mengerjakan umrah.".


Ladang kurma.


Pasar kurma, bersebelahan ladang kurma tadi.


Mutawif kami sedang memberikan sedikit gambaran ketika peperangan Uhud di Jabal Uhud. 


Jabal Uhud.

Perkuburan Baqi'. Perkuburan tempat bersemadinya kebanyakan ahlul bait dan sahabat-sahabat  Nabi SAW, termasuk kesemua para isteri Nabi kecuali Siti Khadijah yang dimakamkan di Mekah. Puteri-puteri kesayangan Rasulullah (Fatimah, Ruqayyah, Zainab & Ummu Kalthum) juga dikuburkan di sini. Antara sahabat yang dimaqamkan di sini adalah Uthman ibn Affan, Abu Sa'id al-Khudri, Abdullah ibn Mas'ud dan lain-lain.

Aiskrim dari kedai tidak jauh dari hotel kami. Aiskrimnya sunguh lembut dan sedap.


Cuaca di sini selalunya agak berjerebu, mungkin kesan debu dari padang pasir. Tapi pada hari-hari tertentu akan kelihatan juga langit yang membiru.

Tempat yang paling ramai dikunjungi di Masjid Nabawi adalah Raudhah dan Makam Nabi SAW. Orang sentiasa ramai tak putus-putus. Bagi jemaah perempuan, ada waktu-waktu tertentu yang diperuntukkan, tetapi tiada had masa bagi jemaah lelaki. Walau bagaimana pun, oleh kerana terlalu ramai orang yang berebut ingin memasuki raudhah, maka polis yang berkawal akan menghadkan bilangan jemaah yang masuk pada satu-satu ketika.

Kali pertama aku memasuki raudhah adalah selepas waktu Zuhur, memang tersangat sesak sehingga aku hampir give up. Dahlah masa masuk tu terhimpit di kalangan saudara kita dari Pakistan. Memang teruk berbau peluh kepanasan dek kerana terlalu berhimpit-himpit. Selepas itu, setiap kali sebelum memasuki raudhah aku akan survey dulu barisan. Kalau terlalu ramai aku batalkan niat untuk masuk ke Raudhah dan sekadar lalu di hadapan makam Nabi SAW sahaja untuk melepas rindu. Dapat lihat dinding makam Nabi SAW dari luar pun seronok, semoga kita digolongkan di kalangan mereka yang dapat bertemu baginda di akhirat sana. Allahurabbi.

Tetapi alhamdulillah, pada hari terakhir aku di Madinah, aku memasuki Raudhah pada jam 1 pagi. Bagaikan surpirse, aku melihat raudhah yang ampir kosong. Terlalu banyak ruang yang boleh diambil untuk bersolat dengan tenang. Pada malam yang lain aku datang masjid sekitar jam 3 ke 4 pagi. Memang raudhah dan penuh sesak. Daripada rugi masa nak beratur dan bersesak, aku pilih kawasan dalam masjid untuk mencari ketenangan dan ruang sendiri.

Aku tak pasti sama ada pada malam itu sahaja atau memang pada malam-malam yang lain, raudhah akan paling lengang pada jam 1 pagi. Tapi, kalau korang pergi nanti, try-trylah tengok raudhah pada waktu tu. Malam tu aku dapat berada di Raudhah selama dua jam dengan selesa. Selepas jam 3 pagi, jemaah mula mebanjiri kawasan ini maka aku pun pindah masuk ke dalam ruangan utama masjid.

Aku takde ambil gambar dalam raudhah. Gambar diambil dari voa-islam.com. Tempat ini sangat istimewa sehinggakan Nabi saw pernah bersabda "antara mimbarku dan rumahku merupakan taman dari taman-taman syurga” (HR. Al Bukhari & Muslim).

Bagaikan hadiah buat kami pada hari terakhir di Madinah, kami direzekikan dengan cuaca sejuk dan langit yang membiru tanpa jerebu dan awan. Masa ni suhu 8 deg C.

Terasa sayu sekali untuk meninggalkan bumi Madinah pada hari tersebut.

Catatan selanjutnya akan bersambung di bahagian akan datang. InsyaAllah.

CONVERSATION

0 comments:

Post a Comment

Back
to top