[PARIS LONDON 2017] DAY11 DARI PARIS KE KUALA LUMPUR

Eiffel Tower di hari terakhir kami di Paris. Cuaca masih juga sama seperti semalam. 

Catatan hari sebelum ini boleh dicapai di sini.

Hari ini merupakan hari ke-11 trip Paris London kami kali ini, yang juga merupakan hari terakhir. Flight kami dijadualkan akan berlepas pada jam 10.40PM, jadi kami mempunyai separuh hari untuk berjalan-jalan di sekitar Paris. Pada perkiraan aku, paling lambat kami perlu bergerak ke airport adalah pada jam 4.00 petang. Dua jam diperlukan untuk persiapan berangkat, final packing dan mengemas rumah supaya ditinggalkan dalam keadaan yang sama seperti waktu kami check-in. Jadi, paling lambat kami perlu berada di apartment sebelum jam 2 petang.
Kami bangun pagi seperti biasa pagi itu dan buat kesekian kalinya, cuaca masih juga mendung. Kami plan untuk ke Sacre Coure sahaja, lagi pun tahun lepas datang pun tak sempat sampai. Kami menghubungi Mira kalau-kalau dia nak join, tapi katanya dia nak kemas barang sahaja. Lagi pun Irsyad perlu ke balai polis untuk membuat laporan kehilangan dompet dalam kejadian semalam. Kebetulan Adam tak nak ikut, jadi aku bolehlah tinggalkan Adam dengan Mira. Luqman pula nak join kami, jadi keluarlah kami berlima pagi itu dalam keadaan hujan renyai-renyai.

Dari Station Dupleix, kami cuma perlu menaiki metro menuju ke Charles De gaule-Etoile, kemudian bertukar ke metro line 2 menuju ke Anvers. Total perjalanan lebih kurang 35 minit sahaja. Sacre Coure terletak di kejiranan Monmartre, sebuah kawasan yang terkenal dengan ketenangan dan kafe-kafe yang picturesque. Sebab tu ramai di kalangan traveller yang suka berjalan-jalan bersantai di kawasan ini.

Kami tidak mempunyai banyak masa, jadi dari station Anvers kami terus berjalan ke arah Sacre Coure. Ia mengambil masa lebih kurang lima minit sahaja, tetapi kami sempat juga singgah membeli crepe dan aiskrim. Di laluan pejalan kaki menuju Sacre Coure ini terdapat pelbagai kedai-kedai jualan cenderamata. Harga barangan seperti t-shirt di sini kelihatan lebih murah sedikit berbanding dengan di pusat bandar Paris. Tetapi kalau fridge magnet, harga yang dijual oleh brader-brader negro di sekitar Eiffel Tower adalah lebih murah.


Penjual crepe ni kalau tak silap dari Pakistan.

Makan crepe panas dalam cuaca sejuk macam ni memang nyaman sekali.

Sacre Couer sebenarnya merupakan sebuah gereja Roman Katholik. Ia adalah monumen kedua paling banyak dilawati di Paris selepas Notre Dame. Eiffel Tower jatuh ditangga kelima, aku tak pasti ranking ni dibuat berdasarkan apa. Mungkin berdasarkan jualan tiket.

Tujuan kami melawat Sacre Couer bukanlah untuk melawat gereja. Kami ke sana semata-mata untuk lepak di kawasan yang paling tinggi di Paris, sebab dari sini boleh nampak seluruh Paris. Bukit yang menempatkan Sacre Couer adalah point yang paling tinggi di bandaraya Paris.

Namun hasrat kami untuk melihat view bandar Paris dari sini tidak kesampaian kerana cuaca yang sangat berkabus. Jadi kami meluangkan masa untuk bergambar barang seketika sahaja, sambil menghirup udara kota Paris pada hari terakhir.

Sacre Couer, pandangan dari bawah. Kalau hari cerah ramai orang baring kat bukit ni.



Masa ni hujan dah pun mula turun.

Seketika kemudian, hujan mulai turun dengan agak lebat. Pengunjung yang dari tadi bergambar dan duduk lepak-lepak semuanya bertempiaran mencari tempat berteduh. Boleh pulak lupa nak bawak payung.

View bandaraya Paris yang kelam berkabus.

Tak lama kemudian kami mengambil keputusan untuk beredar dari sini. Dalam perjalanan pulang, kami sempat singgah di satu kedai biskut klasik Perancis, La Cure Gourmande. Mula-mula teragak-agak juga nak masuk, sebab cash euro dah tak berapa banyak yang tinggal. Tapi jurujualnya yang menunggu di muka pintu beriya mempelawa kami.

Kedai biskut ni memang sangat mesra pelanggan. Kami dahlah singgah berlima, setiap jenis biskut yang kami baru tanya saja harga dan main ingredient/flavour, terus diberikan sample. Setiap orang dapat makan macam-macam jenis sampel. Dah makan sampel tu kena laa beli.. Memang ni taktik kedai ni agaknya. Harga boleh tahan mahal juga, aku beli dalam €20 kot. Rasanya kuantiti yang kami makan sampel tu lagi banyak dari kuantiti yang kami beli ni. Terbaik layanan salesman tu. Tak tahulah kalau-kalau lepas tu dia kena buang kerja.

Gambar kat depan kedai ini je yang sempat ditangkap.

Kami terus menaiki metro dan turun di Bir Hakeim. Saje turun kat sini, sebab nak bergambar berlatarbelakangkan Eiffel Tower buat kali terakhir sebelum balik ke Malaysia. Cuaca masih sama, jadi pasrah jelah bergambar dengan langit putih dari tak ada gambar langsung. Dah macam tradisi pulak bergambar di jambatan Bir Hakeim pada hari terakhir sebelum berangkat pulang ke Malaysia. Tahun lepas pun bergambar di sini.

Gambar di lokasi yang sama pada tahun sebelumnya. Cuma kali ni langit dipenuhi awan.,

Di atas laluan pejalan kaki jambatan Bir Hakeim. 

Dalam pukul 1.30 petang, kami berjalan pulang ke apartment. Bag sudah pun dikemas malam tadi, cuma kali ni nak pastikan semua barang-barang dimasukkan ke dalam bag. Apartment juga perlu dikemas supaya kelihatan seperti mana ketika kami masuk. Bagus jaga imej kita pada host BnB ni. Macam kami, kali ni kami dapat sewa BnB ni secara berhubung terus dengan host tanpa melalui website BnB, malah host siap tambah diskaun lagi. Semuanya sebab dia suka sangat macamana kami jaga rumah dia masa menetap di sini tahun lepas.

Lebih kurang jam 4.00 petang, kami berjumpa dengan Mira di station Dupleix. Dan terus berangkat ke airport. Jika tahun lepas kami bergerak ke airport menggunakan perkhidmatan Uber Van. Kosnya €80 untuk satu MPV 7 seater. Disebabkan kami kali ni 9 orang, tak dapatlah guna Uber. Mula-mula cadang nak ambil dua Uber Van, tapi masa datang hari tu dengan train macam senang je, jadi kami pilih naik train jelah. Jimat €90 tu, dah RM400 lebih. (Train pusat bandar Paris – CDG Airport, €10/pax, percuma untuk kanak-kanak bawah 4 tahun).

Perjalanan ke airport dan ke Malaysia tidak ada apa-apa yang menarik untuk diceritakan, selain daripada perasaan tak best sebab percutian dah pun berakhir. Yang lagi tak best, naik flight hari Ahad, sampai Malaysia pukul 10 malam hari Isnin. Dan hari Selasa aku masuk kerja. Apa pun, syukur alhamdulillah kerana percutian kali ini berjalan dengan lancar tanpa ada perkara-perkara yang tidak diingini. Satu pengalaman yang baik untuk kami dan anak-anak.

Dalam entri yang seterusnya aku akan ceritakan tentang budget & ringkasan itinerary keseluruhan percutian sebelas hari kami di UK & Paris kali ini. Hingga berjumpa lagi.

CONVERSATION

0 comments:

Post a Comment

Back
to top