EUROPE TRIP DAY09 PART2: INTERLAKEN & LAUTERBRUNNEN
Bahnhofstrasse Street, Interlaken.
Sebelum aku menyambung cerita tentang destinasi seterusnya, aku letakkan video ringkas kami tentang lawatan ke Blausee. Hari tu video tak sempat edit tapi tak sabar nak publish. Macam biasa, minta maaf atas kualiti rakaman tahap amatur.
Destinasi seterusnya adalah Interlaken. Kami memang putuskan untuk bersantai-santai sahaja sehari dua ni di Switzerland. Jadi itinerary pun taklah padat sangat. Selain Interlaken, bandar berdekatan yang boleh dilawati adalah Thun.
Interlaken
Walaupun cuma sebuah pekan kecil, Interlaken adalah sangat popular di kalangan pelancong ke Switzerland kerana kedudukannya yang menjadi akses untuk ke beberapa tarikan utama, terutamanya bagi mereka yang menaiki keretapi. Stesen keretapi Interlaken menjadi transit bagi mereka yang ingin ke Lauterbrunnen, Murren, Jungfrau, Schilthorn dan Grindelwald. Itu yang aku ingatlah, mungkin ada lagi.
Pekan ini terletak di tengah-tengah di antara tasik Thun dan tasik Brienz, sebab itulah ia dinamakan Interlaken yang bermaksud di antara dua tasik. Kami meluangkan masa sepetang di sini sambil mengambil kesempatan membeli sedikit barang dapur di kedai runcit Denner. Kalau korang ke Switzerland, selain rangkaian kedai Denner, boleh juga ke kedai Coop untuk membeli barang-barang keperluan. Memang bersepah-sepah kedai ni kat sana.
Dalam perjalanan dari Frutigen, kami singgah di kawasan hentian sebelah untuk melihat pemandangan tasik Thun. Kabus masih tebal nampaknya petang ini.









