MELBOURNE 2019 - DAY 01 : KLIA TO AVALON AIRPORT, MELBOURNE

Ketibaan di Avalon Airport, Geelong, Victoria.

Lama betul tak update blog ni.

Jumaat, 2 Aug 2019.

Aku pulang ke Kelantan kerana kecemasan pada hari Ahad 28 Julai. Setelah menyelesaikan urusan keluarga di kampung, hari Khamis 1 Aug aku bergegas pulang ke KL untuk handle trip Melbourne ni. Hampir sahaja aku batalkan niat untuk ke Melbourne, tetapi sudah tersurat aku pergi juga maka hari Khamis aku terbang ke KL jam 11 malam.

Sampai rumah di Bangi ketika jam sudah pun masuk hari baru. Terus aku semak barang-barang yang wife sudah siapkan. Sepanjang malam kami berjaga untuk print boarding pass kesemua 22 orang ahli rombongan. Tak lupa juga jadual declaration makanan dan ubat-ubatan.

Lagi dua orang ahli keluarga, adik ipar aku Mira dan baby lelakinya yang baru berusia tiga bulan lebih pada waktu itu tidak dapat turut serta disebabkan baby dimasukkan ke hospital seminggu sebelum trip akibat batuk-batuk dan paru-paru berkahak. Doktor kata kalau nak bawa masih boleh tetapi lebih selamat untuk berada di Malaysia. Mengambil sikap berhati-hati, maka Mira dan baby Amir Rahman terpaksa ditinggalkan.

Kalau dah bercuti dengan satu keluarga lengkap memang taksah beg tak jadi banyak. Satu sack bag hitam yang nampak handle tu sebenarnya stroller lipat.

Kami keluar dari rumah jam 5.30 pagi denngan memandu kereta masing-masing, empat buah kereta semuanya. Singgah solat subuh di Petronas berdekatan KLIA2. Selepas drop kesemua ahli rombongan dan luggage di KLIA2, para pemandu bertolak ke rumah kawan biras aku di area Sepang tu juga untuk parking kereta. Dalam 15 minit macam tu dari KLIA2. Selepas itu dia menghantar kami semua ke KLIA2 semula. Alhamdulillah, senang urusan bila ada kawan yang membantu.

Kami mula check in di kaunter Air Asia jam 7.30 pagi. Untuk destinasi ke Australia, tidak ada kemudahan untuk check in online. Proses check in perlu dilakukan di kaunter kerana pihak penerbangan perlu menyemak status visa semua penumpang terlebih dahulu. Kesemua kami dah pun mempunyai visa yang diluluskan, pihak ejen ground kami, Ayyash Farouk Travel yang uruskan. RM20 sahaja seorang. Alhamdulillah, visa kami semua lulus dengan sekali apply sahaja.

Selesai check in luggage, kami bersarapan di tingkat atas KLIA2. Kalau korang perasan sebelum ke pelepasan antarabangsa ada escalator naik ke atas. Kat sini memang aman, tak crowded sangat. Ada banyak kerusi untuk lepak-lepak sementara masuk ke bahagian imigresen pelepasan antarabangsa. Kat sini kalau nak bawak makanan sendiri pun ok. Antara kami ada yang bawa kuih, ada nasi lemak dan ada yang bawa nugget goreng dari rumah. Cukuplah untuk alas perut. Kejap lagi dalam flight ada makanan lagi.



Gate dibuka pada jam 9.10pagi, tetapi kami cuma dibenarkan boarding selepas 10.15 pagi. Penerbangan ke Melbourne mengambil masa selama tujuh jam. Tidak ada apa yang special untuk diceritakan dalam penerbangan AirAsia. Alhamdulillah penerbangan smooth dan kami mendarat di Avalon airport jam 7.45 malam waktu tempatan. Awal 45 minit daripada waktu yang dijadualkan.




Pemeriksaan Imigresen dan Kastam

Seperti biasa bagi yang biasa masuk ke Australia akan tahu bahawa negara ini adalah antara negara yang mempunyai semakan imigresen dan kastam yang sangat ketat. Alhamdulillah Visa kami telah pun diluluskan lama sebelum ini dan diuruskan oleh pengendali ground package kami Ayyash Farouk Travel. Cuma, bila nak cop passport tu lama juga disoal oleh pegawai imigresen yang bertugas. Berapa hari datang, apa itinerary, stay kat mana, dan macam-macam lagilah. Nasib baik kami dah bersedia dan tunjukkan semua printout maklumat yang berkenaan.

Selepas selesai daripada kaunter imigresen, kami perlu melalui kaunter semakan kastam pula. Di sini kami tunjukkan print out declaration segala makanan yang dibawa. Kebanyakannya adalah makanan yang telah selamat ditinkan atau dipekkan oleh kilang. Makanan basah atau makanan masak sendiri biasanya takkan lepas, terutamanya yang mengandungi daging, ayam, ikan dan sebagainya. Nak bawa serunding pun tak lepas. Kami bawa sardin, maggi, kari ayam, pek minuman 3 in 1, beras dan sewaktu dengannya. Selainnya boleh beli kat sana.

Pegawai Kastam tak buka semua beg pun. Mereka pilih sebahagian sahaja untuk dipastikan secara random. Alhamdulillah, semuanya lepas tanpa ada makanan yang dirampas. Jangan sesekali ambil risiko untuk memilih tidak mahu declare apa-apa makanan atau ubatan yang dibawa, jika kantoi mereka bukan sahaja akan rampas barangan tersebut, tetapi kita juga akan dikenakan denda yang sangat tinggi dan berisiko untuk tidak dibenarkan memasuki negara mereka.

Kami keluar daripada airport jam 8.30 malam. Alhamdulillah, pegawai Ayyash Farouk, saudara Amir sudah pun menunggu kami di luar airport. Inilah kelebihan menggunakan travel agensi untuk menguruskan pakej ground, kita tidak perlu bersusah payah mencari kereta atau menaiki pengangkutan awam untuk airport transfer ke tempat penginapan.

Avalon Airport, AirAsia mula beroperasi dari airport ni dalam awal tahun 2019. 

Kami dibawa ke apartment IFSuites Upper West Side di Lonsdale Street, betul-betul di tengah bandar Melbourne. Strategik sungguh lokasi apartment ni. Stesen metro train Southern Cross Station betul-betul di seberang jalan sahaja. Banyak stall kebab, seven-Eleven dan lain-lain hanyalah walking distance.

Kami mengambil sedikit masa untuk mencari laluan masuk ke bangunan ni sebab ia agak tersorok. Bangunan nampak dari tepi jalan, tapi pintu masuknya agak ke belakang. Walaupun kepenatan, segalanya hilang apabila memasuki apartment yang pada kami sangat selesa, cukup luas, bersih dan moden. Cukup lengkap dengan kelengkapan dapur dan segala alatan memasak dan menghidang yang diperlukan. Kesemua sekali kami ambil empat unit apartment, setiap apartment ada 2 bilik. Jadi sudah mamadai bagi kami sebab ramai antara kami masih kanak-kanak.

Apartment yang lengkap di tengah bandar Melbourne. 2 bedroom, 1 bathroom, dengan dapur dan peralatan yang serba lengkap.


Budak-budak kelaparan dan meminta untuk makan, nasib baik ada maggi cup jadi penyelamat. Aku turun sekejap berjalan kaki ke seven-Eleven untuk membeli telur dan roti sebagai makanan sarapan untuk keesokan hari. Tak lupa juga simkad untuk dapatkan data internet.


Catatan bersambung untuk hari kedua di entri yang akan datang.

CONVERSATION

0 comments:

Post a Comment

Back
to top