[PARIS LONDON 2017] DAY07 JALAN-JALAN LONDON PART 2

Emirates Stadium.

Catatan hari ke-enam boleh dicapai di sini.

Hari ke-tujuh, Rabu 3 May 2017. Setelah malam tadi makan nasi arab berlaukkan fillet ikan dari Sainsbury, pagi ni kami makan makanan yang sama untuk breakfast. Wife buatkan sedikit sandwich telur untuk plan berpicnic di Hyde Park. Cadangnya nak buat mini celebration untuk birthday Aryan sebab dua minggu lepas tak sempat buat makan-makan pun sebab kelam kabut nak siapkan kerja sebelum cuti panjang.

Plan hari ni, pagi melawat Emirates Stadium. Mira & Irsyad peminat Arsenal, jadi alang-alang dah ada kat London itinerary ni memang wajib le. Lepas tu nak ke Natural History Museum yang gah di London ni dan kemudiannya bercadang untuk berpicnic di Hyde Park.

Hari ni sama seperti semalam, kami keluar rumah hampir pukul 10 pagi. Korang jangan contohi sikap ni ya, rugi sangat dah datang jauh-jauh keluar lambat. Kami ni dengan bilik air satu, nak menyiapkan kanak-kanak dan baby, lepas tu nak siapkan makanan untuk bekal makan tengah hari lagi, so boleh laa dimaafkan (alasan semata..). Kalau nak tido dan bermalas-malasan baik tak payah datang jalan sampai sini, ambil cuti dan duduk jelaa kat Malaysia.

So, dari Camden station kami menaiki tube ke King Cross station dan bertukar ke line Piccadilly dan seterusnya turun di Holloway Road station untuk ke Emirates Stadium. Dari Holloway Road station ni kena jalan kaki beberapa minit dah boleh nampak Emirates Stadium dari celah-celah bangunan. Macam nilah bila stadium di tengah-tengah bandar, sekelilingnya dipenuhi bangunan lain yang padat, jadi tak nampak gah seperti mana yang kami pernah lawat Old Trafford dan Anfield tahun lepas.

Ketika berjalan kaki dari apartment ke Camden underground station. Selain sampah yang dalam bungkusan menanti untuk dikutip oleh lori, lain dari itu kaki lima ni langsung tak ada sampah walaupun kawasan ni bukanlah kawasan elit. 

Rasanya belum ada lagi gambar kami dalam train kat London ni. 

Keluar je dari Holloway Road station, kita akan nampak signboard ni. Senang je nak ke Emirates Stadium.

Irsyad yang dah tersengih-sengih sebaik sahaja Emirates stadium mula kelihatan. Apa yang tak best stadium kat tengah bandar macam nilah, ada banyak bangunan lain di sekeliling. Tak macam Old trafford atau Anfield.

Kasi chance masukkan gambar famili penyokong Arsenal.

Salam 3-1. Last game Manchester United di sini kami menang 3-1.

Tiga keping gambar dari tempat yang sama. Tak banyak angle menarik dari luar ni.


Ini pula bahagian atas. Kena naik tangga. Wife & anak aku tak naik pun kat sini. 

Selepas beberapa ketika kat luar, kami masuk pula dalam store stadium ni. Aku beli fridge magnet je, itu pun untuk kawan office peminat Arsenal. 

Dari Emirates kami kembali ke Holloway Road dan menaiki tube ke Knightsbridge station. Kami turun di sini untuk singgah di Harrods sebelum ke Natural History Museum. Dari Knightbridges kami jalan kaki dalam lima minit sahaja dah sampailah di Harrods. Di sini kami tidak ada plan yang khusus melainkan wife & Mira ada nak tengok barang hantaran kahwin si Farhan, sorang lagi adik ipar aku yang bakal kahwin hujung tahun nanti (ketika entri ini ditulis, dah kahwin pun budak tu). Singgah kejap je katanya. Then you all should know what women meant by sekejap when it comes to shopping. Padahal tak beli pun, survey je dulu then baru hantar whatsapp kepada tuan empunya barang.

Kebetulan budak-budak pun malas nak berjalan sangat, kami lepak je kat one of the corner dalam Harrods tu, sambil Ariff, Adam & Aryan gilir-gilir minta dibawakan ke toilet. Bagus juga lepak dalam ni, senang nak pergi toilet.

Ketika berjalan ke Harrods. Ketika ni wife membelakangkan Harrods sebab aku suruh, nak ambil gambar. 

Selepas sekejap yang dimaksudkan berlalu (iaitu lebih kurang selama dua jam), kami pun mula berjalan ke Natural History Museum (NHM). Rupanya jauh juga nak berjalan dari sini, nampak dalam map macam dekat. Nasib baiklah reka bentuk bangunan dan susun atur kawasan ni agak berbeza dari bahagian London yang lain, jadi taklah boring berjalan di sini.

Dalam perjalanan ke NHM, kami sempat singgah di M&S Simply Food untuk membeli sedikit buah-buahan dan juga singgah di Caffe Concerto untuk membeli beberapa potongan kek untuk birthday celebration di Hyde Park petang nanti.



Dalam Caffe Concerto.

Dalam perjalanan ke NHM. Pagar dan bangunan macam ni sungguh sinonim di seluruh London.

Ketika kami tiba di NHM, waktu sudah pun menunjukkan pukul 2 petang. Macamanalah kami nak cover keseluruhan ruang pameran dalam ni, sebab NHM ni tersangat luas.Daripada review di Tripadvisor, kebanyakan mereka mengatakan satu hari suntuk pun belum habis nak tour keseluruhan museum ni. NHM adalah sebuah museum yang mempamerkan spesimen dan bahan-bahan berkaitan bumi dan hidupannya sejak dari zaman dahulu hingga sekarang. Kalau korang pernah ke Pusat Sains, atau Petrosains, korang akan dapat gambaran. Ataupun untuk lebih tepat, cuba tonton filem A Night At The Museum, cuma yang itu lokasinya di New York. Selain daripada banyaknya bahan pameran yang ada di sini, salah satu ciri yang membuatkan ianya a must visit bila ke London dengan anak-anak adalah - ianya percuma.

Stroller perlu ditinggalkan di tempat khas di entrance, jadi kami tinggalkan barang-barang picnic dalam bakul stroller sahaja. Taklah susah nak mengangkut barang-barang ni semasa jalan-jalan dalam museum. 

Memang tidak rugi memasukkan museum ini sebagai salah satu daripada aktiviti kami di London. Anak-anak suka melihat bahan pameran di sini dan banyak betul soalan yang mereka ajukan. Kami pula yang tak sabar-sabar mengajak mereka untuk ke bahagian lain pula kerana risau tak sempat nak cover banyak tempat dan risau juga kalau tak sempat nak ke Hyde Park petang nanti.

Cuma, kami sedikit tidak bernasib baik kerana tidak dapat bergambar dengan ikon utama NHM London, iaitu sebuah skeleton dinosaur gergasi. Bahagian tersebut ditutup ketika itu untuk pengubahsuaian. Sekarang ni ruang tu dah dibuka semula, dan rangka dinosaur tu dah diganti dengan rangka ikan paus, pun tidak kurang hebatnya.

Di awal entrance NHM.

Entah apalah yang menarik perhatian Aryan masa ni.

Aryan memang sukakan binatang.

Salah satu fossil asli yang ditemui di England.

Perempuan fossil yang menemukan fossil di atas dan beberapa fossil bermutu tinggi yang dipamerkan di sini.

Nampaknya kuda itu lebih menarik perhatian Aryan berbanding kamera. Ada banyak lagi ruang, tapi aku tak berapa berminat nak ambil gambar sebab orang terlalu ramai dan kami tour museum ni pun dalam keadaan agak rushing.

Selepas lebih tiga jam di sini, kami mengambil keputusan untuk keluar. Ada banyak lagi kawasan yang belum dilawati. Ketika berjalan keluar pun beberapa kali kami terberhenti di kawasan yang dirasakan menarik.

Ketika kami berjalan ke arah Hyde Park, cuaca semakin gelap dan angin bertiup kencang menandakan hujan akan turun. Sebaik sahaja kami sampai di traffic light terakhir sebelum ke Hyde Park hujan mulai turun. Mulanya rintik-rintik sahaja, kemudian semakin lebat. Berjalan sambil berbincang, nak teruskan atau nak balik saja. Rasa rugi pula kalau tak dapat nak lepak Hyde Park. Dan sejak beberapa hari di sini, hujan kebanyakannya turun sekejap-sekejap. Kami membuat andaian, sekejap lagi hujan ni berhenti laa ni. Jadi kami teruskan berjalan ke Hyde Park. Nak dijadikan cerita, payung kami pula tertinggal di Paris, jadi kami memang takde payung masa kat London ni. Berjalanlah kami dalam keadaan hujan tu. Rambut dan basah habis, cuma nasib baik dalam Hyde Park ni ada banyak pokok jadi taklah direct sangat kena hujan.

Tempat yang dituju adalah The Serpentine, tasik rekreasi dalam Hyde Park ni. Bucu yang paling popular kat tasik ni ada banyak kawanan angsa, itik dan merpati. Selalunya ramai orang lepak berdekatan kawasan tersebut. Memandangkan tempat tu jauh lagi, kami berhenti dulu berteduh di bawah sepohon kayu daunnya rimbun. Masa dalam NHM tadi, kami sempat ambil wudhu di toilet, jadi senanglah sekarang kami terus boleh solat.

Selesai solat hujan masih belum berhenti, tapi seolah-olah dah kurang lebat sedikit. Kami pun mula berjalan semula ke arah The Serpentine. Malangnya tak sampai 5 minit kemudian hujan kembali lebat. Lebih lebat daripada tadi. Maka kami pun membatalkan hasrat untuk berpicnic di Hyde Park hari ni. Picnic kejadahnya tengah-tengah hujan lebat.

Kami berpatah balik dan berjalan ke arah South Kensington underground station. Berjalan sambil makan sandwich yang sepatutnya dibawa picnic.  Jadilah, sebab masing-masing dah kelaparan. Jauh juga South Kensington underground ni, tapi nasib baik ada terowong jalan kaki jadi kami tak perlu berjalan dalam hujan sepanjang perjalanan tu.

Jadi setakat ini sajalah aktiviti kami di London hari ni. Balik ke Camden, cuaca elok pula tak hujan. Tapi masa tu pun dah 7 petang. Sekali lagi singgah Sainsbury's. Kali ni kami beli bahan-bahan untuk masak spagethi pula.

Balik rumah, mandi, makan, solat dan berkemas sebab esok kami akan check out untuk kembali ke Paris. Maka berkuburlah angan-angan aku nak melihat suasana kota London pada waktu malam walau pun stay di sini selama tiga malam. Walaupun dari apartment  tingkat enam ni boleh nampak Big Ben, tapi memandangkan cuaca seringkali mendung dan berkabus, samar-samar saja pemandangannya. Aku anggap memang takde rezeki dan satu lagi, tripod dah rosak jadi tak berbaloi pun nak keluar ambil gambar waktu malam.

Sambungan catatan untuk hari seterusnya akan bersambung di entri akan datang.

CONVERSATION

1 comments:

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete

Back
to top