EUROPE TRIP DAY07 PART2: COLOGNE

Hohenzollern Bridge, Cologne.

Catatan ini adalah sambungan dari catatan sebelum ini.

Setelah selesai pengalaman menelusuri laluan air menggunakan bot di perkampungan tanpa kereta di Giethoorn, lebih kurang pukul 1.45pm kami meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya, Cologne, German sejauh 271 km. Kali ini giliran Basir pula memegang steering. Tengahari macam ni aku memang kurang prefer drive long distance. Bab pemanduan ni alhamdulillah kami mempunyai preference yang berbeza, aku lebih suka memandu pada waktu malam, manakala Basir lebih suka memandu ketika siang.
Pada waktu ini juga, kami sebenarnya sudah pun hampir sejam setengah lari dari itinerary. Perut hanya sempat dialas dengan roti yang dibeli di pasaraya SPAR tadi. Roti dia memang terbaik. Lembut dan sedap, lain pulak rasanya dari roti biasa dijual di Malaysia. Yang paling tak boleh lupa adalah cerita tentang 'jus oren' yang dibeli di pasaraya yang sama. Dengan berkobar-kobar nak merasa jus oren belanda, sekali bukak dan rasa - iced lemon tea rupanya! Aduh! Dah le tamak beli sampai enam kotak. Aku beli tiga, Basir dan Faten pun beli tiga. Mahunya tak, harga €0.99 sekotak. Teruja punya pasal. Padahal bila perati balik, dari tulisan belanda tu pun dah boleh agak itu iced tea sebenarnya.

Inilah 'jus oren' yang kami beli berkotak-kotak tu. Gambar diambil dari voordeelmuis.nl.

Nasib baiklah rasa lemon tea dia ni kira ok juga. Tak manis sangat macam sesetengah jenama kat Malaysia ni. Yang lagi satu salah beli adalah 'air mineral'. Ini pula nampak botol elok je air jernih so belilah juga beberapa botol. Memang kat sini kami jarang jumpa air mineral, so bila dah jumpa ni belilah banyak sikit. Aku beli satu, Faten beli satu dan Basir pun beli satu. Nasib wife tak masuk kedai sekali, kalau tak dengan dia pun mesti beli. Rupa-rupanya itu air soda berkarbonat. Bukan macam rasa aiskrim soda kat sini, yang ini memang purely soda tak ada gula. Tekak memang tak boleh nak terima langsung. Membazir betul. Pengalaman sungguh bila dikenang balik.

Jeti bot di bahagian yang lain di Giethoorn.

Kami meninggalkan Netherlands dengan seribu satu pengalaman yang pasti akan dikenang sampai bila-bila. 

German & Autobahn

Seperti sempadan di antara negara-negara yang lain di Eropah ini, kami tidak perasan bilakah kami sudah memasuki German. Tiba-tiba sahaja perasan kereta yang tadi memandu maksimum 120 kmj terus memecut tanpa had laju. Paparan speed limit di Here GPS juga sudah tidak kelihatan. Tahulah kami bahawa kami sudah memasuki rangkaian highway German yang dikenali sebagai autobahn. Autobahn adalah rangkaian lebuhraya di German yang diiktiraf sebagai antara yang terbaik di dunia. Tiada hadlaju di kebanyakan kawasan, dan juga tiada tol. 

Walaupun tanpa had laju, tetapi pemandu-pemandu di German adalah sangat berdisiplin. Lorong laju benar-benar digunakan untuk memotong sahaja. Contohnya kami sedang memandu 120kmj di lorong kanan (lorong perlahan di negara left hand drive adalah di sebelah kanan), ada kereta Ferrari datang dan memotong kami menggunakan lorong laju di sebelah kiri pada halaju lebih 200kmj, sebaik sahaja selepas memotong, kereta Ferrari itu akan bertukar ke lorong di sebelah kanan semula dan maintain halaju yang sama. Mereka tidak stay di lorong laju melainkan ada kereta untuk dipotong. Walau laju macamana pun kereta mereka, mereka akan reserve lorong paling laju untuk kegunaan mereka yang ingin memotong. 

Hak menggunakan lorong laju diberikan sama rata tidak kira kereta anda kecil atau besar. Contohnya kami yang cuma memandu kereta bersaiz kecil 1300 cc. Apabila terserempak dengan kenderaan yang lebih perlahan dari kami, kami boleh masuk ke lorong laju jika tiada kenderaan. Biasalah kereta 1300 cc, nak potong kereta atau lori yang dalam halaju 110 kmj, mestilah akan mengambil masa sedikit. Ketika kami sedang memotong itu datang BMW dari belakang. Sesuatu yang kami sempat perhatikan di sini, walaupun tengah laju macamana pun, pemandu German akan memperlahankan kenderaan mereka dan meninggalkan jarak selamat di belakang kami. Kalau korang nak tahu, kesalahan mengekori kereta di hadapan terlalu rapat (mencucuk) pun boleh dikenakan hukuman penjara di German. Setelah kami habis memotong dan bertukar lorong, barulah BMW itu akan memecut semula. 

Sangat berbeza kalau di Malaysia. Ramai pemandu Malaysia ni perasan kereta mereka laju maka kereta lain yang perlahan sila berambus dari lorong kanan. Mereka akan cucuk dan highbeam kereta hadapan, walaupun kereta itu dalam mode memotong. Agak-agaklah, kalau dah tengah naik bukit dan memotong kenderaan berat, mestilah kereta biasa-biasa ni ambil masa sedikit untuk memotong. Lorong kanan adalah lorong memotong, siapa sahaja yang sedang memotong ada hak menggunakannya.

Setelah kira-kira dua jam memandu, aku offer dengan Basir untuk bertukar driver. Memang nampak dia agak mengantuk dah time ni. Aku dapat juga melelapkan mata walaupun sekejap-sekejap dalam kereta ni. Masa nak bertukar driver ni, kami baru terlepas service area dan tercari-cari tempat nak berhenti. Kami perasan ada signboard kawasan berhenti untuk kecemasan di hadapan. Aku beritahu Basir untuk berhenti sekejap di situ.

Kami berhenti tak sampai seminit. Stop, keluar kereta untuk bertukar driver, masuk balik dan terus gerak. Dari cermin pandang belakang aku lihat sudah ada kereta peronda polis bantuan tiba di tempat kami berhenti tadi. Siap dengan lampu kecemasan menyala dan berpusing. Nasib tak ada siren. Disebabkan kami terus beredar dari kawasan parking kecemasan itu, kereta peronda polis itu meneruskan perjalanan di belakang kami. Masa ni berdebar juga sebab kalau-kalaulah polis ni nak tahan kami kerana kesalahan berhenti di kawasan kecemasan tanpa alasan yang dibenarkan. Tapi dalam masa yang sama kami juga memuji kecekapan  mereka. Bayangkan dalam masa seminit tu mereka terus dapat 'menangkap' kereta yang berhenti dilaluan kecemasan. Dalam beberapa kilometer kemudian kelihatan kereta peronda tersebut mengambil exit di belakang kami maka pun legalah tak kena tahan.

Apabila balik Malaysia, barulah kami tahu rupanya peraturan berhenti di kawasan parking kecemasan di lebuhraya German adalah sangat ketat. Hanya reason tertentu sahaja diterima. Malah kalau berhenti disebabkan kehabisan minyak, kita boleh disaman! Kerana paras minyak adalah sesuatu yang boleh dirancang, maka tiada alasan untuk berhenti kerana habis minyak. Patutlah orang German sangat berdisiplin.

Kami tiba di Cologne lebih kurang pukul 5.30pm. Tetapi jalan sangat sesak. Lebih setengah jam terbazir sebelum kami dapat masuk ke pusat bandar. Mungkin waktu orang baru pulang dari kerja. Aku perasan di German ni bilangan kereta agak banyak berbanding dengan bandar-bandar Eropah yang lain. Aku sepatutnya parking di sebelah Cologne Cathedral, tetapi dalam jammed tu aku sempat browse Google offline map dan dapat idea untuk parking di kawasan terdekat. Kena jalan kaki sikitlah, kira oklah daripada kena menempuh kesesakan yang tak pasti berapa lama pulak lagi. 

Kami meletak kereta di petak parking tepi jalan sahaja. Terus ke mesin autopay untuk beli tiket. Cadangnya nak parking dalam sejam sahaja. Tengah aku explore cara membuat bayaran di situ, aku ditegur oleh seorang German. Siap bagi salam. Muslim rupanya. Englishnya tak berapa bagus, macam ayam dan itik sekejap. Rupanya dia nak offer tiket parkingnya yang masih berbaki 30 minit. Aku nak bayar kat dia, tapi dia berulang kali kata "it's a gift". Itu je sebutan english dia yang jelas hari tu. Terharu sekejap.

Cologne Cathedral

Dari tempat parking ni kami cuma perlu menyeberang jalan dan terus nampak Cologne Cathedral yang menjadi daya tarikan utama di sini. 

Besar gile cathedral ni bila tengok live. Mula dibina pada tahun 1248.

Sama keadaannya seperti di Palace of Westminster, bangunan ini sedang dalam proses pemuliharaan.

Berhampiran dengan Cologne Cathedral ini terdapat stesen keretapi utama Cologne. Station keretapi ini dihubungkan oleh jambatan utama yang turut menjadi mercutanda bandar Cologne ini. 


Kerana kesuntukan masa, kami cuma berjalan sampai di pertengahan jambatan sahaja kemudian berpatah balik. Kalau ikutkan pemandangan yang cantik boleh dirakam dihujung jambatan arah berbeza menampakkan cathedral ditepi sungai dan jambatan besi yang unik ini.

Hohenzollern bridge juga terkenal sebagai tempat pasangan memasang lock love dan membaling kunci ke dalam Rhine river di bawahnya. Sama macam konsep Pont des Art & Seine River di Paris.

Keretapi di belakang. Laluan trek keretapi di sini berlingkar-lingkar kerana terlalu banyak.

Langit yang cantik dan persekitaran yang sangat bersih

Bangunan di tepi ini juga ada tempat shopping, deretan butik berjenama tapi tak sempat nak singgah jugak lagipun memang agenda shopping kami sudah selesai di London tempohari.

Dari kawasan bersebelahan jambatan ini kita boleh menikmati pemandangan sungai Rhine dan kawasan pembangunan di pinggir sungai. Tengok lah sekitar kawasan ni, tak nampak sebutir sampah langsung, even daun gugur. Kagum!


Basir ni memang macam-macam aksi dia boleh pose.

Wefie dan boomerang di mercu tanda popular sudah menjadi kemestian kami dalam trip ini.

Dalam perjalanan pulang ke kereta, terjumpa kafe dengan open landscape yang cantik. Tumpang bergambar sekejap.

Kami cuma menghabiskan masa sejam sahaja di sini. Sempat juga kami singgah di kedai cenderamata untuk membeli fridge magnet. 

Cologne Central Mosque

Seperti yang telah dirancangkan, sebelum bergerak meninggalkan Cologne kami  menuju ke masjid terbesar di German dan antara yang terbesar di Eropah juga. Letaknya cuma kira-kira 10 minit sahaja dari Cologne Cathedral ni. 

Cologne Central Mosque ini sebenarnya baru sahaja siap dibina pada tahun 2015. Ketika kami sampai di sini, masih ada banyak ruang yang belum dibuka sepenuhnya. Ruang parking disediakan di basement seperti di shopping complex. Siap kena ambil tiket parking auto-pay. 

Seperti kebanyakan bangunan di Eropah, masjid ini turut dilengkapi dengan fungsi yang environment-friendly. Sepanjang laluan kami dari kawasan parking ke ruang solat, lampu akan terbuka secara automatik apabila ada orang melalui kawasan tersebut dan kemudiannya akan terpadam sendiri setelah beberapa saat apabila tiada orang di situ. Begitu juga dengan kawasan tempat mengambil wudhu, hulur tangan sahaja dan paip akan terbuka secara automatik dan akan tertutup sendiri untuk menjimatkan penggunaan air. Suatu masa dahulu Masjid Shah Alam juga menggunakan paip automatik seperti ini, tetapi sekarang semuanya dah ditukar kepada paid manual semula. Mungkin kerana kos maintenance yang agak tinggi.

Walaupun masjid ini baru dibuka, namun pelbagai aktiviti telah dijalankan oleh komuniti islam Turki di sini. Cologne mempunyai 120,000 penganut beragama Islam dan kebanyakan mereka berasal dari Turki. Tapak masjid ini juga merupakan lokasi asal pusat komuniti Islam di sini. Maka tidak hairanlah jadual yang terpapar di papan kenyataan masjid sarat dengan aktiviti kuliah dan kemasyarakatan. Syiar islam berkembang merata-rata di bumi Eropah ini. 

Ruang solat yang sangat luas dan selesa terasa seperti berada di bumi sendiri. Hakikatnya kami di German sekarang. Ruang solat utama tidak dibuka ketika kami sampai tempohhari.

Masjid ini terletak di simpang jalan utama yang mempunyai empat lorong. Entri kawasan parking pula di bahagian belakang. Jika hendak bergambar di hadapan masjid kami terpaksa pusing satu bangunan dan menyeberangi jalan lebar yang sangat sibuk. Terpaksalah melupakan hasrat itu kerana terlalu jauh. Kalaulah penginapan kami tak jauh dari sini sudah tentu kami gagahkan juga. Jam sudah pun hampir pukul 8.00 petang (masih petang sebab maghrib masuk pukul 8.39pm pada tarikh itu) dan kami masih perlu memandu 250km ke tempat penginapan pada hari ini.

Design masjid yang sangat futuristik. Tidak terlepas dari kontroversi semasa pembinaannya namun hari ini ia berdiri gah di tengah-tengah bandar Cologne. Gambar kredit alamy.com.

Gambar dari wikipedia. Silalah klik link dan boleh baca beberapa info tambahan tentang masjid unik ini. Antara fakta menarik adalah Cologne's St. Theodore Catholic Church turut terlibat dalam mengumpulkan dana untuk pembinaan masjid ini.

Selesai menunaikan ibadah wajib, tanpa berlengah lagi, kami meninggalkan masjid menuju ke destinasi seterusnya di Manheim, Germany. Antara faktor kami memilih penginapan di Manheim adalah kerana keesokan harinya kami akan ke Switzerland dan ini adalah laluan terhampir yang akan kami ambil untuk ke sana. Pada waktu ini, masing-masing sebenarnya sudah agak kepenatan. Para isteri, macam biasa, masuk aje kereta, on heater terus terlelap di belakang. Bila aku tanya wife, ada apa-apa tak yang dia boleh tolong recall along the way to Manheim, memang tak lahh sebab katanya dia hanya terjaga sejurus setelah kami tiba di BnB kami!

Basir drive all the way dari Cologne ke Mannheim. Asalnya dia offer nak drive dari Cologne sementara hari masih cerah sebab dia tak prefer drive malam. Sama ada dia nampak aku pun dah terlalu penat atau dia memang dah minum tongkat ali aku tak pastilah. 

Kami sampai di BnB ketika jam sudah pun hampir 11 malam. Mujur kami telah memberitahu host yang kami akan sampai agak lewat. BnB ini kelihatan seperti dua setengah tingkat. Kami diberikan ruang yang paling atas, agak besar bagi sebuah attic tetapi agak kecik bagi ruang tingkat rumah biasa. Masuk-masuk sahaja di muka pintu ada small living hall, kitchen yang agak cosy di sebelah kiri, lengkap dengan kelengkapan memasak, toilet yang bersih dan comel beserta 2 buah bilik yang juga merupakan bilik yang paling besar dan selesa sepanjang kami berada di Eropah. Setiap bilik terdapat katil king, satu sofa 2-seater, ruang almari baju dan meja solek serta TV. Tengok-tengok di atas katil tersedia 'Gummy Bears' ole-ole dari Manuela, tapi sebab risau kandungannya mungkin mempunyai gelatin yang tidak halal, kami meletaknya di dapur. Selesai mengangkat hampir kesemua beg dalam kereta ke atas bilik kami, aku dan Basir dah tak tertahan-tahan mata kami dan terus tak sedarkan diri tidur di atas katil masing-masing. Manakala para isteri yang rasanya dah cukup tidur dalam kereta di sepanjang perjalanan tu memulakan operasi di dapur. Walaupun dah larut malam, sepanjang hari tersebut perut kami cuma dialas dengan roti-roti sahaja, memang inilah malam yang paling lapar sepanjang percutian kami. Sayur-sayur yang dibeli di SPAR tadi turut dikeluarkan. 

Para isteri mengejutkan kami setelah makanan telah siap dihidangkan dengan nasi yang panas-panas. Meriah betul rupanya mereka masak malam tu, takde gambar nak tunjuk. Tengah lapar macam tu mana sempat fikir nak ambil gambar dah. Bila dah tengok makanan sedap dan panas-panas lagi tu memang terus hilangla mengantuk, sekejap tu jugak kami makan dengan penuh berselera dan menambah-nambah. Para isteri memang siap masak untuk bekal esok jugal. Memang terbaik. Rasa macam perasaan tengah bangun bersahur pun ada. Lepas dah kekenyangan, kami membersihkan diri, solat dan wife menyambung mengemas beg. Baju-baju yang dah dipakai dan tidak akan dipakai lagi for  the rest of the trip kami asingkan dan vacumkan, nanti bercampur busuk pulak kesemuanya sebab ada yang dah dipakai lebih tiga hari. Haha. Aku pulak seperti biasa pindahkan gambar dan kosongkan memory card, charge segala bateri yang ada. Setelah selesai kesemuanya, kami pun masuk tidur ketika jam sudah pun hampir dua pagi.

Catatan hari seterusnya akan bersambung di entri yang akan datang.

CONVERSATION

0 comments:

Post a Comment

Back
to top