TRIP UMRAH 2018 BERSAMA ALMUKMININ TRAVEL - PART 2


Sambung cerita tentang trip umrah tahun lepas. Minta maaf kalau cerita aku ni ni agak berterabur. Cuma kongsikan apa yang terlintas saja.

Last entri aku berehenti setakat hari terakhir di Madinah. Selepas Zuhur, bas menunggu di hadapan hotel untuk membawa kami ke Mekah. Perasaan sayu menyelubungi kami kerana terpaksa meninggalkan bumi Madinah yang penuh barakah. Meninggalkan bumi di mana bersemadinya jasad Rasulullah SAW, Abu Bakar as Siddiq dan Umar ibn Khattab r.a. Tetapi pada masa yang sama rasa teruja kerana akan memasuki kota Mekah dan seterusnya menunaikan umrah buat kali pertama.

Perjalanan dari Madinah ke Mekah

Lebih kurang jam 2 petang, bas bergerak menuju ke Bir Ali, tempat di mana kami bermiqat. Jemaah lelaki sudah mengenakan pakaian ihram sejak dari bilik hotel. Sebenarnya boleh juga nak bertukar pakaian di Bir Ali, tetapi memandangkan ramai juga yang memakai pakaian ihram buat kali pertama, eloklah pakai di hotel siap-siap untuk membiasakan diri. Tidaklah nanti mengambil masa yang terlalu lama ketika singgah di Bir Ali nanti.

Gambar jemaah umrah kami ketika bermiqat di Bir Ali. 

First time berihram. Juga gambar kenang-kenangan bersama rambut kesayangan sebelum dicukur licin pagi nanti.


Perjalanan dari Madinah ke Mekah mengambil masa lebih kurang 8 jam. Di sepanjang perjalanan ini kita dapat menyaksikan bagaimana rupa bentuk permukaan bumi Saudi. Bumi yang tandus, kering, berbukit dan berbatu. Jarang sekali terdapat pokok atau pun tempat berteduh. Terbayang bertapa sukarnya perjalanan pada zaman dahulu. Apatah lagi ketika peristiwa hijrah, Abu Bakar dan Nabi saw terpaksa menggunakan jalan yang jauh bagi mengelak dari di kesan oleh musyrikin Quraisy.

Boleh bayangkan bertapa sukarnya perjalanan musafir pada zaman dahulu dari Mekah ke Madinah. Permukaan padang pasir yang kontang, berbukit dan berbatu.




Lebuh raya yang menghubungkan antara Madinah dan Mekah mempunyai beberapa perhentian yang dibangunkan oleh pemilik-pemilik restoran di tepi jalan. Ianya tidaklah proper seperti RnR kita di Malaysia. Takziah aku ucapkan sekiranya korang sakit perut ketika dalam perjalanan. Bukan sahaja tandasnya kotor dan tidak selesa, tempat solat dan tempat wudhu pun disediakan dalam keadaan sekadar melepaskan batuk di tangga. Hentian bas persendirian antara Kuala Lumpur dan Kota Baru di Merapuh pun jauh lebih selesa.

Aku pun tak pasti kenapa kerajaan Saudi tidak menyediakan RnR yang proper kepada jemaah haji dan umrah, sedangkan saban tahun berjuta umat manusia yang menggunakannya. Kalau pun tak nak keluar duit, buat sajalah RnR bertol, contohnya setiap bas yang singgah dikenakan caj SAR100. Aku yakin jemaah yang datang tak kisah pun kalau kena lebihan caj asalkan dapat tempat perhentian yang bersih dan selesa. Bayangkan kalau sebuah bas dah SAR100, kalau sehari agak-agak berapa bas yang berhenti. Mesti tak kurang dari 20 buah bas. Belum kira lagi keuntungan dari jualan restoran dan barang-barang keperluan yang lain.

Kami tiba di Mekah al-Mukarramah lebih kurang jam 10.30 malam. Check in untuk simpan barang dan berkumpul semula untuk mengerjakan umrah buat kali pertama.

Mengerjakan Umrah Kali Pertama

Ketika kami berkumpul di dataran Masjidil Haram, waktu tu dah pun 1.30 pagi. Mengunggu sesetengah jemaah lain bersiap. Memandangkan ini kali pertama kami nak buat umrah, kami tunggu jugalah. Ada jemaah lain yang dah pernah mengerjakan umrah sebelum ni dah pergi buat sendiri.

Kami memasuki Masjidil Haram pada pukul hampir 2 pagi. Melihat Kaabah di hadapan mata buat kali pertama adalah pengalaman yang tak tergambar dengan kata-kata. Perasaan tu masih memberikan aku goose bump setiap kali aku terkenangkan semula saat itu. Aku berdiri bagaikan terpaku, melihat masih ramai manusia yang sedang melakukan tawaf walaupun pada jam sebegitu.

Berdirinya aku menatap Kaabah yang aku hadapkan wajah dan sujudku sejak dari kecil. Mengenangkan berdirinya aku di tanah Nabi Ibrahim a.s, Nabi Ismail a.s dan Nabi Muhammad SAW pernah berdiri suatu ketika dulu. Mengingatkan diri ini seorang pendosa yang dipilih Allah untuk bertamu di sini, manakan mungkin aku dapat menahan air mata kesyukuran.

Setelah tawaf, solat sunat tawaf dan saie, kami ke kedai gunting rambut berdekatan untuk bertahallul. Sekejap sahaja, habis licin botak kepala aku. Mudah-mudahan gugurlah dosa-dosa sebagaimana gugurnya helaian rambut itu. Selepas aku bertahallul, aku gunakan gunting untuk tahhallulkan wife pula. Ingat ya, kalau korang belum bertahallul, jangan gatal-gatal pergi gunting rambut orang, nanti kena dam. Orang yang dalam ihram tak boleh potong rambut diri sendiri dan rambut orang lain.

Kami selesai mengerjakan umrah lebih kurang pada jam 4 pagi. Sebenarnya bukanlah masa yang diambil tu sampai sebegitu lama. Tawaf, solat sunat tawaf dan saei boleh diselesaikan dalam masa kurang daripada sejam. Tapi terpulang kepada masing-masing. Ada yang mengambil masa yang lama semasa tawaf sambil berdoa dan menghayati peluang yang dikurniakan oleh Allah.

Ketika saei pula disunatkan berlari-lari anak di kawasan yang bertanda antara dua lampu hijau. Mengikut kemampuan masing-masinglah. Aku tengok ada juga yang berlari macam lumba marathon, sampai nak terlanggar orang. Tak perlu macam tu pun.

Kalau penat boleh berhenti rehat dulu dan sambung pada bilangan tawaf/saei yang berhenti tadi. Air zam-zam yang dah disejukkan tersedia di segenap penjuru Masjid. Siap dengan cawan pakai buang. Sedap minum air zam-zam sejuk-sejuk kat sini, sangat menyegarkan.

Rutin Harian di Mekah

Sepanjang seminggu kami berada di Mekah, rutin harian adalah hampir sama sahaja. Jika tiada ziarah luar kawasan atau tidak keluar bermiqat (hari yang tidak mengerjakan umrah), kami akan menghabiskan masa di Masjidil Haram dari jam lebih kurang 3 atau 4 pagi sehinggalah selepas subuh. Pulang ke Hotel kira-kira jam 7 pagi sebelum menunggu bas untuk aktiviti ziarah atau bermiqat. Untuk hari yang tiada ziarah luar kawasan, kami akan menghabiskan masa yang lebih lama sedikit di Masjid selepas subuh sebelum pulang bersarapan di hotel. 

Di sinilah pentingnya jarak hotel yang dekat dengan Masjidil Haram. Pulang untuk bersarapan di hotel, kemudian boleh bersegera ke masjid semula. Bila hotel jauh, mulalah terasa malas untuk segera ke masjid dan terasa nak rehatkan diri di hotel lebih lama. 

Kebiasaaannya lawatan akan dihabiskan sebelum tengah hari dan jemaah akan sempat menunaikan solat Zuhur berjemaah di Masjidil Haram sebelum menyelesaikan umrah (tawaf, saei & bertahallul) pada hari tersebut.

Kadang-kadang selepas asar kami jalan-jalan sekejap cari barang. Shopping sikit dan merasa makanan yang dijual di sekitar Masjidil Haram. Dapat juga merasa aiskrim mangga yang lembut sangat. 


Ketika melawat kaki bukit Jabal Nur. Bukit yang menempatkan gua Hira'. 

Melawat Jabal Rahmah.

Sesi melawat kawasan sekitar Masjidil Haram diselitkan dengan sesi tazkirah. Dari sebelah sini kita boleh membayangkan kedudukan rumah keluarga Rasulullah SAW  ketika di Mekah.



Ini pula adalah satu kawasan yang dinamakan Zamzam Sabel. Tempat pengumpulan air telaga zamzam. Kalau bawa bekas besar untuk isi air zamzam boleh isi di sini.



Melawat ladang unta.

Melawat masjid Hudaibiyah. Kawasan di mana berlakunya 'bai'atul ridhwan', salah satu peristiwa penting sebelum berlakunya peristiwa pembukaan kota Mekah.

Gambar ni aku snap semasa dalam perjalanan dalam salah satu lawatan di Mekah. Ini adalah pemandangan biasa kawasan perumahan orang-orang Mekah. Bangunan yang dibina bagaikan tangkap muat, asal ada dinding dan bumbung. 

Pembinaan untuk pembesaran telaga zam-zam. Sebahagian besar kawasan tawaf terpaksa ditutup maka bilangan jemaah yang boleh melakukan tawaf di bahagian bawah juga dihadkan. Sekarang pembinaan ni dah siap jadi tiada masalah lagi.

Ketika melawat kawasan menunaikan ibadat haji iaitu haji Mina. Luas sungguh kawasan yang memuatkan khemah-khemah Mina ini.

Pemandangan biasa di tepi jalan di Semenanjung Arab. Kering & berdebu.

Pemandangan di sebelah malam sekitar Masjidil Haram. Gambar diambil ketika selepas solat fardhu Isya. Ribuan jemaah berpusu-pusu keluar dari Masjid.

Sebelum solat Asar. Panas terik waktu ni. Biasanya bila panas terik macam ni, kawasan tawaf kat sini agak lengang sedikit.


Ketika hampir waktu Asar.

Selepas solat Asar. Kelihatan jemaah berpusu-pusu menerkam dan berebut-rebut untuk menyentuh Hajarul Aswad dan berpaut di Multazam - kawasan antara Hajarul Aswad dan pintu Kaabah. Ini adalah antara tempat yang mustajab untuk berdoa.


Di dalam masjidil Haram turut disediakan kawasan untuk mengecaj handphone atau power bank. Ketika khutbah Jumaat pula disediakan earphone dan kita boleh mendial frekuensi radio di telefon untuk tetapan terjemahan khutbah. Antara bahasa yang boleh dipilih adalah bahasa Indonesia dan Bahasa Perancis. 

Di dalam Masjidil Haram.

Tips-tips lain bagi yang belum biasa ke tanah suci:
  • Bawa pakaian yang sesuai ikut musim korang pergi. Kalau musim sejuk tu standbylah jaket untuk keselesaan Walaupun taklah sejuk sangat macam kau pergi europe, tapi dengan adanya jaket / baju tebal akan membantu korang untuk beribadat dengan lebih selesa.

  • Bagi yang kulit sensitif, standby lotion dan pakai siap-siap. Jangan tunggu kulit dah merah-merah atau pedih atau merekah baru nak pakai. Time tu dah terlambat dah. Udara kat sana sangat-sangat kering. Walaupun pergi masa cuaca sejuk sekali pun udara sebegitu tu akan menyebabkan kulit korang akan menjadi kering. 

  • Kalau nak shopping boleh cuba selesaikan di Madinah. Lebih sesuai sebab kurang crowded berbanding Mekah. Ada yang cakap harga barang-barang di Madinah lebih murah. Aku tak berapa pasti sebab aku taklah beli banyak barang sangat di kedua-dua tempat untuk compare. Aku ada beli kurma di Madinah dan sejadah Raudhah di Mekah. 

  • Bukan semua peniaga di sana jujur. Kalau nak beli kurma, elakkan beli dari dalam bekas tertutup. Memang harganya murah. Siap ada tester yang kau boleh rasa. Tapi kotak yang tester tu dia bukak atau isi kurma lain yang sangat elok, tapi yang dalam kotak tu kurmanya sangat teruk. Keras sampai tak boleh nak makan. Jadi beringat dengan kurma kotak yang tak boleh buka tu. Elok beli yang kau boleh pegang dan timbang sendiri macam di pasar kurma atau pun di kedai-kedai berhampiran Masjid Nabawi.

Cukuplah dulu sedikit tips ni. Nak cerita banyak pun aku baru pergi sekali. Kalau dah repeat nanti mungkin lagi banyak yang boleh dikongsikan.

Setakat inilah sahaja perkongsian trip umrah kami tahun lepas. Walaupun dah hampir dua tahun, trip umrah ni sungguh bermakna dan pengalamannya masih terasa sangat segar. Sesekali terasa rindu sangat dengan Mekah & Madinah, terutamanya bila tiba bulan Ramadhan. Memang aku pergi tu bukan bulan Ramadhan pun, tapi mungkin sebab bila bulan Ramadhan tu selalu tengok live solat terawih di Masjidil Haram kat TV. Memang terasa sangat rindu tu.

Semoga aku & keluarga berkesempatan untuk ke sana lagi pada masa akan datang. Aku doakan kalian yang belum pernah sampai juga akan berpeluang menjejakkan di hadapan Kaabah suatu hari nanti. Percayalah, walaupun kos umrah seorang boleh cover perjalanan korang bercuti dua orang di Korea, tetapi nilai yang korang perolehi untuk rohani korang pastinya tidak ternilai dan tak terbandingkan.

Semoga bertemu di entri yang akan datang.

CONVERSATION

0 comments:

Post a Comment

Back
to top