EUROPE TRIP DAY09 PART1: BLAUSEE
Blausee, Kandersteg, Switzerland.
Catatan kembara sebelum ini boleh dicapai di sini.
Sabtu, 23 April 2016, Lauterbrunnen. Kami tidur lena malam tadi di bilik berempat Valley Hostel ini. Katil dan tilam yang selesa sekali. Berselimutkan comforter tebal berlukiskan corak kulit lembu. Kami bangun awal juga sebab malam tadi dah masuk tidur awal. Pukul 6.30pagi hari pun mulai terang dan kami disajikan dengan pemandangan yang sungguh bermakna di luar tingkap. Sesekali keluar menjenguk di jendela, tetapi tanpa jaket tebal memang tak boleh bertahan lama. Ambil handphone dan semak cuaca semasa, -4 degree Celcius. Patutlah.
Walaupun kabus tebal menutupi sebahagian besar pemandangan, tetapi ia tetap cantik. Lauterbrunnen ni adalah lembah di antara dua banjaran gunung. Terdapat beberapa gunung yang mengelilingi Lauterbrunnen, yang paling popular adalah Schilthorn di sebelah baratnya dan Jungfrau di sebelah timur. Sepatutnya pada hari cerah, pemandangan di kampung Lauterbrunnen ni pasti akan jauh lebih cantik. Tapi macam aku pernah tulis sebelum ini, cuaca ni betul-betul rezeki dari Allah. Kita hanya boleh merancang tapi tak dapat nak mengawalnya. Setakat ini pun dah Alhamdulillah sangat, semua tempat yang kami pergi cuaca memang baik.
Pemandangan tingkap dan balkoni bilik kami di Valley Hostel, Lauterbrunnen. Nampak tak ada air terjun kecil di sebalik kabus tebal tu.
Kabus tebal sungguh, kalau tak view lagi cantik.

Gambar bilik private untuk empat orang. Terasa macam student betul. Gambar ni blur skit, tapi ini je gambar dari angle ni.
Kayu pine banyak digunakan untuk perabut dan dinding di sebelah dalam di Switzerland ni.
Gambar diambil dari group whasapp kami. Memang bercirikan Switzerland habis linnen yang disediakan.
Nasi panas, sardin, telur goreng, serunding dan sambal hitam Pahang. Juga kelihatan Ijsthee dari Belanda yang masih tak habis-habis. Dalam teko seramik tu Nescafe latte panas. Bayangkanlah makan panas-panas dalam cuaca dan pemandangan seperti ini.
Chef yang bertanggungjawab menyediakan makanan. Sorang lagi chef tiada dalam gambar.






