EUROPE TRIP DAY10 PART2: ZURICH

Zurich City.

Catatan sebelum ini boleh dicapai di sini.

Kami meninggalkan Engelberg lebih kurang pada pukul 3.15 petang dan bergerak menuju ke Zurich. Perjalanan mengambil masa sejam setengah. Aku terus masuk parking di Opera House Zurich. Dah tanda kordinat siap-siap. Memang parking di Zurich ni mahal, CHF5 sejam. Sekurang-kurangnya parking underground di Opera House ni antara yang paling dekat dengan main attraction.
Kami cuma ingin sekadar singgah di Zurich. Alang-alang nak meninggalkan Switzerland. Tak cari sangat pun apa attraction di sini. Yang aku tahu kat sini juga ada Bahnhofstrasse Street, nama shopping street yang sama seperti di Interlaken tetapi di sini penuh dengan deretan butik berjenama yang popular. Antara misi utama kami ialah menyambung aktiviti mencari pisau Victorinox.

Semasa kami tiba di Zurich, cuaca agak mendung. Sempatlah snap dalam dua tiga keping gambar sebelum hujan tiba-tiba turun dengan sangat lebat. Kami pun apa lagi, terus berlari mencari tempat berteduh. Masa tu dah berbelah bahagi sebenarnya, nak sambung berjalan ataupun teruskan perjalanan ke destinasi seterusnya untuk bermalam nanti. Suara majoriti, masih bersemangat ingin mencari pisau. Majoriti la sangat bila keputusan tu para isteri yang decide. Syukur hujan tadi sekejap sahaja.

Kami berhenti berteduh di bawah jambatan yang memisahkan antara Limmat River & Zurich Lake. Basir pinjamkan aku mafla Liverpool. Kalau bukan kerana terlalu sejuk memang aku tak pakai.

Angsa dan itik yang sungguh banyak sedang berenang tanpa menghiraukan hujan lebat. Sekali tengok, susun atur bandar Zurich ni sungguh identical to Lucerne. Sungai, tasik, bot, jambatan dan angsa adalah common feature yang dikongsi kedua-dua bandar ini. Cuma Lucerne lebih klasik dan Zurich kelihatan lebih moden.

Zurich Lake ketika hujan sudah pun berhenti.

Selepas hujan reda kami teruskan berjalan mencari kedai menjual pisau Victorinox. Rupanya kebanyakan kedai-kedai di Zurich ni tutup pada hari Ahad, yang mana dibuka pun boleh kata semuanya tutup sebelum pukul 5 petang. Dalam berjalan tanpa arah tujuan tu ternampak sebuah gerai cenderamata di tepi tasik. Singgah beli fridge magnet dululah. Huh, mahal sungguh FM di Zurich ni. Memang aku perasan semenjak masuk ke Switzerland ni, dari Rheinfall, Blausee, Interlaken dan sekarang di Zurich, graf harganya semakin mahal. Masuk bandar Zurich ni, mendapat! Fridge Magnet yang paling simple, paling biasa antara yang pernah kami beli, berharga CHF7. Padahal cuma gerai kecil je. Nak tak nak memang terpaksa lah kami beli jugak sebagai kenang-kenangan pertama kali sampai di sini. Nak pergi survey gerai-gerai cenderamata lain tak dapat pulak sebab kebanyakan gerai telah pun ditutup.

Sempat juga kami bertanyakan pada pekedai cenderamata tu kalau-kalau ada kedai yang menjual pisau Victorinox. Dia memberitahu di Bahnhofstrasse Street ada sebuah butik Victorinox dan ada beberapa kedai lain yang turut menjualnya. Tapi kami mesti cepat, kalau bernasib baik mungkin kedai tu masih dibuka. Masa semakin suntuk jadi kami berlari-lari anak menuju ke destinasi yang tak pasti sebab tak tahu exact location kedai tu di mana. Sesampai di butik Victorinox, memang kedai tu langsung tak dibuka pada hari Ahad. Kemudian jalan lagi mencari kedai lain. Akhirnya kami jumpa juga kedai lain yang menjual pisau Victorinox, tetapi baru je ditutup. Masa tu jam tepat 5.30 petang. Arrghhhhh! Dapat tengok dari luar jelah pisau-pisaunya. Memang kedai ini khusus menjual pelbagai jenis pisau. Untuk kesekian kalinya kami terlepas peluang lagi. Kalau beli terus kat Rhinefall hari tu memang settle terus masalah.

Kami menghabiskan masa untuk strolling along the street walaupun kedainya tutup tetapi tetap nampak menarik dari luar. Perut pun dah agak lapar masa ni sebab kat Swiss ni memang kami cepat lapar. Berjalan nampak satu kedai kebab, lalu aje bau dah mengancam, sekali nampak ada pulak menu tidak halal kat situ terus turn off selera kami. Rupanya kedai yang menjual kebab belum tentu automatik kedai tu menjual makanan halal.

Damai dan tenang sekali. Kelihatan bot-bot parking di jeti-jeti Limmat River.

Air sungai yang sangat jernih. Tetapi dalam gambar tak cantik sangat sebab cuaca yang mendung selepas hujan.

Wife yang masih dengan mood tulip yang dibawa dari Netherlands.










Bila dah takde apa sangat yang boleh dibuat, kami menuju ke kereta untuk menyambung ke destinasi selanjutnya. Masuk sahaja ke kereta terus bukak tupperware yang kami tapau nasi arab pagi-pagi tadi di Valley Hostel dan makan dengan penuh berselera kat tempat parking tu jugak. Nasi jugak penyelamat!

Sebelum beredar, sempat juga singgah di tandas awam di underground parking Opera House Zurich ni. Apa yang menarik, kita cuma perlu masukkan tiket parking untuk masuk ke tandas. Dah la sebelum masuk tandas tercari-cari cara buka pintu, bila pintu dah dibuka aku dan Basir pun masuklah cepat-cepat. Dari luar kelihatan tandasnya seperti besar, tapi bila aku dan Basir masuk baru tahu rupanya tandas tu untuk seorang sahaja sekali guna. Terpaksalah aku keluar balik, mesti warga Swiss yang tengok kami kehairanan apa hal jakun sangat sampai masuk tandas dua orang.

Mulhouse

Kami meninggalkan Zurich untuk ke Mulhouse pada pukul 6 petang. Mulhouse adalah sebuah bandar kecil di France yang bersempadan dengan Basel, Swizerland. Kami memilih Mulhouse sebagai tempat untuk bermalam supaya keesokan harinya kami tidak perlu menempuh perjalanan yang terlalu jauh ke Paris. Perjalanan kembara kami kali ini sudah begitu hampir ke penghujungnya, cuma tinggal dua hari sahaja lagi sebelum terbang pulang ke Malaysia.

Sepanjang perjalanan menuju ke Mulhouse aku cuba menghubungi Claire, host BnB pada hari tersebut. Panggilan tak dijawab, jadi aku cuba menghantar SMS. Semuanya dilakukan melalui telefon Faten kerana kredit Lycamobile yang dibeli di UK tempoh hari masih belum habis. Hampir jam 8 petang, kami tiba di Mulhouse dan Claire masih belum mengangkat telefon. Aku sudah tandakan kordinat rumah Claire, tetapi apabila tiba di kawasan yang ditandakan, aku tak berjaya menjumpai jalan masuk kerana terlalu banyak jalan sehala.

Aku berpusing-pusing di sekitar bandar Mulhouse yang kebanyakan kedainya sudah pun ditutup. Mengikut perancangan asal, sepatutnya kami ingin menjamakkan solat Asar dan Zuhur di rumah Claire.

Kejutan

Sedang berpusing-pusing di sinilah aku menerima SMS balasan daripada Claire. Sungguh mengejutkan, katanya dia sudah membatalkan tempahan kami kerana sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan seminggu yang lepas (sebenarnya empat hari). Aku memang ada banyak menerima email daripada AirBnB sejak seminggu yang lepas, kebanyakannya email reminder untuk tempahan yang dibuat, juga reminder untuk meninggalkan review untuk tempat-tempat yang kami sudah bermalam. Boleh kata setiap hari ada email daripada AirBnB. Oleh kerana terlalu sibuk menguruskan perjalanan trip ini, aku abaikan sahaja email-email ini untuk dibaca kemudian hari nanti.

Masa ni hati agak panas juga, punylah lama dah kami tempah (dari September 2015), baru last minute macam ni dia cancel. Ini memang salah satu kelemahan sistem AirBnB. Apabila pemilik rumah adalah orang kebanyakan yang tidak biasa menjalankan bisnes penyediaan tempat tidur, mereka tidak mempunyai komitmen seperti hotel atau homestay. Ada juga kes kecemasan melibatkan keluarga sehingga mereka tidak dapat melayan tetamu pada tarikh yang telah dipersetujui. Kalau diikutkan, Claire ni host yang mendapat review yang sangat baik di AirBnB.

Oleh kerana masa yang suntuk, kami mengambil keputusan untuk park kereta di sebuah kawasan di tepi jalan dan bersolat di kaki lima. Nasib baik air dalam botol spray masih ada. Cuaca sejuk sehingga menggigil dibuatnya.

Di sinilah kami parking dan di bawah pokok itulah kami menunaikan solat. Masa ni bandar sungguh sunyi sepi, hampir tiada orang lalu pun. Photo diambil dari Google Street View, geram dengan pemilik BnB punya pasal, sekeping gambar pun aku tak ambil di sini.


Sedikit tips apabila membuat tempahan melalui BnB, kau memang kena selalu cek sebab host mempunyai kuasa untuk membatalkan tempahan sekiranya perlu. Memang ada clause yang dia boleh ikut suka dia untuk batalkan tempahan, namun pihak admin BnB akan mendenda mereka tak silap aku. Dan kita akan dapat duit booking tu semula. Pihak BnB akan creditkan semula jumlahnya dalam akaun kita. Waktu kau nak booking tu kalau boleh check la review dari orang-orang lain kot-kot ada yang pernah complain pasal tempahan ditolak pada saat akhir. Aku memang dah kaji host kami di Mulhouse ni belum pernah ada rekod tersebut dan mungkin kamilah orang pertama yang terkena.

Bandar Mulhouse ni memang agak sunyi pada waktu nak maghrib ni, Aku rasa penduduk Islam mungkin ramai di sini kerana nampak banyak jugak deretan kedai-kedai yang menjual makanan halal terpampang di pintu kedai. Tak nampak pulak ciri-ciri hotel, motel ataupun hostel di sini.

Aku ada sedikit rasa bersalah masa ni. Sebab kalau aku alert dengan email dari AirBnB masa tu, mungkin sempat lagi untuk mencari hotel-hotel murah untuk bermalam. Kami bermesyuarat sekejap di dalam kereta, nak cari hotel atau nak drive malam ni juga ke Paris. Rasa macam kerja gila, tapi kalau kat Malaysia biasa je drive malam-malam balik kampung. Bagi orang Kelantan macam aku, drive sepanjang malam untuk balik kampung tu perkara biasa.

Bukan tak nak cari hotel murah sebenarnya masa tu, tapi antara kami berempat, tiada seorang pun yang ada talian internet. Nak check kat Booking.com atau Agoda pun tak dapat. Alternatif lain, cari kawasan yang ada free wifi dan mula cari hotel. Tapi dalam keadaan hari yang semakin gelap dan kebanyakan kedai dah tutup, kat manalah nak mencari free wifi. Daripada membazir masa mencari sesuatu yang tak pasti, kami putuskan untuk teruskan pemanduan ke Paris pada malam itu juga.

Sunyi dan gelap.

Setelah kira-kira 15 minit meneruskan pemanduan, kami sudah pun memasuki highway dan hari pun gelap. Highway di sini bukan ada banyak lampu macam kat Malaysia, memang gelap segelap-gelapnya. Walaupun dekat simpang. Kalau kau pernah tonton Jason Bourne Episod 1, semasa perempuan tu drive bawa Jason Bourne dari Zurich ke Paris, kau akan nampak macamana gelapnya jalan highway ni. Jalan yang samalah ni. Cuma yang tak real dalam cerita tu macamana kat RnR dia boleh ada ramai orang.

Jumlah kenderaan di highway di sini di sebelah malam memang amat sedikit. Hanya kereta kami dan sesekali ada kereta lain datang dan pergi. Para wife pun dah tak sedap hati nak tidur lagi sebab masing-masing cuba nak pandang kiri kanan kot ada macam Highway Hotel walaupun ada gak debaran bila teringat movie tu selalunya highway hotel ni haunted. Haha!

Pukul 11 malam. Drive pun dah semakin jauh meninggalkan Mulhouse. Mata pun dah semakin berat. Kami masing-masing dah agak penat terutama pada siangnya kami beraktiviti di atas Mount Titlis, Badan pun dah keluar signal untuk rehat. Mula-mula ternampak satu stesen minyak di tepi highway dan kami decide untuk masuk dan berehat di situ. Tapi aku tersalah jalan termasuk ke laluan untuk lori berhenti rehat. Tempat di situ memang completely gelap, risau pulak kami berempat nak berehat di sana, dalam kepenatan tu sambung drive semula ke atas lagi, mencari stesen yang lebih besar dengan harapan jumpalah nanti. Yang bagusnya highway di sini, boleh kata di setiap 20 - 30 km akan ada service area - ada stesen minyak, tandas dan kawasan parking untuk berehat.

Tak lama dalam 20 minit, syukurlah kami ternampak stesen minyak Avia yang agak besar dan terang benderang di tepi highway, segera aku berhentikan kereta. Alhamdulillah juga ada kawasan parking yang betul-betul menghadap kedai stesen minyak ni. Masa ni betul-betul dah tak tertahan-tahan lagi. Nak tukar driver pun Basir juga dah kepenatan. Matikan enjin kereta, turunkan tingkap sedikit dalam dua cm, dan kami pun tidur dalam kereta.

Ada sekali tu sekitar pukul 1.00 pagi, kami tersedar sebab cuaca yang tersangat sejuk. Nak tutup rapat tingkap tadi risau pula kami tak cukup oksigen. Buka enjin sekejap dalam 10 minit dan hidupkan heater. Selepas tu tutup enjin dan tertidur semula. Badan masih terlalu penat.

Aku tersedar semula dalam jam 3.45 pagi. Kami masing-masing belum lagi menjamakkan solat Maghrib dan Isya. Toleh belakang rupanya wife sorang tak boleh tidur. Rupanya dia risaukan keselamatan kami berempat dalam kereta. Nak offer drive katanya takut pulak ditahan sebab dia tak buat international license. Jadi sepanjang kami tidur tu dia memang dalam mode berjaga dan berdebar-debar je katanya. Banyak sangat tengok cerita Hollywood pastu carried away pulak tu. Dia siap terfikir berlaku rompakan di stesen minyak dengan aksi tembak menembak sesama gangster. Hmmm Patutla dia tak boleh tidur langsung!

Aku masuk ke dalam kedai untuk mencari tempat yang sesuai untuk solat. Stesen Avia ni besar betul, boleh kata macam empat kali lebih besar dari stesen petronas yang biasa di Malaysia. Ada banyak segmen dan cafe jugak dalam tu, tapi tempatnya memang sunyi mungkin sebab lokasinya di tengah highway. Sebesar-besar tempat tu, memang nampak sorang aje penjaga, pakcik yang tua dan uniknya pulak tak macam stesen minyak di Malaysia, jam 12 kedainya dah ditutup. Kalau nak beli pun kena ikut tingkap dan kadang-kadang memang gelap terus kedainya. Di sini, pintu kedai stesen minyak terbuka macam siang, walaupun di sbeelah highway yang sangat sunyi. Mungkin kadar jenayah di sini adalah rendah tak seperti di Malaysia sebab tu mereka tidak ada masalah untuk buka kedai macam tu.

Kata wife kereta ada je silih berganti berhenti kat sini. Tapi hanya kami sahaja yang paling lama berada di situ. Penjaga kedai tu pun tak bother pasal kami. Kebetulan dalam kedai tu ada port yang sesuai dan agak lapang dapatlah kami berempat mendirikan solat. Selepas itu sempat juga aku membeli sedikit roti sebagai balasan menggunakan tempat tersebut untuk tumpang solat.

Selepas dah kena air, aku ingatkan aku dah segar jadi kami putuskan untuk teruskan perjalanan menuju ke Paris. Rupanya, badan masih kepenatan. Aku cuma memandu dalam sejam sahaja dan aku minta untuk berhenti sekali lagi. Kebetulan waktu subuh pun akan masuk tak lama lagi. Selepas solat subuh, Basir menawarkan diri untu drive. Alhamdulillah, di waktu aku dah flat macam ni, Basir pulak yang bertenaga. Maka Basir pun memandu all the way sampai ke La Vallee.

Kira-kira jam 8.30 pagi akhirnya kami tiba di perkarangan La Vallee. Alhamdulillah. Malam yang penat, terasa begitu panjang dan penuh dengan kejutan telah kami lalui dengan selamat. Catatan selanjutnya adalah di dalam entri yang akan datang.

CONVERSATION

1 comments:

Back
to top