EUROPE TRIP DAY11: LA VALLEE VILLAGE, PARIS

Pierre Herme di La Vallee Village, Paris.

Catatan ini adalah kesinambungan dari entri sebelum ini.

Isnin, 25 April 2016. Basir tenang memandu di sepanjang perjalanan selepas solat subuh dari highway di antara Zurich dan Paris. Aku? Sambung tido. Kira-kira pukul 7 pagi kami sampai di penghujung jalan highway, menandakan kami sudah pun hampir tiba di Paris. Setelah tol sebanyak €33.70 dibayar, kami meneruskan lagi perjalanan mengikut panduan GPS. Rupanya ada sejam lagi nak sampai La Vallee. Perjalanan kali ini melalui jalan-jalan sempit di antara ladang rapeseed yang menguning seluas saujana mata memandang. Kami cuma menikmati sahaja pemandangan yang indah ini. Dah tak terfikir nak capai kamera pun. Ada juga bercadang nak berhenti kalau ada spot menarik, tapi jalan terlalu sempit tanpa ada bahu jalan pun.


Sekitar pukul 8.30 pagi, kami tiba di perkarangan parking La Vallee. Luas kawasan parkingnya. Masih lengang sebab La Valle hanya akan dibuka pada jam 10 pagi. Sambil menunggu La Vallee dibuka, kami bersarapan dengan roti yang dibeli di Interlaken tempoh hari. Mulanya nak menuggu sahaja dalam kereta sehingga La Vallee dibuka, tetapi terasa boring pula. Eloklah kami round dulu kawasan Marne La Vallee ni. Marne La Vallee adalah merupakan bandar yang baru dibangunkan di Paris, yang mana sebahagian besarnya dibangunkan oleh Disney. Kawasannya bangunan dan perumahannya sungguh terancang dan sangat cantik, bagaikan kawasan set penggambaran filem.

Kami juga singgah di sebuah kedai serbanika di dalam kawasan perumahan bernama Magny-le-Hongre. Elok sangatlah ni, kalau ada tuna spread boleh buat sandwich. Plain sangat rasanya roti kosong Interlaken tadi. Penjaganya seorang lelaki 50an, kebetulan seorang muslim. Tuna spread tak dijual, sardin dalam tomato sauce pun jadilah. Nasib baik juga aku sempat bertanyakan sardin jenama apa yang kandungannya sesuai untuk kami. Rupanya sardin pertama yang aku ambil mengandungi lemak haiwan. Walaupun tidak tahu berbahasa Inggeris, tetapi bersungguh betul dia cuba menerangkan ingridientnya kepada kami. Memang satu pun ayat yang keluar aku tak faham tapi akhirnya aku membeli sardin yang diimport dari Morocco atas 'cadangannya'.

Kawasan perumahan Magne-le-Hongre. Cantik dan bersih sangat. Jalan pun macam berkilat.

Rapid Market, kedai serbanika yang kami singgah pagi itu.

Rumah di sini tiada pagar. Persekitaran yang sunyi. Ruangan jalan kaki di hadapan rumah terus ke pintu utama.

Selain sardin, kami juga turut membeli croissant yang juga dijual di kedai yang sama. Panas-panas lagi. Memang sedap betul French croissant ni. Tak ketinggalan juga strawberry yang gemuk dan gebu, Cuma €1.70 sepeket. Sangat murah, adalah dalam hampir 20 biji dalam satu pek tu. Tapi tak boleh simpan lama sebab rupanya dah masak sangat. Kalau tak nak lah juga beli untuk bawa balik Malaysia esok. Bila teringat kat anak-anak, semua benda yang kita tengok pun teringatkan diorang. Masa ni dah lebih 24 jam tak berhubung, sebab tak dapat wifi. Biasanya kami hubungi anak-anak setiap pagi menggunakan wifi di tempat penginapan.

Kira-kira 9.45 pagi, kami sudah pun berada di La Vallee semula. La Vallee ni ada banyak entrance gate, ada tiga kalau tak silap aku. Kami pilih yang tempat parking yang paling dekat dengan gate pertama. Kereta sudah mula memenuhi ruang parking yang dekat dengan gate, tapi tempat parking La Vallee ni secara keseluruhannya sangat luas.

Kawasan parking La Vallee Village. First time nak gi shopping tak mandi. Last mandi di Lauterbrunnen pagi semalam. Haha!

Entrance masuk La Vallee dijaga rapi dengan kawalan keselamatan yang dijaga oleh tentera. Baru lima bulan lepas Paris dikejutkan dengan serangan pengganas, maka kawalan keselamatan telah diperketatkan terutamanya di kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai.

Kat tempat shopping ni aku tak mahir sangat nak cerita panjang-panjang, wife yang panjang langkah, kenal aje nama butik-butik yang begitu asing kat mata aku. Dari satu kedai ke satu kedai dia masuk. Aku cuma mengekor aje. Yang lamanya kat kedai tu sebab dia ada jugak ambik pesanan dari kawan-kawan di Malaysia. Cumanya kat La Vallee ni tak semua design ade, banyak yang off-season dan warna-warna yang kurang laku di butik utama. Jadi possibility nak jumpa apa yang dipesan tu agak mustahil, walaupun kebanyakannya memang pada harga yang jauh lebih murah.




Akhirnya kami masuk butik Coach. Para wife nak hadiahkan handbag untuk ibu masing-masing.


Dua beg yang telah di shortlisted untuk bagi ibu. Gambar di snap untuk whatsapp dengan adik-beradik. 

Hadiah untuk ibu tersayang. Seronok betul dia dapat beli beg kesukaan mak mertua aku ni.

Untuk diri sendiri, wife beli leather smartphone wristlet Michael Kors. Harganya kurang €30 berbanding di butik utama. Boleh muat letak iphone dalam tu.

Cashier di outlet Michael Kors.



Lepas habis tawaf La Vallee, kami masuk pula ke dalam gedung besar di sebelahnya, Val d’Europe. Val d’Europe ni adalah bersambung dengan La Vallee, cuma bezanya La Vallee adalah konsep terbuka, setiap butik mempunyai bangunan sendiri seakan-akan sebuah rumah. Sebab tulah namanya La Vallee Village. Ala-ala JPO juga, dan samalah seperti Bicester Village yang popular di London tu. Val d’Europe pula adalah satu bangunan shopping yang ada banyak kedai di dalamnya. Tak silap aku tiga tingkat semuanya. Memang besar sangat. Bayangkan kalau dalam trip ni kami pernah berada di tiga negara dalam sehari, tapi hari ni kami berjalan di La Vallee dan Val d’Europe sahaja.

Masa ni biasalah, wife yang bertenaga. Aku ikutkan aje, dalam hati pening jugak fikir mana laa dia dapat tenaga. Tak ada nampak gaya orang tak mandi dan tak cukup tidur. Banyak jugalah butik yang dia keluar masuk. Sesekali kami berpecah dengan Basir & Faten. Seronok juga aktiviti santai tanpa ada kekangan masa berbanding itinerary hari-hari sebelum ni.

Wallet ni cuma berharga €15 sahaja.

Di concourse area Val d’Europe ni ada susunan sofa single yang disusun berderet. Setelah penat berjalan, boleh berehat dahulu di sini. Seluruh kawasan ini dilengkapi wifi cuma line tenggelam timbul. Kebetulan masa ni dah jumpa semula dengan Basir & Faten. Aku pun teruslah cop sofa aku. Fuhh, sedap betul sofa dia berbanding seat kereta yang kami tidur malam tadi. Sampai kepala boleh sandar. Ramai lelaki yang menunggu pasangan masing-masing bershopping sambil layan megazine atau bermain handphone di sini. Aku & Basir memang tidak mengambil masa yang lama untuk terlelap. Sempat juga aku pesan kat wife kalau dia nak jalan lagi proceed jelah dengan Faten.

Mulanya wife nak tinggalkan beg-beg shopping dia kat aku, siap letak kat belakang kaki aku masa aku dah tidur. Sekali dia rasa tak sedap hati dan cuba angkat kaki aku masa tengah lena. Memang tak sedar langsung, penat sangat masa ni. Jadi sementara aku dan Basir tidur tu Faten dan wife pulak sambung jalan-jalan dalam tu dengan membawa beg shopping tadi. Adik wife ada pesan untuk survey stroller babyzen dalam Val d'Europe ni. Harganya memang agak murah tapi sebab kami dah tak cukup tangan nak membawa balik nanti tak jadilah beli. Tak lama kemudian diorang muncul semula. Wife ajak aku pergi ke pasaraya yang ala-ala Tesco dalam tu untuk membeli mainan untuk budak-budak. Dapat beli Lego Minecraft & Duplo pada harga lebih kurang separuh daripada harga di Malaysia. Lega bila dah selesai membeli barang ole-ole untuk famili.

Misi Mencari Kotak

Kira-kira jam 4.30 petang, kami berjalan menuju ke kereta. Ketika inilah tiba-tiba kami teringat yang kami belum mencari kotak untuk packing barangan lebihan yang tak muat untuk dimasukkan dalam luggage sedia ada. Tadi masa di La Vallee ada juga terpandang kotak-kotak butik berjenama di bahagian belakang.

Aku teruskan ke kereta manakala wife, Basir & Faten berpatah balik untuk bertanyakan butik-butik di sini jika ada kotak yang boleh diberikan. Malangnya tidak ada satu butik pun yang boleh memberikan kotak kepada kami. Mereka bertiga mengambil keputusan untuk ke ke Information Counter dan kebetulan pula staff yang bertugas ketika itu adalah orang Indonesia. Di nametagnya ada lambang 3 bendera menandakan dia fasih 3 bahasa. Cakap melayu terus tanya kat mana boleh nak dapatkan kotak. Dia pun tak dapat nak bantu. 

Setelah 30 minit misi mencari kotak di La Vallee tidak berjaya, kami pun mengambil keputusan untuk pulang sahaja ke apartment Alex. Alex sudah memberitahu bahawa kami perlu sampai sebelum 6.30 petang untuk mengambil kunci.

Pukul 6.00 petang, kami sudah pun berada begitu hampir dengan kawasan rumah Alex di tengah-tengah Paris. Kami banyak melalui jalan dan lorong yang kecil yang kebanyakannya jalan sehala. Pada masa nilah kami terpandang sebuah kotak yang sebesar keranda di tinggalkan di tepi jalan. Masa ni kereta tengah berhenti sebab memberi laluan kepada pejalan kaki. Wife pandang aku, aku pandang Basir. Tak sempat nak bincang panjang, Basir & wife aku dah buka pintu kereta. Ah, ambil sajalah kotak ni.

Memang buat lawak, kotak tu tak muat kot nak masuk dalam kereta ni. Basir nekad nak angkut jugak kotak tu jalan kaki pun takpe sebab risaukan tak jumpa kotak lain yang elok nanti. Kotak tu nampak kukuh je. Mahunya tak, kotak piano rupanya. Suspen betul ingatkan kotak isi keranda dengan ukurannya yang sebegitu. Nampaknya mereka terpaksa berjalan kaki untuk pulang ke apartment! Aku dan Faten teruskan naik kereta sebab kereta belakang dah mula hon kami. Jarak dari situ ke apartment Alex tak la jauh sangat, selang beberapa blok dalam 10 minit bejalan kaki sahaja. Tapi kedudukan blok dan jalan-jalan yang agak sama memang buat wife dan Basir confuse nak pilih jalan mana. Mereka letak kotak ke tepi dan bertanya orang mana jalan paling cepat ke Dupleix Metro (Rumah Alex berdepan dengan Stesen Dupleix) Orang tu kebetulan memang nak menuju ke situ dan meminta mereka ikut, wife dan Basir pun patah balik untuk mengangkat kotak besar tu. Sekali pandang macam tengah usung keranda pun ada, dan yang paling tak dapat dilupakan sampai sekarang adalah tiba-tiba pulak je orang tu terus berlari tinggalkan mereka berdua! Entah dia ingat ni game troll ke apa ke lari bawak kotak. Rupanya peristiwa angkat kotak tu sempat Faten rekodkan dalam phone dia. Memang kelakar habis. Wife tak habis-habis ketawa sampai terjatuh-jatuh kotak tu tengah jalan.


Dalam 10 minit kemudian kami pun sampai di perkarangan rumah Alex. Aku sampai dululah sebab dengan kereta. Tak lama kemudian mereka berdua sampai. Pun masih belum habis gelak lagi. Sepanjang jalan banyak mata yang memandang mereka dengan pelik. Dipendekkan cerita, dari tempat parking terus kami jumpa Alex dan dia menyerahkan kunci kepada kami. Tak banyak untuk dia brief kami sebab ini kali kedua kami menginap di sini dalam masa seminggu. Setelah memindahkan barang, aku & Basir keluar semula untuk memulangkan kereta di stesen keretapi Gare Montparnasse. 

Proses memulangkan kereta di Europecar berjalan lancar. Sebelum itu sempat kami berhenti untuk mengisi minyak. Memandangkan Gare Montparnasse cuma 10 minit dari Dupleix, aku terus berhenti di stesen minyak pertama yang kami jumpa - sebuah stesen Avia - stesen minyak paling kecil pernah aku jumpa dalam hidup. Masakan tidak, kedudukannya seakan-akan rumah kedai yang dirobohkan dinding untuk dijadikan stesen minyak. Kalau kat Malaysia ni, banyak rumah kedai yang dijadikan car wash, masuk ikut depan dan keluar ikut belakang kedai, lebih kurang begitulah, cuma lebih kecil. Aku yang bawa kereta kecil ni pun risau sebab banyak sangat tiang dalam stesen minyak ni. Dah seminggu memandu dengan cemerlang tanpa sebarang calar pada kereta, janganlah di saat-saat akhir ni boleh tercalar pula sehingga menyebabkan kami dikenakan caj.

Di Europcar Gare Montparnasse, tiada seorang pun yang bertugas di kaunter pemulangan kereta. Kelihatan notis supaya kunci ditinggalkan sahaja di dalam peti besi yang disediakan. Risau juga memulangkan kereta tanpa bukti pemulangan. Kalau di Green Motion tempoh hari, kami diberikan slip pengesahan yang ditandatangani bersama bahawa kereta dipulangkan tanpa apa-apa kerosakan dan kesan calar. Maka, aku pun snap gambar kereta ni di sekeliling, di tempat parking Europcar itu. Kalaulah akan datang Europcar ada claim apa-apa, bolehlah backup dengan bukti yang ada. Untuk bukti pemulangan yang lebih kukuh, semasa kunci dimasukkan ke dalam box, Basir siap rekod video lagi.

Setelah itu kami pulang ke apartment Alex dengan menaiki metro. Nasi dan sardin yang dibeli pagi tadi sudah pun dimasak dan tersedia. Ada sedikit saki-baki lauk dari Malaysia untuk kami habiskan. Alhamdulillah, bekalan makanan yang dibawa memang ngam-ngam. Ada sepaket dua mee segera kami tinggalkan di dapur Alex, yang lain semua licin. 

Setelah makan, malam itu bermulalah episod kami mengemas barang-barang untuk pulang ke Malaysia pada hari esok. Kotak yang sebesar keranda dipotong menjadi dua. Kukuh dan stabil betul kotak tu. Basir sudahpun menyediakan barang-barang yang diperlukan untuk packing - gunting, cutter dan salotape. Cuma malangnya, disebabkan kotak yang terlalu besar, kami kehabisan salotape. Terpaksalah kotak ni ditangguhkan untuk diseal pada keesokan hari.

Malam itu kami tak ke mana-mana. Walaupun Eiffel Tower hanyalah 10 minit jalan kaki dari sini, tetapi katil terlalu rindukan kami pada malam itu. Tak bagi kami keluar langsung.

Sambungan catatan hari terakhir di bumi Europe akan bersambung di entri yang akan datang.

CONVERSATION

1 comments:

Back
to top