Sudah 41 hari hari Abah pergi namun hati masih terbayang-bayang. Rasa baru lagi lihat Abah terbaring tidak bercakap.
Sebelum sakit pun, Abah memang seorang yang banyak diam dari bercakap. Bila dia bercakap, hanya benda-benda penting sahaja.
Abah orang kampung yang bersekolah beberapa tahun sahaja. Selepas itu bekerja kampung untuk membantu keluarga.
Sepanjang hayat Abah, semua kerja kampung Abah pernah buat. Tanam padi, menoreh getah, bela lembu, bercucuk-tanam, masuk hutan mencari rebung dan pucuk paku untuk dijual, buruh binaan dan macam-macamlah. Awal tahun 70an adalah tahun-tahun Abah berulang-alik ke Singapura, mencuba nasib menjadi buruh dengan bayaran yang lebih tinggi dari di Malaysia.
Tahun 1976, kakak aku yang ketiga lahir. Ma cakap kat Abah tak payahlah pergi Singapura, buatlah kerja apa pun kat kampung sementara anak masih kecil. Tapi disebabkan hempitan kewangan pada waktu itu, Abah pergi juga. Belum habis Ma dalam pantang, Abah tiba-tiba pulang. Yang pertama Abah capai, anak dia yang masih bayi itu. Abah peluk erat, air matanya mengalir deras. Rindu sangat dia. Ma cakap itulah antara beberapa kali sahaja dalam hidup, Abah pernah menangis. Selepas itu Abah tak pernah kerja jauh dari kami lagi.
Begitulah Abah, kasihnya pada kami bukan melalui lisan. Kadang terasa Ma yang banyak bertanya khabar. Bila Abah teringat kat anak-anak pun, Abah akan tanya Ma. Bila bercakap telefon dengan Abah pun, selalunya tak lama. Lepas tu Abah akan tanya, 'nok kecek denge Ma?'.
Abah ada kencing manis dah bertahun lamanya, tapi tak kronik sangat. Abah memang jaga ubat dan cucuk insulin. Cuma Abah mula jadi lupa sejak 2017, sedikit demi sedikit. Kami scan kepala Abah di HUSM awal tahun 2018, sayangnya doktor belum nampak punca sebenar kepada keadaan dimentia Abah. Hanya setelah Abah diserang stroke pada 26 Julai 2019, barulah kami dapat scan sekali lagi. Rupanya Abah ada hydrocephalus. Keadaan di mana cerebrospinal fluid (air tulang belakang) berkumpul dalam kepala dan menjejaskan fungsi otak.
Setelah lima bulan lebih Abah terbaring, tanggal 9 Jan 2020, Abah pergi berehat untuk selamanya. Berehatlah di sana dengan aman Abah, setelah sepenuh hayat Abah kerahkan seluruh tenaga Abah untuk keluarga. Sungguh, Abah sudah terlalu kuat bekerja sepanjang hayat Abah.
Aku sudah mula rindu, semoga bertemu Abah di syurga. Amiin.
0 comments:
Post a Comment