EUROPE TRIP DAY03 PART 2: LONDON


Aktiviti hari ketiga - Jalan-jalan London.

Catatan hari ketiga ini adalah sambungan daripada Part 1.

Kami tiba di Victoria Coach Station ketika jam sudah pun hampir pukul 11 pagi. Tempat pertama yang dituju adalah kaunter perkhidmatan left luggage. Perkhidmatan Left Luggage di Victoria Coach Station ni adalah antara yang paling murah di London. Jangan confuse dengan Victoria Station - ini stesen keretapi. Di Victoria Station kosnya lebih mahal. Victoria Coach Station menawarkan harga £5 sahaja sehari untuk beg yang kurang 20kg. Kalau lebih 20kg, tak kira besar mana cuma £7 sehari. Biasanya kalau di tempat lain tak kurang dari £10 sehari, even saiz bag laptop sekalipun. Kami akan menaiki bas di sini malam ini untuk ke Paris, jadi sesuai sangatlah tinggalkan luggage di sini. 

Kebetulan pada masa kami berurusan di kaunter left luggage ni, Basir memakai mafla Liverpool. Penjaga kaunter tu menegur secara sinis, first time berhadapan dengan orang putih yang tak berapa mesra alam, tapi lepas tu dia ok aje senyum, rupanya bila kami tanya pada kawan dia - penyokong kuat Spurs rupanya. Masa ni Spurs berada di kedudukan terbaik untuk mengejar Leicester City, patutlaa berlagak brader tu dengan fan Liverpool. Kalau lah jumpa lagi nanti bolehlah pergi gelakkan dia sebab Spurs kena potong dengan Arsenal masa final game. Hahaha..

Kemudahan left luggage di Victoria Coach Station. Kalau masuk ke sini, terus jalan sahaja ke sebelah kiri sampai hujung, jumpalah tempat ni, sebelah kaunter tiket bas. Maklumat lanjut dan terkini di sini

Dari Victoria Coach Station, kami berjalan ke Victoria Station - yang inilah stesen keretapi tadi. Jaraknya cuma lima minit sahaja jalan kaki. Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah membeli One Day Travel Card yang berharga £12.10. Ini adalah harga untuk weekend dan di luar peak hour (sebelum 9am weekdays dikira sebagai peak hour). Maklumat lanjut boleh klik di sini. Option lain yang lebih murah adalah menggunakan Oyster Card, sebab Oyster Card ada nilai capping maksimum untuk satu hari penggunaan (£6.50 untuk zone 1 & 2 kalau tak silap), kalau lebih daripada tu dia dah tak caj dah. Tapi Oyster Card dijual pada harga £25 sekeping, dan baki akan direfund apabila kad dipulangkan. Masalahnya adalah, kad oyster hanya boleh dipulangkan untuk minta refund selepas 48 jam daripada masa penggunaan kali pertama. Kami tidak mempunyai 48 jam tersebut, maka option kedua yang paling murah adalah One Day Travel Card. Kalau tak beli kad ni, kami kena bayar harga normal, iaitu dalam zone 1 adalah £4.90 per ride - walaupun jaraknya cuma satu stesen. Harga tiket single ride boleh disemak di sini.

Dari Victoria Station kami menaiki tube untuk ke Tower Hill. Nak tuju line mana pun aku dah tandakan dalam itinerary, jadi tak perlu susah baru nak tengok map London underground. Ambil line District, menghala ke Upminster, jarak perjalanan 15 minit, ada 9 stops. Semua maklumat ni boleh diperolehi di Google map, tapi kena counter check juga dengan actual map. Dalam sesetengah keadaan, kita tetap perlu mahir untuk baca peta underground on the spot. Peta London underground boleh didownload di sini. Boleh save dalam handphone jadi boleh rujuk bila-bila diperlukan.

Victoria Station. Sorry Faten gambar blur, lupa tukar setting aperture.

Victoria Station bukan steakhouse kat Jalan Ampang tu ye. Nampak buruk daripada kebanyakan station LRT di Malaysia. Tapi tahukah korang, Victoria Station mula beroperasi sejak 1860.

Sekadar nak mengesahkan kami sedang menunggu di platform yang betul. 

Keluar dari station Tower Hill, terus nampak Tower of London tersergam. Besar betul Tower of London ni, biasa tengok dalam gambar tak terasa besar macam ni. Istana lama ni dah dibina sejak 1078 - dah dekat 1000 tahun dah bangunan ni dan tentunya tersenarai sebagai UNESCO World Heritage Site. Kalau nak masuk dalam kena bayar tiket £17 kalau tak silap. Kami tak ada masa nak explore lebih-lebih, jadi bergambar dari luar sahajalah.

Tower of London. Sebahagian daripada kompleks castle ini digunakan sebagai penjara dari tahun 1100 hingga 1952. Betul-betul bersejarah.

Tujuan utama ke Tower Hill ni sebenarnya untuk ke Tower Bridge. Aku rasa ikon utama London adalah Tower Bridge dan Big Ben. Kalau icon moden London Eyelah. Tak sah kalau datang London tapi tak sampai sini. Kadang-kadang ada orang tersalah menganggap Tower Bridge sebagai London Bridge. London Bridge sebenarnya jambatan yang lebih lama, sebelah Tower Bridge. Dari segi rekabentuk fizikalnya, London Bridge taklah famous macam Tower Bridge, cuma mungkin ada lagu 'London Bridge is falling down' jadi orang ingat Tower Bridge itulah London Bridge.

Tower Bridge, pandangan daripada Tower of London.

Tower Bridge juga kelihatan sangat besar berbanding dalam bayangan aku selama ni. Selalu tengok gambar je dari Sungai Thames, memanglah nampak kecik. Bila dah ada bawah tu, baru terasa besarnya struktur yang diorang bina atas sungai ni. Bagi aku, agak menakjubkan bagaimana mereka boleh bina jambatan ini dengan teknologi yang ada pada 122 tahun yang lepas.

Ada beberapa spot kalau nak bergambar berlatarbelakangkan Tower Bridge ni. Rugilah dah sampai kalau tak try semua. Orang sangat ramai, tambahan pula hari ni hari Ahad. Pelancong dari China ada di mana-mana. Dan diorang ni aku perasan agak kurang commonsense. Contohnya kalau kita tengah bergambar tu, selamba je dia pegi duduk belakang kita tanpa menghiraukan apa yang sedang berlaku di sekeliling mereka. Sebenarnya attitude ni atas individu, tak wajar jugak aku nak menyalahkan negara atau bangsa sedangkan kat Malaysia pun banyak je spesis kurang kesedaran macam ni, cumanya dalam kembara kami kali ni, memang beberapa kali jugaklah terkena dengan pelancong dari China ni.

Macam takde tempat lain kau nak bersenam, kan? Dahle baju striking.



London City Council & The Shard, pandangan dari Tower Bridge. Kelihatan juga sebahagian London Bridge di sebelah kanan.

Lama juga kami di sini. Akhirnya kami mula berjalan ke station underground London Bridge. Destinasi seterusnya adalah Westminster station, untuk ke Big Ben & London Eye. 

Disebabkan kami menaiki station underground London Bridge, kami berpeluang mengambil gambar Tower Bridge dari sebelah selatan Sungai Thames.  

Route jalan kaki dari Station Tower Hill ke London Bridge.

Seronok juga naik station berlainan, dapat lihat suasana di perkarangan Sungai Thames dari sudut yang lain pula. Ada yang buat talent show tapi kami dah tak sempat nak layan, masa ni pun sebenarnya timing dah lari banyak daripada itinerary yang dirancangkan.

Untuk ke Big-Ben dari Station London Bridge senang je, cuma ambil underground line Jubilee towards Wembley Park dan turun di Westminster Station – 4 min, 3 stops. Kali ni dah tak sempat ambil gambar sebab cepat sangat tren sampai.

Sampai di Westminster, keluar je terus nampak Big Ben. Rupanya kat sini lagi berganda ramai orang. Ramai yang sangat-sangat sampai hampir mustahil nak ambil gambar tanpa ada orang kat belakang. 

Ini sebenarnya sebahagian dari custom album kami untuk trip ni. Gambar ni dah banyak kena crop untuk buang manusia-manusia yang tak diperlukan sebagai latar belakang.

Dahlah ramai orang, boleh pula masa ni banyak pulak construction kat bangunan Palace of Westminster ni. Kalau ikutkan bangunan Palace of Westminster yang asal, tahun 2016 ni genaplah 1000 tahun umurnya. Tapi bangunan yang kita lihat ni adalah binaan baru (dibina semula selepas kebakaran total lost pada tahun 1840).

Clock tower ni dikenali ramai dengan nama jolokan Big Ben, walaupun yang tepatnya Big Ben adalah nama jolokan untuk loceng yang terdapat di belakang jam ini. Nama clock tower ini yang sebenarnya ialah Elizabeth Tower.

London Eye, pandangan dari atas Westminster Bridge. Setelah beberapa minit menunggu untuk dapat bergambar tanpa gangguan orang yang lalu lalang. Sementara menunggu tu sempat juga kami layan nescafe panas yang disimpan dalam thermos dan Bun Sambal Bilis Gardenia di sini.

Di sini juga terletaknya Westminster Pier, salah satu tempat naik London River Cruise. Kalau ada masa, river cruise adalah salah satu cara yang menarik untuk melihat attraction di kota London ni.

Kalau ikutkan perancangan awal, dari Westminster ni kami akan ke Trafalgar Square. Tapi memandangkan masa yang semakin suntuk, kami skip dan terus ke Buckingham Palace. Dari Westminster ke Buckingham Palace, kami akan melalui sebelah St James Park. Nampaknya, St James Park pun kira lalu sebelah sahajalah. Masa ni jam sudah pun menunjukkan pukul 2.00pm. 

Dari Big Ben ke St James park akan jumpa phone booth ni - phone booth paling popular di London - beratur nak ambil gambar nih. Betul-betul tengah bergambar, menara jam berbunyi menandakan tepat pukul 2.00 pm.

(Gambar route jalan kaki dari Big ben ke Buckingham Palace)

Bertegur-sapa dengan Londoners - budak sekolah umur 14 tahun. Basir kata ada rupa macam Sturridge sebab tu dia nak bergambar.


St James Park dari Buckingham Palace.

Buckingham Palace. Bendera yang berkibar di tengah-tengah palace ketika ini adalah bendera Union Jack, menunjukkan Her Majesty tiada di sini. Jika tidak, bendera The Royal Standard akan dikibarkan.

Sambungan drama slot Akasia semalam. Surihati Mr Reporter episod 2

The famous Queen's Guard. Lama aku perati dia ni, memang tak gerak langsung. Dia takde perasaan nak check whatsapp ke?

Dari Buckingham Palace, kami berjalan ke Hyde Park Corner melalui Green Park. Masa dah suntuk jadi kami memang tidak bercadang untuk lepak di Hyde Park, cuma nak ambil bas menuju ke Marble Arch dari Hyde Park Corner. Dari Buckingham Palace ni tiada bas yang lalu. Kalau nak jalan terus ke Marble Arch pun boleh juga, tapi dekat 25 minit jugalah.

Route jalan kaki dari Big Ben ke Hyde Park Corner, tapi end up kami skip Trafalgar Square melalui Birdcage Walk. 

Dari Buckingham Palace menuju ke Hyde Park Corner. Di sebelah kanan adalah Green Park. Jalan Constitution Hill ni memang ditutup kepada kenderaan bermotor pada hari Ahad dan Public Holiday. 

Hyde Park Corner. Salah satu entrance ke Hyde Park yang paling popular selain Marble Arch. Cantiknya cuaca hari ni, kalau dapat picnic kat Hyde Park mesti best.

Kami menunggu bas tak sampai tiga minit, terus dapat naik. Ada banyak pilihan bas yang boleh dinaiki. Marble Arch ni adalah penjuru sebelah utara Hyde Park, berhampiran dengan Oxford Street. Marble Arch adalah antara beberapa spot di London ni yang kita boleh lihat banyak kawanan burung merpati. Sejak dari dulu lagi London memang terkenal dengan imej burung merpati. Kalau dulu, burung merpati ni banyak terdapat di Trafalgar Square. Tetapi sejak 2003, bilangan merpati di Trafalgar Square dah berkurangan kerana keputusan yang diambil oleh London City Council untuk menghalau merpati-merpati dari sana.

Kami sempat bertegur-sapa dengan seorang pesara tentera berumur 90 tahun yang sedang ambil angin petang di sini.


Jinak-jinak merpati.

Ketika jam menghampiri pukul 3.30 petang, kami berjalan ke Oxford Street. Sebelah Marble Arch ni je. Target utama cuma ingin ke Primark & Clarks. Oxford Street ni adalah street shopping yang paling ramai dikunjungi di dunia – kira-kira setengah juta orang setiap hari. Semua orang yang pernah datang Europe bercerita tentang Primark, even Basir yang pernah ke Berlin & Ireland sebelum ni pun kata dia cuma target nak shoping di Primark saje.

Primark ni sebenarnya clothing retailer tapi banyak juga jual accessories lain macam barangan kulit, cadar, jam tangan dan banyak lagilah kalau nak disenaraikan. Kebanyakan produk dalam ni adalah jenama Primark sendiri, ataupun jenama yang joint venture dengan Primark. Yang penting kat primark ni bukan brand, tapi kualiti pada harga yang sangat murah. Baju kanak-kanak boleh diperolehi pada harga dari £1. Kalau berminat nak dapatkan produk Primark ni, boleh cuba tengok IG wife aku, instagram.com/ukprimarkgateway. Masih ada banyak lagi stok kat rumah ni, tak perlu order jauh-jauh dan tunggu tiga empat bulan baru sampai :) Fabrik produk Primark ni biasanya jenis yang memang selesa dan design dia juga cantik-cantiklah. Pendek kata walaupun murah, tapi bukan kualiti baju pasar malam kat sini.

Panjang juga shopping list yang perlu ditunaikan di Primark ni. Memenuhi shopping list dalam keadaan kedai yang sesak dan badan yang penat setelah seharian berjalan bukanlah sesuatu yang awesome. Walaupun dalam keadaan macam tu, kami berjaya selesaikan juga dalam masa satu jam setengah. Macam-macam juga yang kami beli, sampai dua kali beratur lah kat cashier. Walaupun barisan agak panjang, tapi cepat aje sebab banyak counter cashier. Aku perasan di sini kebanyakannya amalkan sistem macam ni, walaupun counter banyak tapi barisan tetap satu - kaunter tiket bas, kaunter simpan luggage, kaunter tiket tren, cashier di Liverpool Store, boleh kata semualah. Dan aku rasa sistem ni elok juga diamalkan di Malaysia. Kadang-kadang kita beratur di KFC lebih awal, ingatkan line kita pendek kita akan dapat cepat. Rupanya disebabkan customer depan kita order terlalu banyak atau pun dia memang jenis depan kaunter baru fikir nak makan apa, orang yang beratur lebih lambat daripada kita di line sebelah boleh dapat layanan dulu. Pernah kena tak?

Time ambik tak ingat dunia, dah bayar buat-buat terkejut ya.

Gambar ini diambil dengan kebenaran.

Ketika kami masih mencari barang untuk beratur second time, masa ni si Basir dah habis shopping. Dia tunggu kat luar, tapi Faten masih gigih cari barang. Nampak di situ beza kekuatan orang lelaki dan perempuan - when it comes to shopping. Aku dengan wife kena cari sama-sama sebab shopping list sama-sama.

Keluar dari Primark, aku dengan wife tinggalkan barang dekat Basir dekat luar Primark. Kami target perlu ke Clarks, tak jauh pun dari Primark ni. Aku memang aim nak beli kasut kerja di sini, dan wife pula nak hadiahkan kasut untuk ibu. Masa tu dah pun dekat pukul 5 petang, dalam berdebar jugalah kami berkejar ke Clarks. Wife asyik tanya sempat ke nak naik bas kat Victoria Coach Station ni, lagi tiga jam aje (bas kami ke Paris pukul 8 malam). Aku dengan konfiden jawab, sempat punyala. Lepas ni kita ke Bayswater sekejap untuk beli souvenir dan lepas tu terus ke Victoria lah. Padahal, urusan di Clarks pun belum, solat belum, makan belum dan adalaa lagi perkara di luar jangkaan.

Dah penat sangat ni. Agaknya penat semalam pun belum habis lagi ni.

Dengan tidak melengahkan masa, aku sambar kasut Clarks £35 (harga asal £65), ada sepasang je design ni kat outlet tu. Ngam-ngan saiz aku. Clarks biasanya memang ada satu rak yang dia buat sales, sentiasa ada sales. Cuma saiz limited laa. Biasanya bukan design yang baru sampai - few pairs yang lambat jual dia akan letak kat rak ni. Kalau pergi di outlet Clarks yang bandar-bandar kecil sedikit biasanya rak sales dia ni lagi banyak pilihan. Di Oxford Street ni salesgirl situ cakap dek kerana terlalu ramai orang datang setiap hari cepat je stok habis, jadi rak sales dia taklah banyak sangat pilihan. Kira nasib baik laa jugak dapat design yang aku berkenan dan saiz pun kena dengan kaki aku. Wife pula beli kasut £25 untuk ibu. Harga asal aku tak ingat. 

Rasa dah shopping kasut sehabis cepat, rupanya campur dengan jalan kaki ke sini dan patah balik ke Primark, hampir sejam juga. Masa kami berkumpul semula depan Primark, kami ingatkan masih sempat lagi untuk masuk semula ke dalam untuk mengambil borang VAT claim. Kami teringat ni pun sebab di Clarks tadi mereka beritahu memang boleh claim dan mereka siap berikan borang yang sudah diisi beserta sampul untuk didropkan di airport bila keluar Europe nanti. Rupanya, Primark tutup tepat pukul enam, masa tu ada lima minit lagi ikutkan tapi kami dah tak dibenarkan masuk ke dalam. Bersungguh minta dengan guard di situ, tetap juga tak dibenarkan. Memang takde rezeki nak claim VAT Primark ni.

Hurm.. boleh tahan hasil tangkapan hari ini.

Dari Primark kami ke seberang jalan untuk ke station underground Marbel Arch. Dari sini kami akan turun di Queensway. Destinasi sebenar adalah Bayswater, sebab di sini ada kedai cenderamata murah. Sangat murah, tahap murah yang lebih murah dari di Malaysia. Boleh dapat fridge magnet apa-apa design, termasuk yang besi punya - RM2.50/each. Aku convert siap-siap nak bagi nampak murah dia macam mana.

 
Dari station marble arch menuju ke pitstop terakhir sebelum meninggalkan London iaitu Bayswater. Bayswater ada underground station dia sendiri, tapi kalau dari Marble Arch lebik praktikal turun di Queensway. Queensway cuma dua station dari Marble Arch, line Central. Bayswater pula line yang berbeza, Circle & District. Kalau gigih nak turun di Bayswater jugak (dari Marble Arch), kena tukar train di Notting Hill Gate, then ambil line Circle atau District. Plus minus rasanya jalan kaki dari Quensway ke Bayswater lagi cepat.

Dari station Queensway ke Bayswater kami berjalan lebih kurang lima minit sahaja. All the way terpaksa mengendong segala hasil tangkapan khusus buat family especially anak-anak. Itupun bersyukur jugaklah Primark tutup seawal jam 6. Kalau tak mau terbabas dan takde laaa cenderamata sempat nak dibeli. Time tu wife dah tertanya-tanya sempat tak lagi nak membeli souvenir sebab bas kami akan bertolak dari Victoria Coach Station tepat jam 8 malam. Maknanya kami mempunyai masa sejam setengah maksima untuk membeli cenderahati kepada kawan- kawan dan sanak saudara di Malaysia termasuk masa perjalanan ke sana. Ikutkan itinerary yang dah ditanda dengan awal, tempatnya tak jauh mana, memang sempat sangat la pun. Cuma dalam sejam setengah ni juga kena mencari tempat solat.

Rambang mata

Setibanya di Baywater memang rambang mata melihat betapa banyaknya souvenir yang boleh dikategorikan sangat murah berbanding rata-rata tempat yang kami kunjungi. Aku dan wife memang dah tandakan kedai ni awal-awal lepas baca dari blog 'danish dan ummi' di sini.

Aku cuba fikir macamana laa nak dapat harga FM murah, sama macam si Ummi ni dapat, £10 untuk 22 keping FM. Kalau convert ke RM, memang RM2.50 saje sekeping, kat Malaysia pun susah nak dapat. Tambah pulak kualiti FM dia bukan cikai-cikai macam kedai RM2 tu. Tapi harga yang blog tu cerita adalah harga dua tahun lepas.

Berlagak seperti Frank W. Abagnale dalam Catch Me if You Can, aku berkata kepada tokey kedai Pakistan ini;

‘Sir, I would like to buy quite a lot of fridge magnet, and I met with your friend, Halim, last month and he suggested to come only to your shop’
‘Halim? Which Halim. I know a number of Halim’

Dalam hati.. ahh sudah.. Tapi Frank mana pernah panic.

‘The one that quite chubby, with a little hair and just about your height’
‘Oh, him. The last time I met him was one year ago.’

Hahaha.. betul-betul wujud rupanya Halim itu. Takde pulak dia tanya aku jumpa si Halim ni kat mana. Tak tau le kalau dia pun berlakon nak ambil hati customer je. Tapi aku memang cakap Halimlah yang suruh minta £10 untuk 22 keping FM. Masa tanya tu dia just angguk style India tu (yang gayanya di antara angguk dan geleng) tapi kita faham laa memang terjemahannya ‘yeah, sure!’.

Korang kalau nak pergi kedai ni nanti petiklah nama Halim ni jugak. Owner ni tak tanya pun nama aku. Cakap biar bunyi confident. Sampai Basir pun tanya aku betul ke cerita aku ada kawan nama Halim ni, haha. Dan betul ke dapat harga tu, macam tak logik, karang korang ambil banyak-banyak ni harga lain pulak. Kami berjaya beli 44 keping fridge magnet dengan harga £20, benda-benda lain macam short glass, beg sandang, piring perhiasan, semuanya ada diskaun. Siap dia bagi kami resit dari pelanggan lain yang tak ambil untuk kami claim VAT (Dua bulan lepas pulang ke KL akaun wife aku dicreditkan dengan amount RM50 hasil VAT claim utk kedai ni)

Nama owner kedai ni Benny. Benny siap benarkan kami solat jamak zohor dan asar kat stor kedainya di tingkat bawah. Memang service first class betul kedai London Bayswater Souvenirs ni. Dan another plus point is, dia tahu cakap Melayu. Tak banyak pun, tapi untuk basic urusniaga memang tak ada masalah. Bukan masalah pun kalau dia tak tahu cakap Melayu, aku cuma nak cerita how good the taukey is.



Tengok tu pilihan FM dia. Semuanya berkualiti. Yang kami beli tak sempat nak ambil gambar.

Nasib baik juga kami datang Europe waktu penghujung April ni waktu siang panjang, mudah sikit cari ruang waktu untuk solat. Maghrib pun masuk dekat pukul 9 malam.

Debaran

Disebabkan peramahnya si Benny ni melayan customer, customer yang bayar sebelum kami pun dia layan sembang baik punya lama. Sampai kami terpaksa hint beritahu yang kami kena rush untuk naik bas ke Paris. Dia siap cakap should be no problem sebab Victoria cuma a few stations away dari sini.

Aku masih relaks ketika wife dah mula tak senang duduk bila melihat jam dah menunjukkan pukul 7.05 malam. Wife adalah time keeper kami sepanjang percutian ini. Dari aspek pengurusan masa memang dia particular sikit (cuma terbabas la jugak time dia tak ingat dunia dalam Primark tu). Time tu kami bertiga dah solat manakala Faten baru selesai urusan memborong untuk mak-mak sedara diorang dan baru nak solat pulak. Aku masih confident sebab station underground Bayswater pun dua tiga minit je jalan kaki dari sini. Dari situ kami kena ambil tube line Circle, direct ke Victoria Coach Station – ada 6 stops kesemuanya. Ikutkan dalam 10 minit je sebab stops ni dekat-dekat. Semua ni aku dah survey, tercatat dalam iitinerary dan aku dah hafal pun sebab terlalu banyak kali refer.

Time kami melangkah keluar tu jam menunjukkan pukul 7.20 pm. Aku congak-congak, sepatutnya dalam 7.45pm kami dah tiba di Victoria Coach Station, selesai ambil luggage dan tunggu untuk naik bas.

Allah Jua Sebaik-baik Perancang

Jam 7.23 kami sampai di Bayswater underground station dan bermulalah episod mendebarkan bagi kami berempat. Perkhidmatan laluan Circle antara beberapa station dalam maintenance termasuklah laluan ke Victoria Coach Station. Notis ditampal betul-betul di hadapan pintu station. Ahhh.. Kelam pandangan aku sekejap time tu. Tips, jangan sesekali panik apabila berada dalam situasi ini. Wife bergegas tanya kaunter mana laluan yg terdekat untuk kami sampai ke stesen Victoria. Pekerja di kaunter tiket menasihati kami untuk mengambil line District, turun di Earl’s Court dan tukar ke line District juga terus ke Victoria.

Sambil menunggu tren di Bayswater tu, aku semak Underground Map dalam handphone. Memang betul cadangan staff tadi, tukar di Earls Court. Tapi masalahnya, aku langsung tak ada idea station Earls Court ni macamana, berapa tingkat, line District nak tukar tu platform mana etc. Kebanyakan station lain yang akan digunakan aku dah baca info dalam Wikipedia dan dapatkan sedikit sebanyak gambaran, jadi bila sampai je ke situ aku dah tahu nak kena turun ke naik escalator. Sampai Basir & Faten cakap, gaya jalan macam pernah sampai London.

Tapi dalam kes ni, memang seolah-olah Tuhan hendak mengajar aku, sebanyak mana pun kau study, sebenarnya ada banyak lagi perkara yang kau tak tahu. Kami keluar dari tren di Earl’s Court, tiba-tiba nampak satu train yang memang dalam keadaan pintu terbuka menanti untuk bergerak di platform sebelah, tanpa fikir train ni akan bergerak ke arah mana, nampak je dekat train tu sticker hijau (menunjukkan ia adalah trainn District line), kami terus bergegas masuk. Bila train tu bergerak aje, aku dah ada perasaan pelik, ‘eh, kenapa tren ni gerak arah yang sama dengan tren yang kita keluar tadi’? Rupanya train ini menuju ke Ealing Broadway! 180 degree dari arah yang sepatutnya untuk ke Victoria!

Note:

1. Bukanlah sesuatu yang pelik Underground di London memang selalu ada maintenance terutamanya pada hari Ahad dan Public Holidays, biasanya laluan alternatif diberikan cuma kami tak bersedia dalam keadaan kejutan seperti itu.

2. Perasan tak, kami naik District Line dari Bayswater dan perlu turun di Earl’s Court, tetapi train yang perlu ditukar juga adalah District Line (warna hijau). Biasanya bila tukar train, kita kena tukar line, kerana laluan yang berbeza. Sampai ke Malaysia aku masih berfikir kenapa boleh jadi macam tu, dan sekarang memang aku dah jumpa jawapannya. District line adalah satu-satunya laluan underground London (setakat yang aku buat researh) yang berpecah kepada tiga laluan di Earl’s Court. Bukan sekadar berpecah tiga laluan, ia juga ada dua sub-branch iaitu Edgware Road & Kensington (Olympia). Jangan kata aku yang first time, dalam forum pun ada Londoners yang tak biasa naik District akan tersilap train. District train yang menuju ke Victoria dari Earl’s Court adalah ke arah Upminster.

Dah tersilap train tu aku cepat-cepat refer map underground semula. Sambil tu diorang tanyakan passenger lain. Semua passenger sungguh memahami keadaan kami yang kelam-kabut nak kejar bas. Semuanya sangat membantu dan confirmkan yang kami kena tukar train di station berikutnya (West Kensington) dan ambil train arah bertentangan. Kedudukan platform cuma dipisahkan dengan satu jejantas sahaja.

Sampai di West Kensington, keluar dari train kami boleh nampak train platform sebelah baru sampai. Apa lagi, berlarilah kami dengan bag-bag Primark penuh di kiri dan kanan bahu masing-masing. Masa ni memang dah tak peduli orang tengok. Kami sempat masuk train tu, masuk je pintu train tu terus tertutup. Wah, macam Amazing Race je rasanya.

Kami sempat tanya banyak kali kat passenger yang dalam tube tu betul ke arah kami ke Victoria tu. Semua strangers memang sangat helpful. Mungkin mereka dah dapat baca riak stress wife siap guide kami bersungguh-sungguh. Wife siap bahagikan tugas aku kena angkut beg yang paling berat – seriously, berat gile! – dan mereka bertiga berkejar ke Coach Station. Nanti Basir ditugaskan untuk ke Left Luggage dan Wife & Faten cuba tunjuk muka kat driver bas tu dengan harapan dia tunggu sekejap. Time ni aku pun dah tak berani nak kata apa-apa depan wife, sebab awal lagi dia dah ajak berpatah balik ke Victoria cuma tak sangka perkara ni akan terjadi. Dalam masa 20 minit je lagi bas kami akan bergerak ke Paris manakala kami masih stuck dalam underground terpaksa detour melalui laluan yang tersasar akibat penutupan stesen tadi dan tersilap menaiki train tadi. Perjalanan yang sepatutnya mengambil masa lebih kurang 10 minit dah jadi hampir 30 minit.

Maraton

7.50 pm. Turun je tube di station Victoria wife berlari menuju ke Victoria Coach Station. Apa-apahal wife kata biar dia tahan bas dulu. Walaupun jarak jalan kaki dari building train station ke coach station sebenarnya cuma lima minit, tetapi nak keluar dari Victoria Station tu pun kami dah keluar arah yang agak jauh dari Coach Station – keluar ikut exit yang mula-mula kami jumpa. Aku suruh diorang lari dulu dan aku ikut dari belakang, dengan bag Primark yang almost 10kg dekat bahu dan tambah lagi bag-bag lain di kiri dan kanan tangan, memang aku tak boleh nak lari. Basir pun ada bawa barang juga, tapi tak seberat aku sebab dia pun ada tugas nak dikejarkan - menuju ke tempat left luggage pagi tadi.

Time ni sebenarnya aku pun rasa macam takde harapan dah tapi sebab wife masih positif aku ikutkan aje. Mungkin Allah nak bagi miracle bas delay ke siapa tahu. Tak cuba tak tahu walaupun aku tahu orang sana memang sangat menepati masa. Sekelip mata je wife memecut pergi hilang dari pandangan mata aku. Faten & Basir mengekori dari belakang manakala aku cuma berlari-lari anak sahaja. Perghhh memang penat tapi sebab berdebar lagi kuat, entah dari mana kekuatan tu datang untuk lari jugak. Macam imigrant lari dari polis bawak barang. Nasib tak kena tahan.

Tertinggal Bas.

8.10 pm, aku tiba di platform. Terus menuju ke tempat luggage. Jumpa Basir di sana. Melihatkan wife tiada di situ, aku tinggalkan barang dekat Basir sekejap dan jalan kaki ke arah kaunter Megabus. Aku nampak wife ditepuk-tepuk penjaga kaunter Megabus. Sah memang tertinggal bas la kami ni.

Faten pulak tak nampak ada di mana-mana. Cuak sekejap Basir mencari isterinya sebab tadi kami dah terpisah gara-gara berlari siapa paling laju ke stesen bas.

Rupanya tadi wife sampai tepat-tepat 8.03pm di kaunter dan bas kami betul-betul tepat meninggalkan perkarangan Victoria Coach Station jam 8 malam. Wife bercerita yang dia memang terpaksa memecut tinggalkan Faten di belakang menuju ke station dengan harapan sempat tahan bas tu dan memang sampai nak putus nafas la katanya lari dalam keadaan cuaca sejuk dan tekak kering. Platform bas yang sepatutnya kami naik tu kebetulan pula adalah platform yang paling hujung di stesen tersebut, memang dah tertulis macam tu perjalanan hari ni.

Kagum jugak la aku wife boleh lari selaju tu dan sampai sana cuma terlewat 3 minit aje dalam keadaan tak tahu exact platform kami di mana sebab aku tak sempat brief dia pun cuma aku sempat bagitau bas kami namanya Megabus, map pun dia takde. Memang tak sangka benda nak terjadi lagi pun aku yang urus semua hal pembelian dan simpan copy tiket. Syukur dia tak sesat ke mana-mana masa tengah kalut tu dan syukur jugak lepas tu Faten pun akhirnya dah tiba ke stesen. Tapi nak cerita macamana punctualnya driver di London bukan macam stesen bas kat Malaysia boleh delay 2 jam tanpa bersalah. (Dah pernah merasa hazabnya tunggu bas zaman belajar dulu) So, alkisahnya burn la tiket kami yang berharga £1 tu. (Entahlah. Tiba- tiba aku rasa driver tu saje je tak nak tunggu sebab tiket kami tu cuma £1, haha) Tiba-tiba ada perasaan macam tengah masuk Amazing Race dan baru dieliminate. Haha

Penjaga kaunter tiket tu memang prihatin sangat lepas tau kami tertinggal bas. Mereka suggest kat wife untuk beli terus next tiket yang tinggal malam tu takut kehabisan pulak. Kalau takde tiket karang satu masalah pula kami terpaksa tidur kat mana-mana hotel dan bertambah kos lain pula. Prihatin sungguh diorang. Rupanya ikut cerita wife, time sampai-sampai dia tahu je bas baru sangat blah dia dah panik sampai termenangis kat kaunter tu minta petugas Megabus tu call driver berhenti sekejap di tepi jalan. (Ingat macam kat Malaysia ke selamba nak suruh fetch tepi jalan) Memang takde la driver tu nak layan.

Tak lama lepas tu aku pergi beratur beli tiket baru. Masalah jugak sebab dari platform kami ke tempat beli tiket memang agak jauh, aku terlupa passport kami diperlukan untuk membeli tiket. Dah la beratur panjang, aku terpaksa patah balik ke platform untuk dapatkan passport Faten dan Basir dan beratur semula untuk membeli tiket. Nasib baik penjaga kaunter tu sungguh prihatin beri aku peluang untuk skip the line kali ni.

Yang bagusnya dekat kaunter ni, semua kaunter kita boleh beli tiket bas mana-mana operator. So aku terus minta yang paling murah available untuk malam ni. Alhamdulillah dapat tiket Oui Bus (Operator dari Paris) dengan harga £26.50 jam 10 pm. Inilah harga kecuaian kami tapi syukurlah kerugian yang kami alami masih tolerable lagi. Aku patah balik dalam keadaan syukur, kerana kerugiannya taklah teruk mana, dan itinerary di Paris yangdirancangkan esok tak perlu diubah.

Dalam keadaan yang teramat penat, kami sama-sama bukakan bag shopping Primark dan juga bag dari kedai Bayswater Souvenirs, dan cuba satukan menjadi bilangan bag yang minimum. Kami memang ada bawa bag lipat untuk keadaan yang memerlukan bag tambahan. Daripada lima bag, jadi dua bag sahaja. Selain bag lipat tu, wife juga ada standby vacuum bag untuk mengurangkan ruang barang-brang yang boleh dimampatkan.

Kalau ikut perancangan awal sepatutnya kami beli kebab di Bayswater (di Bayswater ada banyak kedai halal), tapi nak kejar train pun macam ni mana sempat nak beli makanan. Nasib baik bekalan roti sambal bilis Gardenia Fun in a Bun masih ada. Dapat makan itu dengan air mineral pun dah cukuplah untuk malam ni.

Fun in a Bun memang peneman setia dalam setiap trip kami.

9.25pm kami siap makan dan siapa nak ke tandas selesaikan urusan masing-masing. Terus bergerak di depan pintu masuk platform bas Oui. Masa ni aku dan wife memang dah kepenatan dan tertidur atas lantai di platform bas berbantalkan beg-beg dan barang-barang shopping. Bangun-bangun tidur tepat-tepat jam 9.45pm. Berdebar kejap takut jugak 10.45pm ke sebenarnya. Bas pun betul-betul baru tiba diplatform.

Alhamdulillah, tepat pukul 10 malam bas kami bergerak meninggalkan London. Dalam keadaan yang teramat penat (salah satu hari paling penat dalam hidup) tak sampai berapa lama kami terus tertidur di dalam bas. Memang dari tadi dah berniat untuk jamak solat Isya & Maghrib di dalam feri nanti ketika bas merentasi Selat Inggeris untuk ke France. Segala perasaan kelam dan debaran tertinggal bas di London sudah pun reda. Dalam sedikit kesusahan yang Allah berikan dalam ujianNya, sebenarnya selepas itu ada jalan yang dibukakanNya terutama bagi orang-orang yang sabar.

Secara rasminya tamatlah catatan hari ketiga kami di bumi Eropah untuk trip kali ini. Aku tulis dan baca semula pun penat.

Catatan hari keempat akan bersambung di bahagian yang akan datang.

CONVERSATION

2 comments:

  1. Aduh.. napa saya yang baca pun berdebar sampai terkaku depan PC. huhuhu apa pun tq kerana menulis. menulis untuk panduan semua. teruskan usaha murni anda.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hehe, kitorang yang baca semula pun teringat-ingat debaran itu.

      Delete

Back
to top