EUROPE TRIP DAY01 : KLIA-ABU DHABI-LONDON

EUROPE TRIP PART 1 : KLIA-ABU DHABI-LONDON

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Akhirnya, setelah hampir enam bulan trip ni berlalu, barulah aku akan mula menulis tentangnya. Keputusan untuk buat blog pun hanya selepas tiga bulan, bila aku sedar banyak memori yang makin lama makin pudar dalam ingatan. Aku start dengan trip Hong Kong dulu sebab trip tu kiranya taklah lama sangat.Europe kami start dari 15 April 2016 (flight berlepas dr KLIA jam 2.10 pagi) hingga 27 April 2016 (flight touch down KLIA semula pada tarikh ini, jam 10.20 malam).

Tanggal 14 April, hari Khamis aku masih kerja macam biasa. Nak jimat cuti. Wife takpe dia kerja bank, cuti 30 hari setahun, belum campur yang dia carry forward lagi. So dia cuti dan kemas apa yang patut buat kali terakhir. Di samping habiskan masa dengan budak-budak. Trip kali ni tak bawak anak-anak, so mereka tinggal rumah aku dengan ateh diorang, maid dan nenek diorang pun datang sini teman. Alhamdulillah rumah aku dekat dengan sekolah, jadi tak risau sangat bab nak hantar dan ambil balik dari sekolah, Ariff jalan kaki je. Adam pula ada van datang ambil dan hantar depan pintu rumah setiap hari.

Balik kerja sepatutnya pukul 5.30PM, aku minta dengan boss minta balik awal sikit. Boss yang baik hati bagi balik pukul 5.00PM, tapi aku yang terbabas sehingga pukul 5.15PM. Balik awal 15 minit pun jadilah. Balik awal ni untuk persiapan mental je, supaya tak kelam kabut dan ada apa-apa yang tertinggal.

Faten & Basir pula bertolak dari Ipoh. Diorang hantar anak-anak kat mak Faten di Ipoh. Tengahari tu diorang naik bas terus ke KLIA. Lepak la diorang kat sana sampai malam waktu berlepas.

Barang-barang semua dah ready pack, cuma nak semak dengan checklist buat kali terakhir. Ketip kuku dan lip balm antara yang penting yang tak banyak orang cakap kena bawak. Tak nak ada pengalaman tertinggal apa-apa yang penting. Aku bawa sedikit barang yang dipesan kawan aku yang akan aku tumpang semalaman di Cambridge, Zuhalmy. Zuhalmy & Mas ni kawan rapat juga masa di UKM, diorang baru juga dapat tinggal di sana, November 2015 kalau tak silap aku. Aku ada hantar ke KLIA masa diorang pergi, tapi tengoklah, aku dah tak ingat dah bulan berapa diorang pergi.

Barang diorang hanya lepas maghrib baru pack, sebabnya last minit masih ada benda yang baru pergi beli - aku pun tak ingat dah barang apa yang last minit tu. Banyak juga barang yang kami belikan - santan kotak, kerisik, rempah kari, nescafe 3 in 1 (katanya kat UK tak kick), rempah nasi arab, nasi daging, sup bunjut, cili kering, bihun faiza dll - barang-barang masakan melayu yang susah nak dapat kat sana. Total barang diorang sahaja satu kotak 20 kilo lebih. Kalau pos ni harga dia mau lepas tiket kapal terbang satu lagi.

Lepas solat isya', dalam pukul 10 malam kami bergerak ke KLIA. Bangi ke KLIA dalam 35 minit je. Adik ipar dan biras aku, ibu in law dan anak-anak hantar ke KLIA. Diorang lepak kejap je sampai pukul 11 macam tu kitorang dah suruh balik, sebab bawak budak-budak ni memang tak tenang sikit. Lagi pun kitorang dah nak beratur untuk check in.

Terima kasih pada semua yang menghantar dan tolong tengokkan anak-anak semasa percutian kami.


Aryan, tak pernah berpisah lama dengan mama & papa. Harapnya oklah dia nanti. Masa ni baru sangat genap dua tahun. .

Barang rempah ratus untuk Zuhalmy. 

Macam biasa tiap kali bergambar, muka Adam yang paling nakal. Mamanya dah start drama air mata time nak berpisah tu, anak-anak relaks aje.

Daripada pukul 11 malam ke pukul 2.10 pagi - masa flight berlepas, aku rasa macam sekejap sangat. Ingat boring menuggu, tapi sebenarnya dengan urusan check in luggage, imigresen, jalan kaki ke tempat boarding, masuk flight. Semuanya macam tak terasa. Tak sempat nak rasa boring menunggu. Mungkin sebab excited pun ya, satu lagi sebenarnya bila dah beratur dari satu urusan ke satu urusan, 3 jam tu macam tak terasa sangat. So bersedialah datang awal, jangan takut boring sebab kau tak akan boring. Kalau boring pun, itu jauh lebih baik daripada kelam-kabut atau tertinggal flight.

Flight tengah malam biasanya jarang delay. Tepat 2.10 malam kami berlepas. Tiket Etihad Airways ni kami beli masa Matta Fair 2015, tapi bukan beli di Matta Fair. Pergi Matta Fair untuk survey harga, balik rumah check online murah RM50 daripada beli dengan agen di matta Fair. Tiket untuk seorang RM2350, KUL-ABU DHABI-LONDON, PARIS-ABU DHABI-KUL. Masa 2015 ni, ini antara kategori yang dah boleh dikira murah. Ada juga yang dapat lebih murah dari ni, contohnya mereka yang naik Vietnam Airlines memang ada yang dapat bawah RM2,000. Tapi sebab kami tak prefer untuk naik Vietnam Airlines, apa yang kami dapat ni pun dah dikira murah dah, makan pun dah tentu-tentu halal tak payah was-was.

Baru masuk flight dari KUL-Abu Dhabi

Masuk flight tak lama pasang movie tapi kitorang dah tertidur. memang time patut tidur pun. Sampai Abu Dhabi betul-betul waktu sebelum subuh, pukul 5.30 pagi, waktu Malaysia dalam pukul 9 pagi. Cari surau sekejap dan terus solat subuh. Sebelum masuk surau, Wife aku dan Basir tak sabar-sabar cari free wifi. Wife nak beritahu kami dah selamat sampai, terus-terus skype dengan ibu tak sabar nak tahu macamana reaksi Aryan pertama kali tidur tanpa dia, tambahan lagi Aryan masih menyusu badan walaupun baru bercampur formula, syukur alhamdulillah memang Aryan sangat ok. Yang Basir pula nak tengok result Liverpool vs Dortmund malam tadi pukul 3AM waktu Malaysia. Liverpool menang 4-3 di Anfield lepas ketinggalan 0-2 dan 1-3, fuh.. power. Memang betul-betul Liverpool di pentas Eropah. Makin membara laa semangat Basir untuk sampai Anfield.

Masa tak banyak sebab transit cuma dua jam setengah sahaja. Sempat jalan sikit je area airport Abu Dhabi ni, tak berani nak pergi jauh dari gate sebab anytime je gate akan dibuka.

Lebih kurang sejam selepas berlepas, kami dihidangkan dengan makanan. 

Tiba di Abu Dhabi Airport - transit selama dua jam.

Antara souvenir yang dijual di Airport Abu Dhabi.

Tempat menunggu yang selesa dengan free-wifi dan USB port untuk charge gadget. Kalau transit lama sikit pun tak kisah.

Lepak dalam sejam je, kami dah pun masuk flight untuk ke London - masa ni dalam pukul 7. Flight ke London ni lebih besar. Ada tiga seat. Macam biasa, wife ambil port tepi tingkap, aku ditengah, sebelah aku tu orang US, Yoga Instructor yang dah lama menetap di Australia, pergi UK sb ada yoga conference ke apa. Ambil masa untuk menyembang sikit, layan movie sekejap lepas tu paksa diri untuk tidur sebab nanti sampai London banyak urusan nak kena buat dan nak drive ke Cambridge.

Patutlah masuk flight ni aku rasa lapar, first officer dia nama Lapo.. hahahaha

Masuk flight je kami dibekalkan dengan London Landing Card. 

Dah masuk Eropah Timur.

Almost there..

Here we are..

Sampai London lebih kurang pukul 1.30 tengahari. urusan imigresen berjalan lancar. Walaupun Basir & Faten ada sangkut sikit sebab officer tu banyak tanya pulak. Dia tanya lepas ni menuju ke mana dan bermalam di mana, Basir cakap bermalam di rumah kawan di Cambridge. Officer tu tanya lagi kawan buat apa, Basir cakap kerja - kedutaan. Memang main bedal je.. haha.. Nasib baik le officer tu tak cakap kat Cambridge mana ada kedutaan Malaysia. Hahaa.. Yang sangkut tu sebab bila tanya dah berapa lama kawan kerja sini, diorang takleh jawab - kaunter berasingan dengan aku & wife. Nasib baik lah lepas. Saja buat garang je tu. Ikut tips cakap biar confident.

Urusan claim luggage pun delay sikit. Semua beg berjaya dijejaki, tapi satu kotak untuk dibawa rumah Zuhalmy tak muncul-muncul. Lama juga kami tunggu, adalah dekat setengah jam. Lepas tu ternampak staff Etihad dekat situ, baru kami pergi tanya. Rupanya, kotak yang berbalut cantik diorang akan letak berasingan - risau kalau barang fragile kat dalam. Padahal kami takde pun letak sticker fragile. Tak jauh pun kotak tu rupanya, kaunter sebelah je di satu tempat khas ia dikumpulkan bersama kotak-kotak lain.

Zuhalmy ni kerja Felda, kebetulan Felda ada beli sebuah company di Cambridge - Cambridge Nanosystem Ltd (sekarang dikenali FGV Cambridge Nanosystems Ltd). Tujuan Felda beli company ni sebab mereka nampak potensi research yang sedang dijalankan - menghasilkan graphene dari minyak sawit. Graphene ni sejenis logam baru. Panjang pulak kalau aku nak cerita bab graphene ni. Point aku sebenarnya, untunglah Zuhalmy & Mas dapat duduk Cambridge. Kita yang pergi beberapa hari ni pun seronok, dia yang tinggal sana lagilah seronok.

Lepas claim luggage kami ke surau - multi-faith prayer prayer room secara tepatnya. Senang je, keluar dari tempat arrival terus naik excalator di sebelah kiri. Lif pun ada bagi mereka yang barang penuh dalam troli - kamilah tu. Keluar lif akan nampak Yotel (Hotel Airport - konsep hanya ruang untuk tidur sahaja), sebelah Yotel ada lorong kecil. Masuk lorong tu terus nampak signboard. Boleh download peta pdf dari heathrow website. Tak perlu nak google pun, sebab aku dah bagi link ni haa. Rujuk page 4 - Map untuk Ground & Mezzanine Floor.

Multi-faith prayer room, senang je nak cari. Sila rujuk website Heathrow untuk kedudukan prayer room di terminal lain. Malah di Terminal 4 ni pun ada lagi satu di bahagian departure.

Tanpa disangka, kami terserempak dengan Zuhalmy di surau ni. Sepatutnya dia tunggu di luar sahaja, tapi since dah masuk waktu, dia dan Mas parkinglah kereta sekejap. Zuhalmy baru lepas solat time ni, so dia tunggu kami selesai solat. Suraunya selesa - mostly digunakan oleh orang Muslim sebab penganut agama lain takde waktu solat fix macam kita. Tempat wuduk, sejadah, arah kiblat semua tersedia dalam keadaan yang bersih dan tersusun rapi. Alhamdulillah. Dalam perjalanan flight 15 jam kami termasuk transit, kami tidak perlu solat dalam kapal terbang.

Keluar dari surau tu, borak-borak sambil turun ke ground floor. Ada kedai kopi Costa kat bawah tu, Zuhalmy belanja kami semua minum kopi panas. Sedap betul kopi dia. Rupanya Costa ni memang popular di UK. Kat mana-mana stesen minyak atau pekan mesti jumpa kedai kopi Costa ni. Ada juga jenis vending machine self-service yang buat kopi tu. Macam kat Heathrow ni barista laa yang buatkan. Memang sedap - tambah cuaca memang tengah sejuk. Masa kami mendarat ni cuaca hujan pulak. Memang tambah sejuk dibuatnya.

Masa ni kami berpecah, aku & wife ikut Zuhalmy & Mas naik kereta diorang pergi ambil kereta sewa. Basir & Faten tunggu di Airport. Pertama kali keluar dari Airport dan menghirup udara London, muka dah tersengih-sengih. Agaknya orang London tengok kami pun dia nak cakap, 'ko dah kenapa?'. Satu perasaan puas yang tak reti nak cerita. Seronok yang tak pasal-pasal. Sebab memang dah lama teringin nak sampai. Bila sampai tu mestilaa tersengih-sengih.

Walaupun keadaan di luar tu membuatkan kami sedikit resah - cuaca yang mendung dan hujan rintik-rintik. Risau kalau-kalau percutian ni jadi kurang seronok sebab faktor cuaca. Memang faktor cuaca ni sangat penting, tapi ia adalah di luar kawalan kita. Tidak ada apa yang perlu dikesalkan kerana itu memang rezeki kita sama ada dapat cuaca cantik atau sebaliknya ketika bercuti.

Kereta Sewa

Kereta sewa kami ambil dari syarikat yang kurang terkenal - Green Motion. Memang setakat aku baca blog traveller Malaysia, tak jumpa lagi orang ambil kereta dari company ni. Sejarahnya, aku dah survey dan cari macam-macam jenis syarikat, boleh kata semua yang popular aku dah cuba. Sebut saja Avis, Europecar, Hertz, AutoEurope, Enterprise, Expedia - semua ni aku dah semak. Dan akhirnya aku jumpa website ni: economycarrentals.com. Honestly, aku pun takut melihatkan harga yang tertera dalam website ni - murah yang sangat-sangat. Lebih separuh compare to others. Sampai kami risau kalau ada apa-apa terms and conditions yang tersembunyi.

Tetapi setelah baca review dalam tripadvisor dan beberapa forum yang lain, dan baca juga terma & syarat keseluruhannya (dengan detail ni), kami putuskan untuk ambil. Bukan tiada komen yang buruk, tapi sebenarnya syarikat ternama seperti Europecar dan Avis juga ada banyak komen tentang pengalaman buruk pelanggan dalam forum. Economycarrental.com ni sebenarnya ejen sahaja, dia kumpulkan maklumat dari semua provider dan iklankan dalam satu bumbung - benda yang sama dilakukan oleh expedia.com, autoeurope.com dan lain-lain. Samalah contohnya booking.com atau agoda.com, mereka tiada hotel sendiri, tetapi mereka sediakan kemudahan tempahan hotel melalui website mereka dan mereka mendapat komisen melaluinya.

Untuk sewa kereta dua hari, kami cuma kena caj £40. Sebenarnya sewa kereta ni kalau lagi lama lagi murah. Contohnya kalau kami nak tambah bilangan hari sewa, sehari cuma £7.80 sahaja.

Sebenarnya jarak dari Heathrow ke Green Motion taklah jauh - dalam 7 kilometer sahaja. Cuma keadaan cuaca dan jalan yang jammed menjadikan perjalanannya dalam 25 minit.

Kami sampai London dalam keadaan cuaca sebegini. Mahu tak resah. Dalam hati berdoa jelah agar esok dan seterusnya hari cerah. 

Urusan mengambil kereta sewa berjalan lancar. Kami diberikan pilihan untuk membeli insurance tambahan - zero excess (no deductible). Maksudnya kalau berlaku apa-apa seperti kemalangan atau kecurian kepada kereta dalam tampoh sewa, kami tidak akan dikenakan apa-apa caj. Apa yang dicover dalam harga £40 adalah insurance basic yang mempunyai excess. Contohnya excess insurance yang diambil adalah £950, bermakna sebarang kemalangan atau kerugian di bawah kos £950 tidak akan ditanggung oleh insurance. Jadi untuk peace of mind, adalah lebih baik kita beli insurance yang zero excess.

Untuk faham apa itu Excess Insurance dan Zero Excess, boleh baca artikel yang disediakan oleh AutoEurope di sini.

Kami sebenarnya decide tak beli Zero Excess ni dekat UK sebab sewa kereta cuma dua hari sahaja. Lagi pun baca blog Khairul Abdullah, sepanjang dia sewa kereta kat Europe, dia tak pernah purchase extra insurance.

Kami tempah Ford Focus, tapi kami dapat Peugeot 308 - sesuatu yang normal bila sewa kereta di sini. Diesel. Dekat Europe tak pelik kereta kecil pakai Diesel, even Volkswagen Polo pun ada yang pakai diesel. Staff Green Motion sangat friendly. Samada di kaunter mahupun yang pass kan kereta di depan Hotel (Green Motion ni dia menumpang di Holiday Inn Heathrow). Yang passkan kereta tu siap explain ada bahagian calar yang tak nampak di beberapa tempat - tak nampak sebab kereta tengah basah. Dia pun tandakan bahagian yang tercalar tu dalam kertas handover supaya bila kami return kereta kami tidak akan dipertanggungjawabkan di atas kesan calar tersebut.

Aku mula memandu dalam keadaan menggigil - sebab cuaca sejuk kat luar tadi. Yang sebenarnya, memang gabra pun. First time ni nak bawak kereta kat London. Kereta sewa pulak tu, kalau kau terkemek kan kereta ni automatik nanti kredit kad kau kena caj ratus-ratus pound.

Gabra sampai aku lupa pin kod dekat palang nak keluar parking, padahal baru sangat diterangkan oleh orang yang passkan kereta tadi. Kena bukak file yang Green Motion bagi, kereta belakang dah lama tunggu. Dah berjaya aku terus keluar dengan lupa itu adalah simpang jalan besar. Dah sedar ternampak ada kereta dah dekat kiri dan kanan, aku terberhenti kat tengah jalan. Nasib baik dua-dua kereta tu brek dan beri jalan. Gila rasa macam lesen L betullah. Wife terus dah hilang keyakinan 50% dengan skill pemanduan aku, risau betul dia macam mana nak drive berapa hari lagi ni dekat Europe.

Alhamdulillah, kejadian itu cuma yang pertama dan terakhir. Selepas tu dah ok dan dah boleh biasakan diri. Sebenarnya berhati-hati tu bagus, tapi jangan takut sampai gabra. Ada ruang perbezaan antara berhati-hati dan takut.

Kami terus ke Heathrow semula untuk ambil Faten dan Basir. Sebenarnya ada option untuk diorang naik shuttle bus - Green Motion memang beritahu boleh claim harga tiket bas untuk dua orang (£5 seorang). Tapi memandangkan barang banyak, kami suruh je diorang tunggu di airport. Ingatkan sekejap je, tapi sebab jammed, dekat 25 minit juga nak sampai ke Heathrow semula. Masa ni Zuhalmy & Mas terus pulang ke rumahnya nak bersiap-siap menyambut kami secara officia;. Haha.

Dari Heathrow kami mula bergerak ke Cambridge, masa ni dah pun pukul 5 petang. Ingatkan kalau awal boleh laa jalan-jalan tengok University Of Cambridge terutamanya Kings College. Wife aku ada rasa ralat sikit sebab ikut plan asal kami sepatutnye terus pergi punting di Cambridge. Yelah, tak semuanya yang dirancang akan dapat terlaksana, itupun kami terlebih bersyukur atas semua kelancaran perjalanan yang Allah bagi sepanjang kami di sana

 Semua pemanduan diguide menggunakan Apps Here WeGo. Boleh download map dan guna GPS offline.

Halfway kami berhenti untuk mencari toilet. Sejuk-sejuk ni memang nak terkencing jelaa. Jalan ke Cambridge ni sekejap je jalan highway, selepas tu banyak lalu jalan kampung. Nak jumpa RnR tu susahlah sikit. Kami berhenti di stesen minyak BHP. Toilet untuk staff sahaja - nasib baik mereka izinkan untuk guna.

Inilah Peugeot 308, sedap kereta ni.


Walaupun cuaca mendung, sesekali gerimis dan gelap, masih boleh nampak how beautiful this country is. Pemandangan memang cantik, tapi dalam kereta memang tak de mood nak ambil gambar lagi. Sebab cuaca macam ni dan aku pun tengah drive. Diorang ada ambil gambar pakai handphone, tp dengan cuaca macam ni dan dalam keadaan kereta bergerak, yang pasti tak lekang dibibir kami memuji keindahan alam sepanjang perjalanan tu. Halaju kereta di sana 70mph aje, tapi semua kereta sangat berdisiplin, memang takde la nak memotong kat laluan kecemasan dan takde yang suka-suka tukar lorong.

Cambridge

Kami tiba di Cambridge lebih kurang jam 8 malam (3 pagi waktu Malaysia). Sempat la kami tengok night life student Cambridge. Timbul rasa menyesal jugaklah tak belajar sampai oversea dulu, namun ini juga satu nikmat buat kami merasa sampai kesini. Sepatutnya rancangan awal kami parking di beberapa point koordinat yang dah aku setkan awal-awal ketika di Malaysia, yang berdekatan dengan punting operator yang sepatutnya kami naiki. Kami cuma sempat berjalan disekitar Kings College, pemandangan waktu malam walaupun cuaca dingin ditambah baru lepas hujan (menurut Zuhalmy, Cambridge lebih kerap menerima taburan hujan dari London) kami tak melepaskan peluang bergambar sebagai bukti dah menjadi student sampai ke sini.

Wife aku yang mula-mula sedih tak dapat punting terus happy bila dah sampai sini.

Kasi chance laa diorang perasan merasai student life sekejap kat sini.

Nyaris Disaman Peguatkuasa Cambridge City Council.

Kami lepak dalam 15 minit je di sekitar Kings College tu – semata-mata nak bergambar. Ruang parking sangat terhad di sini. Paling mudah parking di Shopping Centre berdekatan – Grand Arcade. Memandangkan kami pun nak berhenti sekejap sahaja, kami parking je depan-depan Kings College tu, di tempat letak kereta untuk loading & unloading. Petak lain yang kosong semuanya untuk disabled. Dengan harapan kami tak nak pergi jauh, kiranya kereta tetap dalam pandangan mata kami. Tengah seronok memerhatikan suasana Cambridge University pada waktu malam – yang sangat tenang – tiba-tiba ada satu kereta datang dan parking betul-betul depan kereta kami. Tak perasan pun tu kereta siapa pada mulanya, cuma kami perasan drivernya tak keluar pun.

Kemudian, barulah aku perasan, rupanya kereta tu adalah penguatkuasa Cambridge City Council. Aduh. Hati dah tak sedap. Kalau kat Malaysia tak kisah pun, penguatkuasa Malaysia mana saman orang parking di luar waktu pejabat, tambahan pula bagi kesalahan yang tak memudaratkan pengguna lain. Tapi kita sekarang kat UK, walaupun kau rasa logic untuk kau langgar satu-satu peraturan tu, law enforcement tetap berjalan.

Aku nampak driver tu perhati je kami dari dalam kereta, sambal menekan sesuatu di skrin – melekat di cermin hadapan kereta dia. Tak pasti adakah tu handphone dia atau pun alat untuk rekod saman?? Kami pun cepat-cepatlah masuk semula dalam kereta dan buat tak tahu. Risau juga kalau-kalau sistem saman kat sini sebenarnya tak memerlukan penguatkuasa untuk keluar dari kereta. Boleh tangkap gambar jeke. Mahu tak risau, kalau kereta sewa kena saman, Green Motion akan caj saman tu ke atas kad kredit penyewa + another £70 sebagai administration cost.

Melihatkan keadaan pada masa tu, rasanya tak kena saman, tapi tetap juga risau kalau-kalau sebenarnya dia dah key in. Berdoa sajalah masa tu agar tak kena.

Kereta kami yang belakang tu. Kereta sports ni ada pelekat OKU so dia boleh parking sini legally.

Update: Selepas beberapa bulan – aku dapati tiada sebarang caj tambahan ke atas kad kredit aku dari syarikat sewa kereta sama ada di UK atau pun Paris, Alhamdulillah.

Dalam 8.30 malam, kami bergerak ke rumah Zuhalmy. Lebih kurang 20 minit je dari Cambridge – sebuah kawasan yang sangat tenang. Kat sini boleh kata semua kawasan tenang lah. Perumahan di sini, walaupun rumahnya tak besar mana, tapi kawasan sekitar – seperti taman riadah, track jogging dan berbasikal – adalah sangat luas. Bilangan rumah berbanding dengan keluasan tanah tidak terlalu padat. Kalau di Malaysia, satu lorong rumah teres yang panjangnya hanya 150 meter, dah boleh muat 50 buah rumah. Selang 10 lorong baru nampak taman dan padang. Itu pun, tunggu masa je padang tu nak kena rampas untuk buat kondo pula ;p. Nak buat macamana, sistem kita dah memang macam ni. Syukurlah negara kita masih aman berbanding negara yang kurang aman.

Gambar perumahan Zuhalmy ni akan aku update pada entri selepas ni. Dah sampai malam, mana nak ambil gambar outdoor lagi.

Sampai di rumah Zuhalmy, makanan dah tersedia. Penat + lapar. 24 jam yang lepas kami berada di kedudukan 6500 batu dari London. Special sungguh sambutan yang diberikan. Nasi putih dari beras basmathi + kari kambing + stew kambing + ayam goreng tepung + ulam salad segar lebih rangup daripada mister potato + teh lemon.

Zuhalmy cakap barang mentah di sini sangat murah, makan kambing hari-hari tu biasa je, bukan kaya pun. Sama juga beras. Beras murah kat sana pun basmathi je. £1 je sekilo harga beras ni. (Aku dapat tahu dari Irwan Dahnil di Glasgow lagi murah, £0.50 je sekilo). Kalau belanja £50 untuk barang dapur, seminggu pun belum tentu dapat habis. Memang murah.

Selepas makan dan borak-borak seketika, sambil Zuhalmy bukak TV Astro Ria – dok Cambridge pun still layan TV Malaysia - kami pun diberi tilam dan ruang tidur yang selesa. Lepas mandi masing-masing dah ke dunia lain. Aku rasa Basir dah sampai Anfield dah malam tu.

Time ni dah kelaparan tengok pulak juadah yang ada ayam goreng ala KFC, lamb stew, kari kambing beruntung kami dapat makan dan penginapan free di rumah Zuhalmy..

Catatan hari seterusnya bersambung di sini...

CONVERSATION

3 comments:

  1. Salam. Bro nak tanya. utk zero access coverage economycarrental tu, ikut website kena bayar dkt front desk. Boleh saya tau brape rate die? depends on how long we rent the car & type of car kan? cuma igt nk prepare duit & compare dgn other website utk full coverage.

    lagi satu, deposit yg diorg charge masa booking brape ye?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam Fizah. Untuk zero access coverage ni ada beberapa jenis/supplier yang kita boleh beli:

      1. Dari syarikat sewa kereta itu sendiri, macam Europecar, Hertz, Sixt dan lain-lain. Yang ni tak booking awal pun takpe, cakap je kat diorang nak beli zero access coverage insurance masa ambil kereta tu. Biasanya kalau tak minta pun, diorang akan offer suruh beli. Biasanya yang ni agak mahal. Tapi, kelebihan dia yang inilah yang paling peace of mind, sebab kalau jadi apa-apa kat kereta awak tak perlu bayar apa-apa masa pulangkan kereta. Syarikat kereta sewa yang akan claim sendiri dari syarikat insurance.

      2.Dari syarikat ejen sewaan kereta seperti economycarrental, holidayautos dan auto-europe. Diorang ni macam booking.com atau agoda dalam kes hotel (takde hotel, t pada website untuk booking bilik hotel). Syarikat ejen ni sangat bergantung pada perjanjian dengan syarikat sewa kereta yang diorang wakilkan, kadang-kadang ada syarikat tak benarkan syarikat ejen ni jual insurance sebab nak customer beli direct dari syarikat sewa kereta tu. Ada juga yang benarkan ejen ni jualkan insurance, tapi jual insurance daripada diorang sahaja. Ini yang kena bayar kat counter. Dalam kes ni, awak sebenarnya beli insurance yg kategori 1 di atas. Satu lagi adalah insurance yang dijual oleh ejen ni takde kena mengena dengan syarikat sewa kereta tadi. Biasanya yang ni murah sedikit dari rate yang kita dapat dari syarikat penyewa kereta. Tapi kalau berlaku apa-apa, kita perlu bayar sendiri terlebih dahulu dan perlu kemukakan claim sendiri pada syarikat yang kita beli. Insurance ini kena bayar masa booking kereta online. Inilah yang saya guna masa sewa kereta di Paris 2016, bayar terus kat economycarrental.
      3. Dari syarikat insurance directly, yang takde kena mengena dengan syarikat sewa kereta mahupun ejen penyewa kereta. Contohnya seperti icarhireinsurance.com. Yang ini adalah paling murah, sekitar £4.25/day. Boleh beli online sebelum hari sewaan kereta. Sama juga, kalau jadi apa-apa kat kereta, kita perlu bayar dahulu pada syarikat penyewa kereta dan claim kemudian daripada syarikat insurance.


      Apabila membeli zero excess coverage, perludiingatkan kadang-kadang ada syarikat kereta yang tak cover untuk cermin dan tayar, so kena clarify betul-betul supaya tak tersilap beli.

      Delete
    2. Oh, bila baca balik komen bro baru rasa macam tak menjawab soalan. Dalam kes economy carrental suruh beli zero insurance coverage kat kaunter, tu maknanya syarikat kereta sewa tu suruh beli dengan dia. Nak tahu rate dia, bro cuba pergi website company kereta sewa tu direct, contohnya kalau kereta tu dari europecar, pergi direct ke website europecar, masukkan tarikh dan bilangan hari, then tengok insurance option dia berapa. Biasanya ada kat situ, melainkan memang company yang ngelat seperti Easirent selalunya dia tak nak bagitahu awal-awal sebab dia nak pancing customer beli masa ambil kereta.

      Deposit masa booking bergantung kepada syarikat sewa kereta tu, contohnya dengan Green Motion London saya kena £750, dengan Europecar Paris €950, manakala dengan Easirent London £1500.

      Delete

Back
to top