PARIS & LONDON 2017 : BUDGET & ITINERARY 11H/10M - RM3200 PER PERSON


Pertamanya aku nak minta maaf sebab entri ini dah pun tertangguh lebih daripada setahun. Tapi sebab aku memang berniat nak kongsikan, dan aku rasa ia tetap memberikan manfaat kepada orang lain maka aku tetap tuliskan juga. It’s better late than never.

ITINERARY

Itinerary kali ini aku rangka untuk disesuaikan dengan ahli rombongan seramai sembilan orang, lima dewasa tiga kanak-kanak dan satu baby. Ia satu pengalaman merangka itinerary yang sangat berbeza berbanding pengalaman tour europe 2016, yang mana aku memimpin kumpulan empat orang dewasa. Antara yang aku perlu ambil perhatian adalah kekuatan dan mood kanak-kanak yang sangat berbeza dengan orang dewasa.

Antara langkah-langkah yang aku ambil adalah:
  1. Pilih beberapa tempat lawatan yang menarik minat kanak-kanak. Antaranya sudah pastilah Disneyland Paris. Kami juga melawat animal farm di Cotswolds yang juga sangat mesra kanak-kanak. Selain itu, kami juga melawat Natural History Museum & perkenalkan Lego World di Leicester Square. 
  2. Bilangan dan jarak tempat lawatan dalam sehari perlu diminimumkan supaya anak-anak tidak bosan. 
  3. Standby coklat dan mainan yang mudah dibawa ke mana-mana untuk mententeramkan mood mereka apabila perlu. Kami sediakan beberapa surprised egg kinder-joy yang dibawa dari Malaysia. Simpan jangan bagi budak-budak nampak, keluarkan satu-satu je apabila perlu. 
  4. Buat itinerary yang agak flexible – bersedia untuk batalkan seseuatu tempat lawatan jika anak-anak dah meragam atau tak larat untuk terus berjalan. 
  5. Bawalah stroller, walaupun anak kau dah lapan tahun. Tiba masanya dia akan penat dan malas nak jalan. Lagi compact lagi bagus. Kami bawa yang boleh lipat dan jadikan macam bag sandang, kadang-kadang bukan stroller saja yang masuk dalam bag tu. 
Dari segi bilangan negara, sudah pastilah kami tak boleh nak tour europe enam negara dengan budak-budak seperti trip tahun sebelumya. Mula-mula kami ada bercadang juga untuk masukkan Amsterdam. Tapi bila difikirkan balik, rasa nak spend lebih masa kat UK, sebab tak puas drive di jalan-jalan kampung kat UK. Lagi pun, untuk ke Amsterdam masa anak kecil macam ni macam susah pula nak berbasikal, jadi lupakanlah dulu Amsterdam buat kali ini. Maka jadilah trip ni lima hari di Paris dan enam hari di UK.

Pada hari pertama, kami menaiki flight Qatar Airways dari Kuala Lumpur pada jam 8.50 malam, transit di Doha selama dua jam sebelum meneruskan perjalanan ke Paris. Tiba di Paris pada jam 7.15 pagi keesokan harinya. Hari pertama kami cuma bersiar-siar santai di sekitar taman Eiffel Tower. Hari kedua pula kami melawat istana Palace of Versailles yang penuh bersejarah dan mempunyai rekaan dalaman yang sungguh klasik sebelum menaiki bas ke London di sebelah malam.

Bersiar-siar di sekitar Eiffel Tower pada hari pertama di Paris.

Palace of Versailles, Paris.

Pada hari ketiga, kami sempat melawat terminal 9¾ di King Cross station sebelum mengambil kereta sewa dan bertolak ke Durdle Door. Pada malamnya kami bermalam di Bromham, satu kawasan kampung di Cotswolds. Pada hari ke-empat, kami membawa anak-anak berseronok di Cotswolds Wildlife Park dan selepas itu melawat sebuah kampung lama di Bibury. Hari ke-lima pula kami cuma memandu pulang ke London untuk menghantar kereta sewa sebelum bersiar-siar di Marble Arch dan membeli-belah di Primark. 

Durdle Door, Jurrasic Coast, Lulworth

Arlington Row, Bibury.

Itinerary hari ke-enam diisi dengan melawat tarikan-tarikan utama di London seperti Tower Bridge, Big-Ben, London Eye dan menaiki Thames River Cruise dari Greenwhich ke terminal Westminster. Hari ke-tujuh pula kami melawat Emirates Stadium, Harrods dan Natural History Museum. Niat untuk berpicnic di Hyde Park terpaksa ditangguhkan kerana hujan lebat. Hai ke-lapan, kami melawat Buckingham Palace, berpicnic di Hyde Park, sebelum singgah di Lego World dan menaiki bas untuk ke Paris semula.

Di sebelah Thames River, berlatarbelakangkan Tower Bridge.

Menaiki Thames River Cruise dari Greenwhich ke Westminster.

Emirates Stadium.

Hari ke-sembilan pula kami menghabiskan masa seharian untuk berseronok di Disneyland Paris. Pada hari seterusnya, kami bersiar-siar di sekitar Paris, termasuklah menaiki Eiffel Tower dan melawat Galeries La Fayette serta Musee du Louvre di sebelah petang. 

Disneyland Paris.

Hari ke-sebelas, yang merupakan hari terakhir kami di Paris, diisi dengan aktiviti bersantai di Sacre Coure dan bergambar di sekitar Bir Hakim Bridge sebelum bertolak ke airport.

Secara ringkasnya, itinerary kami selama sebelas hari itu adalah seperti di bawah:

Hari 1 : KL - Paris
Hari 2 : Versailles, Paris - Menaiki bas malam ke London
Hari 3 : London - Durdle Door - Bromham
Hari 4 : Cotswold Wildlife Park - Bibury
Hari 5 : Bromham - London
Hari 6 : London Tour (Tower Bridge, Thames River Cruise, Big Ben, London Eye)
Hari 7 : London Tour (Emirates Stadium, Harrods, Natural History Museum, Hyde Park)
Hari 8 : London Tour (Buckingham Palace, Hyde Park, Lego World) - Menaiki bas malam ke Paris
Hari 9 : Disneyland Paris
Hari 10 : Paris Tour (Eiffel Tour, Galleris La Fayatte, Musee du Louvre)
Hari 11 : Paris (Sacre Coure) - KL



Video rangkuman trip Paris & London 2017.


Berapa kami habis untuk trip ni? Itulah soalan yang paling banyak aku terima. Jawapannya adalah tak sampai RM3200 seorang, termasuk tiket kapal terbang, penginapan, makan, kos sewa kereta, kos pengangkutan dalam bandar (metro & tube), tiket bas antara Paris-London pergi balik, tiket masuk Disneyland, airport transfer dan insurans perjalanan kami sekeluarga - pendek kata semua sekalilah.

Macamana kami boleh pergi Paris-London 11 hari dengan kos tak sampai RM3200 seorang dengan kesemua aktiviti ini? Meh nak cerita.

BUDGET

Bajet trip ni aku rangka berdasarkan kesesuaian dan kesanggupan kesemua ahli rombongan. Keputusan mengenai jenis penginapan dan pengangkutan semuanya telah dibuat dengan mengambil kira pandangan semua.

Tiket Flight

Tiket penerbangan adalah penyumbang terbesar untuk bajet percutian kami. Namun, seperti yang pernah aku ceritakan sebelum ni, trip ini terjadi pun sebab kami terjumpa tiket yang sangat murah. Asalnya nak mengintai tiket ke Melbourne untuk satu family, terjumpa tiket ke Paris harga macam pergi Melbourne, maka ke Europelah kami.

Tiket ke Europe, sama ada Paris, Amsterdam, London, Milan atau mana-manalah negara West Europe, kalau harga sekitar RM3,000 tu kira harga standardlah. Bawah RM2,500 boleh dikira murah. Bawah RM2,000 ko memang lucky. Tapi, kalau bawah RM1,500, pejam mata dan terus beli. Tak payah pikir banyak walaupun kau baru balik Europe beberapa bulan yang lepas.

Itulah yang terjadi pada kami, bulan Mei 2016 balik Europe, terjumpa promo Qatar Airways RM1270 ke Paris pada bulan September. Terus sambar sampai sembilan orang jadinya.

Dear Qatar Airways, please repeat this promotion price.

Penginapan

Kami menggunakan perkhidmatan AirBnB untuk kesemua penginapan kami, kecuali di Paris. Sebenarnya, aku kenal host BnB Paris ni melalui AirBnB juga, semasa lawatan Europe tahun 2016. Untuk kali ini, aku contact dia direct, tanpa melalui BnB, alhamdulillah beliau sangat seronok untuk memberikan harga diskaun yang hampir pasti tak dijumpai kat mana-mana tempat lain, €230 untuk tiga malam. Bagi sebuah apartment di tengah-tengah bandar Paris, bersebelahan stesen Metro dan paling best, hanya 10 minit jalan kaki ke Eiffel Tower. Pada harga sebegini bagi aku sangat-sangat berbaloi. Tambahan pula, dengan melakukan transaksi di luar website AirBnB, kita tidak perlu membayar service fee sekitar 10-12% kepada AirBnB.

Di London, kami menggunakan perkhidmatan AirBnB untuk kami sekeluarga dengan kos €335 untuk tiga malam. Penginapan ni agak jauh sedikit, konon nak dekat dengan Camden sebab nak pergi Camden Market dan nak dekat dengan BnB family adik ipar aku. Kami cuba juga cari host BnB yang boleh accept 9 orang kat London ni, sangat susah nak jumpa dan setakat yang kami jumpa pun harga agak mahal. Jadi kami decide untuk split rumah kat sini macam dekat Paris.

Untuk penginapan di Bromham, UK, kami mendapat persetujuan dengan host untuk tinggal satu rumah. Walaupun dalam iklan rumahnya boleh memuatkan 7 orang sahaja. Tapi sebab kami ada 4 orang kanak-kanak dan rumahnya memang besar, jadi beliau terima saja kehadiran kami. Kosnya adalh €242 untuk dua malam, kami bersetuju untuk membayar 65% dari kos ini dan selebihnya portion family adik ipar aku.

BnB di Bromham yang cukup besar untuk memuatkan kami 9 orang. Di tengah bandar Paris dan London, kami split supaya lebih jimat.

Pengangkutan Antara Bandar

Untuk pengangkutan antara London dan Paris, kedua-dua hala kami menggunakan bas. Selain tiketnya murah ia juga boleh mengurangkan kos penginapan untuk dua malam. Cuma, kami agak tersilap dalam menyusun hari transit. Bas kami dari Paris ke London adalah pada hari Jumaat malam Sabtu, di mana Isnin selepasnya adalah hari cuti umum di sana (1 May - Cuti hari buruh di Paris dan cuti Bank Holiday di UK). Dengan cuti hujung minggu yang panjang, automatik harga tiket bas naik mencanak. Harga tiket bas di sana berubah-ubah mengikut masa, macam tiket kapal terbang AirAsia atau pun harga tempahan bilik hotel. Tak fix macam tiket KL-Kota Bharu kat tempat kita. Itinerary pula dah tak boleh nak diubah sebab semua penginapan dah pun ditempah.

Lama juga aku mencari, akhirnya aku jumpa juga pada harga €32 dari Alsa Bus, sebuah syarikat Spain. Kalau dari company lain dalam €45 ke atas. Boleh baca lanjut di sini.

Untuk pengangkutan melawat countryside UK pula, kami menyewa kereta selama dua hari. Sekali lagi harga sewa kereta telah naik berganda kerana cuti hujung minggu yang panjang. Harga sewa kereta dan tiket bas biasanya perlu dibook sebelum dua hingga satu bulan sebelum tarikh untuk mendapatkan harga yang paling baik. Manakala AirBnB aku kena book lebih awal, sebab kami dua family jadi susah sikit nak cari BnB yang boleh muat kami semua dalam satu rumah, atau pun dua rumah yang tidak terlalu jauh.

Kereta kali ni kami sewa daripada syarikat Easirent. £85 untuk dua hari, tambah £15 untuk tiga biji child seat. Inilah harga paling murah yang aku berjaya jumpa untuk tarikh ni, sangat berbeza dengan tahun 2016, untuk tempoh sewaan yang sama iatu dua hari, kami cuma dapat harga £38 sahaja. Dahla sewa dari Easirent ni memang gamble habis. Sebabnya review di tripadvisor menunjukkan syarikat ni akan lakukan apa sahaja untuk mengenakan extra charges kepada customer. Kami ambil je tapi pada masa yang sama kami beli Excess Insurance Coverage berharga £8.97 dari iCarhireinsurance.com untuk membolehkan kami claim kalu ada apa-apa kerosakan yang perlu dicover.

Memang kami kena juga bayar extra kepada Easirent, sebab katanya kami lambat hantar setengah jam dari waktu yang sepatutnya. Mereka juga cuba claim yang kami dah rosakkan cermin hadapan kereta tersebut. Panjang ceritanya kalau nak tulis kat sini, boleh buat satu entri khas untuk Easirent ni. Pendek cerita, selepas berbincang kami cuma perlu bayar harga pulang lewat sahaja sebanyak £15. 

Kos petrol pula adalah £42 sahaja, manakala kos parking cuma sekali sahaja di Durdle Door, £4. 

Kereta Ford Focus yang disewa dari Easirent.

Pengangkutan Dalam Bandar

Untuk di London, kami beli Oyster Card pada harga £25, dalam ni ada £5 deposit yang boleh diclaim selepas Oyster Card dipulangkan, tetapi tidak boleh kurang daripada 48 jam daripada tempoh penggunaan kali pertama. Maknanya kalau korang pergi London kurang dari dua hari lebih baik beli daily pass saja. Kami ada top up £10, tapi masa pulangkan Oyster Card kami dapat balik dalam £8 termasuk deposit yang £5 tu. Jadi kos tube di London kami adalah £27 untuk seorang dewasa. Kanak-kanak boleh travel free.

Untuk di Paris, kami beli satu set carnet yang mengandungi 10 tiket metro. Carnet untuk dewasa berharga €14.90 manakala kanak-kanak berumur 4-10 tahun menggunakan carnet berharga €7.45. Kalau beli tiket single per ride, harga satu tiket adalah €1.90 dan kanak-kanak juga menggunakan tiket yang sama. Jadi memang untunglah beli tiket carnet ni. Boleh beli di kaunter mahupun di mesin tiket metro. 

Oyster Card untuk kegunaan pengangkutan dalam bandar di London.

Selain metro, kami juga gunakan Paris RER Train untuk perjalanan yang lebih jauh, iaitu ketika pergi ke Palace of Versailles (€7.30/Dewasa, €3.60/kanak-kanak, return) , Disneyland (€14.90/Dewasa, €7.50/kanak-kanak, return) dan juga airport transfer pergi dan balik (€10/dewasa, €7/kanak-kanak - sehala).

Kos Tiket Attraction

Tiket Disneyland kami beli dari third party, bukan beli direct dari website Disneyland Paris, sebab lebih murah. Kami beli dari AttractionTix.co.uk, dapat £43 untuk dewasa dan £39 untuk kanak-kanak. Kalau dari website rasmi beza sampai £18, bergantung kepada waktu promosi.

Tiket Palace of Versailles kami beli dari website rasmi, sebab tak jumpa mana-mana website third party yang menjual pada harga yang lebih murah. Kalau nak pergi sini, wajiblah beli tiket online awal-awal kalau tak nak rugi masa beratur beli tiket.

Tiket Cotswolds Wildlife Park pula berharga £14/dewasa dan £9.50/kanak-kanak.

Satu lagi tiket attraction yang kami beli adalah untuk ke-second floor Eiffel Tower yang berharga €11 untuk dewasa dan €4 untuk kanak-kanak. TIket ini juga kami beli online untuk mengelakkan barisan beratur yang panjang. Cuma kelemahannya bila beli online, masanya sudah fix jadi kalau kebetulan dapat cuaca yang teruk pun tak boleh tukar. Kalau beli manual di kaunter, bolehlaa tengok cuaca dulu sebelum decide nak beli tiket.

Lain-lain Perbelanjaan

Kami membeli travel insurance untuk pakej satu keluarga yang berharga RM210. Kos makan pula, kami tak keluarkan yang banyak, sebab kami memang masak di apartment dan makan berat pada waktu pagi dan malam. Tenghahari je kadang-kadang makan kebab atau sandwich. Ada juga hari yang wife buat sandwich kat rumah dan bawa keluar sebagai bekal makan tengahhari. Jadi jumlah keseluruhan yang kami habiskan untuk makan kat luar tak sampai RM1000. Jumlah ini tak termasuk swipe kad kredit untuk makan di Burger & Lobster, dan lain-lain swipe untuk shopping. Aku tak masukkan sebab benda ni bergantung pada pilihan masing-masing. Kira bukan kos wajiblah. Selain itu aku ada beli simkad €10, sekadar back up bila nak hubungi tuan rumah atau family adik ipar aku bila kami berpecah.

Aku bentangkan kos-kos ni dalam jadual di bawah:

Ringkasan catatan perbelanjaan kami.

Kalau ada nak tanya apa-apa bolehlah tinggalkan mesej di ruangan komen di bawah. Walaupun mungkin lambat, insyaAllah aku akan balas juga. Doakan aku murah rezeki untuk pergi trip yang lain supaya dapat ambil gambar yang best-best dan boleh menulis tentang trip itu pula.


CONVERSATION

7 comments:

  1. By the way tuan, since last 2 years this trip happened.. rasa2nya ada possible to get that kind of airfare lagi tak?? range within RM1500++.. hahaha survey dapat dalam around RM2500+ je ni..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam Naz. Dari pemerhatian sejak dua tahun lepas, belum pernah jumpa harga macam ni lagi. Paling rendah pernah jumpa sekitar RM1500++ ke RM1700. Kalau fly dr Singapore Airport ada llebih kerap promotion harga ticket, tapi itulah. Kena tambah harga tiket ke Singapore lagi (dan tambah cuti)..

      Delete
  2. Assalamualaikum Tuan. Seronok baca pengalaman Tuan di London & Paris. Jika tak keberatan, boleh share tak contact AirBnB di Paris tu sekali dengan link airbnb sekali.Terima kasih Tuan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumussalam tuan. Owner BnB Paris tu dah tak buat BnB dah.. soo sad..

      Anyway, terima kasih atas kunjungan tuan

      Delete
    2. Oyeke.. Takda rezeki saya nampaknya...kena cari penginapan lain kat airbnb la lepas ni.

      Delete
  3. Salam tuan, utk luggages tuan letak dimana ye jika baru sampai paris pagi, if tiket bas ke london malam, ada tempat simpan luggages ke? Tq

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wassalam tuan. Ada banyak je tempat left luggage. Paling praktikal tinggal kat stesen bas atau pun bergantung pada itinerary tuan. Boleh check dan book storage online kat bagbnb.com juga. Search ikut location. Harga dalam €5 macam tu utk satu bag.

      Delete

Back
to top